CELOTEHNYA bersama teman setugas di corong radio membuat Burn atau nama sebenarnya Rueben Thevandran a/l Ramanath semakin menyerlah sebagai penyampai radio.
Burn yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini turut melibatkan diri dalam bidang pengacaraan di samping meneruskan minatnya di dalam dunia seni suara.
Walaupun dilahirkan dengan berbangsa India, namun Burn seperti orang Melayu yang fasih berbahasa Melayu, terutamanya ketika mengacarakan majlis yang sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan ini.
Penyampai radio Era ini, memberitahu dia dibesarkan dalam komuniti masyarakat Melayu dan mengakui kawan-kawannya juga terdiri daripada kalangan orang Melayu.
"Saya dibesarkan di Wangsa Maju yang kebanyakannya orang Melayu, boleh dikatakan 99 peratus kawan saya juga orang melayu," katanya semasa dihubungi mStar Online.
Akibat terlalu banyak bergaul dengan masyarakat Melayu, Burn mengakui akhirnya dia jatuh cinta dengan gadis Melayu yang bergelar Sabrina.
Diharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari, begitulah ibarat hubungan cinta Burn dengan insan yang bergelar Sabrina yang akhirnya kecundang selepas menyulam kasih lebih kurang tujuh bulan.
Burn yang pernah menjadi duta kepada roti High5 ini, memberitahu hubungan dia dengan kekasihnya yang keenam dalam hidupnya itu telah berakhir pada Ogos tahun lepas. Keputusan untuk berpisah itu juga dipersetujui kedua belah pihak tanpa wujudnya persengketaan antara mereka.
"Kami dah break (berpisah) demi untuk kebaikan bersama, saya rasa keputusan ini bukan dari saya sahaja, tetapi dia (Sabrina) turut bersetuju dengan keputusan yang kami ambil ini," katanya.
Selepas beberapa bulan kecewa dalam percintaannya, Burn kini mengakui hatinya telah dimiliki oleh gadis dari negara jiran, Thailand.
"Kekasih baru saya ini orang Thailand, kami bersama baru sebulan lebih, masih baru lagi," ujarnya sambil ketawa.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan kekasih yang mesra dipanggil Kate ini, dia mengakui dirinya masih 'trauma' dengan kisah cintanya yang dulu.
"Buat masa ini, saya tidak meletakkan harapan apa-apa, lagi pun saya baru bersamanya sebulan lebih. So, banyak yang perlu saya tahu mengenai dirinya sebelum membuat apa-apa keputusan," ujarnya.
Burn yang bakal menjadi duta kepada produk minuman tenaga Isotonik Revive dan pembersih mulut jenama Listerine ini pada mulanya agak menyembunyikan punca perpisahannya dengan bekas kekasih, akhirnya membuka mulut memberitahu kejadian sebenar berpunca daripada Sabrina yang bermain kayu tiga.
Penyampai radio yang pernah berkhidmat dengan radio XFresh FM ini, turut memberitahu kejadian dia 'katoikan' bekas kekasihnya itu membuatkan dia kini banyak belajar daripada pengalaman lalu yang membuatkannya semakin matang menjalani arus kehidupan kini.
Anak bongsu daripada dua beradik ini, memberitahu dia kini lebih senang bersama insan yang bukan dari bidang yang sama dengannya.
"Bukan saya memilih artis atau orang biasa, tetapi setelah berpengalaman lebih kurang dua tahun dengan anak seni, saya rasa lebih senang memilih orang biasa sahaja, " ujarnya seperti menyembunyikan perasaan kecewa dengan cintanya terdahulu.
Sementara itu, Burn memberitahu dia kini akan menumpukan sepenuhnya kepada kerjayanya sekarang sebelum memperjuangkan bakatnya dalam industri seni suara yang menjulangkan namanya selepas berakhirnya AF1 satu masa dulu.
"Saya kena tengok 'market' (pasaran) sekarang, lagipun artis-artis baru terlalu ramai. Kerjaya saya di Radio Era ini pun sudah cukup baik," kata Burn.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: