Saturday, January 30, 2010

Lompat pulau ke pulau

Di Krabi, lautan adalah tarikan dan syurga. Dengan puluhan pulau yang berada di sekitarnya anda tidak akan pernah bosan meneroka setiap keindahan di sana.




KABUS nipis menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, Thailand pada petang itu. Pesawat AirAsia AK 384 mendarat dengan selamat membuatkan hati kami semakin tidak sabar untuk menyelongkar misteri dan keindahan Krabi yang diperkatakan oleh teman-teman sebelum ini.

Sampai di muka pintu keluar lapangan terbang seorang pemandu pelancong sudah sedia menanti kehadiran saya dan kawan-kawan yang sememangnya tidak sabar lagi untuk menikmati keindahan pantai Ao Nang sepanjang daerah Krabi.

Tidak ketinggalan mencuba keenakan makanan Thailand, membeli cenderamata dan buah tangan yang bakal dibawa pulang.

Saya dan rakan-rakan begitu teruja untuk meneroka keindahan pulau-pulau yang terdapat di daerah itu.

Kami bertanya kepada pemandu pelancong tentang latarbelakang dan masyarakat sekitar daerah Krabi. Kebanyakan penduduk tempatan di daerah itu adalah masyarakat beragama Islam dan selebihnya beragama Hindu, Buddha dan Kristian.

Hati kami girang mendengar penerangan panjang lebar oleh pemandu pelancong kerana kami tidak akan menghadapi masalah mencari makanan halal.




Setibanya di hotel penginapan Hotel Pavillion Queen's Bay pekerja di hotel itu menyambut kedatangan kami dengan mesra. Selesai pendaftaran masuk penginapan, kami tidak sabar untuk melihat bilik penginapan.

Ternyata dengan harga yang berpatutan, kami semua amat berpuas hati dengan bilik yang selesa, bersih dan luas. Kamar mandi juga agak besar lengkap dengan tab mandi.

Di ruang balkoni pula tersedia buaian kayu yang besar untuk mereka yang suka bersantai sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.

Hotel penginapan kami berada dalam jarak 200 meter dari pekan Ao Nang. Siap membersihkan diri, kami berjalan ke kawasan sekitar pekan Ao Nang untuk mencari makanan.

Perut saya berkeroncong sejak petang kerana kelaparan. Kami singgah di salah satu warung makanan Thai. Hairannya penyambut tetamu sudah boleh mengagak kami datang dari Malaysia setelah mendengar perbualan kami. Dia terus memberi salam menandakan bahawa dia beragama Islam dan makanan yang disediakannya juga halal.

Kami begitu senang sekali dan meminta beliau mencadangkan makanan yang lazat di situ.

Kami memilih untuk menikmati tom yam, somtam, nasi goreng nenas dan juga popia ala Thai. Sememangnya makanan di warung itu sungguh enak dan berbeza dengan makanan ala Thai di Malaysia.

Dengan harga yang sangat berpatutan kami kagum dengan cara tukang masak itu menghidangkan menu. Nasi goreng nenas dihidangkan di dalam sebiji nenas dengan taburan gajus.

Selesai mengisi perut dan setelah kekenyangan, kami meneruskan perjalanan dengan bersiar-siar menikmati angin malam Ao Nang.

Banyak gerai menjual cenderamata, pakaian, barangan kraftangan, tempat urut ala Thai, restoran makanan Barat dan tempatan selain kemudahan kios penukaran mata wang asing. Kami sempat membeli barangan kraftangan dan juga pakaian sebagai cenderamata untuk di bawa pulang.




Bagaimanapun antara gerai yang paling menangkap perhatian kami ialah kedai-kedai lukisan.

Saya sempat masuk ke salah satu galeri itu. Lukisan yang dipotretkan begitu cantik. Saya amat kagum dengan bakat anak muda Krabi yang menjadi pelukis. Malah mereka tidak kekok atau marah apabila diajak bergambar.

Saya sempat merakam beberapa keping lukisan hasil pelukis muda itu. Setelah puas berjalan kami kembali ke hotel kerana esoknya ada aturcara wajib Krabi sedang menunggu kami. Sejak awal lagi kami sudah menempah pakej untuk mengelilingi pulau-pulau sekitar Krabi.

Keesokannya, seawal jam 7 pagi kami bersiap untuk sarapan di hotel. Makanan yang disajikan begitu menyelerakan. Terdapat makanan biasa didapati di kebanyakan hotel seperti nasi goreng, mi goreng dan sebagainya.

Jelajah Phi Phi Islands

Tepat jam 8.30 pagi seperti yang dijanjikan, sebuah van sampai di luar lobi hotel untuk menjemput kami menuju ke kawasan jeti tempat bot-bot laju yang disediakan untuk menjelajah pulau ke pulau.

Ramai pelancong asing dan tempatan sudah bersedia untuk menikmati keindahan laut, pulau dan pantai yang sebelum ini dilihat dalam majalah dan akhbar.

Saya sendiri amat teruja apabila melangkah masuk ke dalam bot laju tersebut. Kami memilih untuk duduk di ruang luar hadapan bot untuk mendapatkan pemandangan lebih jelas panorama laut dan pulau yang bakal kami lalui.

Terdapat pelbagai jenis pakej yang disediakan seperti pakej Phi Phi Islands, Lautan Krabi dan juga Hong Islands. Kami memilih pakej Phi Phi Islands.


KRABI bukan sahaja menjanjikan keindahan pantai yang bersih tetapi juga pelbagai aktiviti yang membuatkan jadual kunjungan anda sentiasa padat.


Seorang pemandu pelancong tempatan tetapi fasih berbahasa Inggeris mengucap selamat dan menerangkan kepada kami semua tentang destinasi yang bakal kami kunjungi.

Antara pulau-pulau yang akan kami lawati dalam pakej Phi Phi Islands ialah Bamboo Island, Hin Klarng, Monkey Beach, Phi Phi Don, Pi Leh Bay dan juga Maya Bay.

Maya Bay adalah salah sebuah pantai terbersih dan tercantik selain terkenal kerana menjadi lokasi penggambaran filem The Beach lakonan aktor Hollywood tersohor, Leornardo Dicaprio.

Sepanjang persinggahan, kami dibenarkan melakukan aktiviti snorkeling untuk menikmati kecantikan dan keunikan hidupan laut dan terumbu karang.

Kami berhenti untuk makan tengah hari di Phi Phi Don. Pantai yang landai dan cantik memukau pandangan saat kami menjamu makanan tengah hari. Sajian yang disediakan sama seperti di Malaysia, jadi kami tidak berdepan banyak masalah dengan menu di Krabi.

Selesai makan kami diberi masa untuk bersantai di sekitar pantai Phi Phi Don. Kami meneruskan perjalanan ke Pi Leh Bay iaitu antara lagun tercantik di Phi Phi Leh. Selepas itu kami ke Viking Cave dan juga Lohsamah Bay untuk aktiviti snorkeling lagi sekali.

Bertemu ikan lumba-lumba

Destinasi terakhir kami kunjungi pada petang itu ialah Maya Bay. Ternyata pantainya sangat cantik seperti diperkatakan ramai. Pasir yang lembut dan halus serta suasana sekitar pulau yang hijau amat memukau.

Terdapat tapak perkhemahan bagi pelancong yang ingin bermalam di pulau itu. Kami hanya berjalan di kawasan sekitar untuk merakam pemandangan yang indah itu. Kami diberi masa selama satu jam untuk bersantai di Maya Bay. Tepat jam 4.30 petang kami bertolak untuk pulang ke hotel.


ATAS: Pelancong berpeluang melakukan aktiviti snorkeling untuk melihat keindahan terumbu karang di Krabi.


Nasib kami sungguh baik pada petang itu kerana di pertengahan jalan, kami terserempak dengan sekawan ikan lumba-lumba berenang-renang berhampiran bot kami.

Ramai yang teruja melihat aksi ikan lumba-lumba itu termasuk pelancong Eropah yang bersama kami di dalam bot itu.

Matahari melabuhkan tirai lewat jam 5.30 petang. Kami menaiki van yang disediakan untuk pulang ke hotel. Pengalaman dan kenangan pada hari itu sungguh mengasyikkan dan tidak akan luput daripada ingatan.

Bagi anda yang berminat untuk melakukan aktiviti lasak terdapat banyak pilihan aktiviti yang disediakan oleh pihak hotel seperti bunjee jumping, mendaki bukit, berbasikal bukit, merentas hutan, meluncur air atau menyelam.

Anda juga boleh melakukan aktiviti-aktiviti santai seperti berkayak, snorkeling, menunggang gajah atau melawat tempat-tempat bersejarah di sekitar Krabi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: