BAITULMAQDIS - Seorang lelaki Israel membaling kasutnya ke arah Hakim Mahkamah Agung, Dorit Beinisch yang merupakan seorang wanita semasa perbicaraan sedang berlangsung di sini semalam.
Suami hakim wanita itu, Yeheskiel Beinisch memberitahu sebuah stesen radio awam bahawa balingan tersebut mengenai dahi, hidung dan menyebabkan cermin mata isterinya pecah.
Petugas mahkamah kemudian menangkap lelaki itu manakala Dorit yang berumur 67 tahun menerima rawatan di bilik pejabatnya sebelum kembali ke dewan mahkamah sejam selepas insiden itu.
Semasa sesi perbicaraan, lelaki yang berusia 50-an itu berdiri dan kemudian membaling sepasang kasutnya sambil menjerit 'rasuah' dan 'busuk', lapor sebuah stesen radio.
Dorit diberikan rawatan dengan menggunakan ketulan ais di kamarnya sebelum kembali semula ke bilik mahkamah dan menyambung perbicaraan beberapa jam kemudian.
Beberapa wartawan, peguam dan orang ramai memberikan tepukan kepadanya semasa dia kembali memasuki bilik mahkamah.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang sedang melawat Poland dilaporkan menghubungi Dorit bagi melahirkan perasaan terkejut dengan serangan itu.
Sebelum ini seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi membaling kasutnya ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush pada 14 Disember 2008 di Baghdad.
Pada Isnin lalu, seorang lelaki Sudan, Adil Mohammed Fath al-Rahman Mahjub membaling kasutnya ke arah presiden negaranya. Omar al-Beshir namun balingannya tersasar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: