DUNIA tanpa sempadan telah mengubah gaya hidup rakyat negara ini dengan memilih Internet sebagai salah satu medium mendapatkan pelbagai maklumat serta hiburan dengan mudah dan efisien.
Bahkan, penerimaan baik ditunjukkan masyarakat hari ini dalam penggunaan Internet telah membuka peluang kepada ruumzNation Sdn. Bhd. untuk melancarkan perkhidmatan radio Internet 24 jam pertama Malaysia iaitu ruumz.FM.
Dengan menggunakan kuasa Internet tanpa batasan, ruumz.FM dijangka bakal mengubah perspektif dunia penyiaran radio tanah air dan cara pendengar menikmati muzik.
Apabila mendengar stesen radio ruumz.FM, pendengar bukan sekadar dapat menikmati muzik daripada pelbagai genre tetapi berpeluang berinteraksi, memuat turun lagu, meluahkan pendapat, berkongsi pengalaman, melihat dan mencipta lagu.
Lebih menarik, radio Internet 24 jam yang mempunyai 10 pilihan saluran stesen ini diterajui oleh dua 'orang kuat' industri penyiaran radio tempatan, Saufian Mokhtar atau lebih dikenali dengan nama Fly Guy dan Ross Yusof.
Ketua Eksekutif ruumzNation, James Chong berkata, kemajuan teknologi Internet memberi ruang dan kebebasan berkarya tanpa batasan sekali gus membolehkan format radio baru dilaksanakan tanpa terikat dengan kawalan radio konvensional.
"Perbezaan format radio yang menggunakan tagline 'Kenali semula muzik anda' (Rediscover your music) adalah ia menawarkan pengalaman baru kepada pendengar tanpa terikat dengan amalan radio tradisional dari segi pemilihan dan penggiliran lagu.
"Malah pendengar ruumz.FM juga berpeluang mendapatkan informasi dan maklumat mengenai tajuk lagu, muzik dan penyanyi yang sedang diputarkan pada masa itu. Mereka juga boleh berkongsi pendapat dengan penyampai radio terkenal tempatan Fly Guy dan Ross yang menerajui stesen Main ruum," katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, pendengar juga boleh berinteraksi terus melalui perkhidmatan talian yang ditawarkan seperti memuat turun muzik kegemaran mereka, memilih lagu pilihan dan berkongsi pengalaman.
James berkata, ruumz.FM adalah sebahagian daripada cabang perkhidmatan yang ditawarkan ruumz iaitu rangkaian sosial tempatan yang semakin popular.
"Ruumz sangat berbeza berbanding rangkaian sosial masa kini kerana ia menawarkan kandungan tempatan, perkhidmatan unik dan aktiviti semasa artis indie tempatan.
"Kami mahukan setiap pengguna ruumz merasai persekitaran selesa dan bersantai dalam ruang maya peribadi. Mereka seolah-olah berada di dalam bilik sendiri, sebab itu ia dinamakan ruumz.
"Apa yang perlu dilakukan mereka adalah mendaftar secara percuma dan boleh menikmati perkhidmatan ditawarkan dalam rangkaian sosial ini termasuk ruumz.FM," ujarnya.
10 saluran stesen
Mengulas lanjut mengenai ruumz.FM, pendengar boleh memilih sebanyak 10 saluran stesen pelbagai genre mengikut cita rasa masing-masing apabila berkunjung ke radio Internet ini.
Katanya, stesen-stesen yang terkandung dalam ruumz.FM ialah Main ruum, Vibes, Hip-hop Blitz, Rock Out, Soothe and Groove, 2crank indie music, Digital DJ Battle, Top English Chart, Top Malay Chart dan Top Chinese Chart.
"Bagaimanapun, stesen utama ruumz.FM ialah Main ruum yang dikendalikan serta diprogram secara eksklusif oleh Fly Guy dan Ross.
"Bertepatan dengan tagline kami, penstrukturan program di dalam ruumz.FM ini sama sekali tidak terikat dengan sebarang garis panduan untuk memutarkan lagu kepada pendengar," katanya.
Begitupun, James menambah, stesen radio ini tetap menjaga sensitiviti dan budaya timur yang dipraktikkan masyarakat tempatan. Program yang terdapat pada stesen radio ini tidak akan mengutarakan pendapat atau menyentuh hal-hal yang berbaur politik apatah lagi menggunakan perkataan-perkataan yang tidak selari dengan norma msyarakat tempatan.
Apabila melaras pendengaran di Main ruum, pendengar akan memperoleh kepuasan daripada variasi genre muzik yang diputarkan.
Secara tidak langsung, ia bertujuan menjadi satu platform muzik yang memberi kelebihan kepada kelompok pengikutnya.
Seterusnya, kehadiran radio Internet ini perlu segera dimanfaatkan oleh bakat-bakat tempatan. Melalui kolaborasi dengan stesen 2crank.com, karya mereka boleh mendapat peluang promosi yang amat berharga.
"Ramai artis Malaysia yang berbakat di luar sana tetapi tidak mempunyai platform khusus untuk mempromosikan karya mereka.
"Kami boleh membantu mengetengahkan bakat tempatan dengan memberi pendedahan kepada mereka. Dengan adanya saluran stesen 2crank.com, pendengar tempatan dan antarabangsa dapat mengenali bakat-bakat baru itu dengan lebih dekat," terangnya.
Ditanya mengenai masa depan stesen radio Internet, beliau menjelaskan bahawa medium itu banyak membawa perubahan dalam dunia perniagaan tradisional masa kini. Industri muzik juga tidak terkecuali dalam menerima tempias dan impak positif teknologi berkenaan.
Radio lebih bebas
"Kelompok pendengar stesen radio Internet ruumz.FM adalah berbeza berbanding stesen lain kerana kami menyasarkan pendengar di luar waktu sibuk. Ini bermakna, para pendengar kami nanti ialah mereka yang berada di pejabat, dalam waktu bersantai bersama keluarga, serta mereka yang sedang mengunjungi kafe dan sebagainya.
"Mereka boleh menikmati muzik dengan cara mudah dan pantas melalui penggunaan komputer riba, komputer pejabat ataupun telefon mudah alih," katanya.
Dalam pada itu, Ross, berkata, beliau dan Fly Guy sudah lama ingin menjadi arkitek stesen radio sendiri dan peluang yang diberikan ruumz.FM tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
"Stesen ruumz.FM memberi kebebasan serta tidak menyekat kreativiti kami dalam penghasilan program dalam stesen Internet ini.
"Matlamat kami adalah untuk menghasilkan program mengikut kehendak pendengar dan menyampaikan stesen radio yang akan dilihat sebagai siaran muzik menyegarkan," kata lelaki yang penuh berpengalaman dalam industri penyiaran tanah air ini.
Ross menambah, pendengar tidak mungkin akan mendengar lagu yang sama dalam tempoh lima jam kerana terdapat banyak lagu berkumandang di saluran stesen radio Internet ini.
Katanya, di Malaysia dan seluruh dunia, terdapat banyak lagu yang berkualiti tetapi malangnya jarang dimainkan untuk pendengar. Stesen ruumz.FM akan mengubah perspektif penyiaran radio.
Sementara itu, Fly Guy, menambah, terdapat beberapa segmen menarik dalam Main ruum termasuk Carta Terbaik yang menggabungkan carta Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk dipersembahkan kepada pendengar.
"Kita juga mempunyai segmen seperti Pick of The Week yang mengetengahkan bakat-bakat indie tempatan dan antarabangsa bagi memberi 'laluan' kepada mereka yang berbakat dalam industri muzik.
"Selain itu, terdapat juga segmen hiburan yang memerlukan maklum balas dari pendengar seperti Where in the world? dan What's got your goat. Pendengar bertuah juga akan diberikan hadiah menarik," ujarnya.
Pelbagai pertandingan dan promosi menarik menanti pendengar sempena dengan bulan pelancaran ruumz.FM seperti komputer Acer serta langganan jalur lebar P1 WiMAX.
Fungsi stesen radio Internet juga semakin dinamik. Sebagai tarikan bernilai tambah, stesen ini menawarkan perkhidmatan yang direka khusus untuk para pendengar seperti boleh memilih dan memainkan lagu kegemaran, membeli muzik, membeli tiket konsert, menyertai perbincangan dan promosi.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ruumz.FM boleh melayari laman web www.ruumz.fm atau www.ruumz.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: