Thursday, January 28, 2010

Rentak Septik Tone




SEPTIK Tone merupakan antara kumpulan rock yang berjaya melayakkan diri hingga ke peringkat separuh akhir pertandingan Rentak Juara pada Mac dua tahun lalu.

Meskipun tidak berjaya ke final pertandingan kugiran anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, tetapi mulai saat itu nama mereka semakin dikenali ramai oleh para peminat muzik tanah air.

Menurut pemain bass Septik Tone, Mood, nama kumpulannya melonjak naik selepas pertandingan akhir Rentak Juara itu disiarkan secara langsung menerusi TV1 bersama 12 lagi kumpulan lain.

"Mulai Mac 2008, bermulalah era baru buat kumpulan kami yang telah berjaya memasuki peringkat separuh akhir bersama 12 kumpulan lain dan mengalahkan 414 kumpulan lain.

"Sebelum itu, pada peringkat suku akhir Rentak Juara yang kami sertai TV1 juga telah menyiarkan persembahan Septik Tone yang disiarkan secara langsung sebagai permulaan kemunculan kami.

"Peluang itu bukan setakat membuka peluang kepada kami menunjukkan bakat dalam bidang muzik tetapi juga daripada segi publisiti yang telah kami perolehi," katanya kepada Hits.

Jelas Mood, sejak saat itu banyak pihak yang telah membuka mata dan seterusnya menjemput mereka bagi mengadakan persembahan-persembahan pentas.

Katanya, undangan itu termasuklah daripada syarikat-syarikat besar seperti Indah Water Konsortium, Neural Services dan Tesco yang menghargai bakat mereka dalam bidang muzik.

Malah, ekoran daripada sambutan yang amat menggalakkan itu, Septik Tone juga ujarnya telah mengambil keputusan untuk merakamkan album mini mereka yang mengandungi empat lagu.

"Album mini ini telah kami rakamkan di Studio Retrax di Alor Setar, Kedah pada Disember tahun lalu. Kesemua lagu dan lirik dalam album mini itu adalah ciptaan kami sendiri.

"Empat lagu itu berjudul Hukum Nostradamus, Kembali Sinarkan Cinta, Maya Di Kamar Suram dan Racun Metropolitan," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Selain Mood, Septik Tone yang dianggotai oleh Khairul Asri selaku vokalis, Fid (gitar), Sharni (gitar) dan Arm (dram) juga merupakan para pemuzik yang berpengalaman.

Tambahnya, sebelum menyertai pertandingan Rentak Juara, kumpulan yang mengetengahkan konsep muzik rock moden itu pernah menimba pengalaman bermain muzik dengan RTM.

"Hampir kesemua anggota kumpulan ini mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dengan RTM Perak dan menjadi pemuzik undangan dalam persembahan-persembahan pentas," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: