Saturday, January 30, 2010

Roket tentera rempuh rumah


GAMBAR yang dirakamkan pada Rabu lalu menunjukkan roket buatan Indonesia dilancarkan dekat sawah padi sebelum mengenai sebuah rumah di Lumajang, Jawa Timur.


JAKARTA - Pemerintah Indonesia meminta maaf kepada seorang wanita yang kehilangan sebelah kakinya apabila sebuah roket milik tentera mengenai rumahnya dalam satu ujian, kata seorang pegawai semalam.

Beberapa pegawai akhirnya mengaku bahawa ujian roket buatan Indonesia mengenai sebuah rumah di Lumajang, di Jawa Timur pada Rabu lalu.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan peluru berpandu itu gagal dalam ujian tetapi mendarat di kawasan kolam ternakan udang.

Jurucakap Kementerian Penyelidikan dan Teknologi, Anny Sulaswatty berkata, sebelah kaki wanita yang berumur 50 tahun itu dipotong manakala suaminya yang berusia 60 tahun dimasukkan ke sebuah hospital kerana melecur.

"Kami masih melakukan siasatan mengenai kesilapan yang berlaku itu. Kejadian itu berlaku mungkin disebabkan oleh angin kencang semasa pelancaran," katanya.

"Bayaran ganti rugi telah ditawarkan kepada mangsa. Ia menggambarkan bahawa kami berasa amat kesal," katanya.

Roket sepanjang tiga meter yang dikenali sebagai RKN 200 itu dikeluarkan oleh sebuah konsortium pemerintah dengan dianggotai oleh kontraktor Pt Pindad dan Kementerian Penyelidikan dan Teknologi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: