Friday, January 29, 2010

Wili tidak sepatutnya tersingkir?


TIGA peserta yang berada di tiga tangga terbawah (dari kiri) Antu, Caca (tengah) dan Wili.


GELANGGANG Raja Lawak musim keempat, minggu keempat yang berlangsung dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, malam Ahad lalu menyaksikan kumpulan Wili tersingkir daripada meneruskan perjuangan untuk minggu seterusnya.

Berada di tangga terbawah dengan memungut undian sebanyak 5.5 peratus, kumpulan yang dianggotai Ismawira Bahdun, 22, atau Wira dan Mohammad Ali Maula Ahmad, 24, (Ali Black) ini boleh dikatakan tidak sepatutnya tersingkir.

Jika hendak dibandingkan mereka dengan beberapa peserta khususnya Caca dan kumpulan Antu, Wili boleh dikatakan berjaya membawakan persembahan yang cukup menghiburkan.

Perkara itu diakui oleh salah seorang juri tetap Raja Lawak 4 iaitu Afdlin Shauki yang meletakkan Wili sebagai antara pilihan Top 5 sebagai peserta yang harus diberikan peluang untuk terus beraksi untuk minggu seterusnya.

Selain Wili, pilihan Top 5 Afdlin adalah Alex, Idlan, Mamu dan Kecik.

Kata Afdlin, jika dinilai persembahan di minggu keempat, apa yang dihidangkan Wili tidaklah seteruk persembahan beberapa peserta lain.

Bagaimanapun ujarnya, Wili perlu memikirkan lawak semasa kerana lawak yang dibawakan agak kurang sesuai untuk zaman ini.

"Wili adalah pilihan Top 5 saya. Peserta lain, bila-bila masa sahaja boleh tersingkir.

"Namun, antara Top 5, saya melihat persembahan Mamu, Alex dan Idlan cukup konsisten. Tiga peserta ini sudah berada di kedudukan mereka tersendiri.

"Lawak Wili adalah lawak lama. Orang yang berusia memang suka gaya persembahan sedemikian. Mereka harus mencuba elemen-elemen baru," katanya tatkala ditemui sejurus selepas pengumuman penyingkiran Raja Lawak 4 minggu keempat, baru-baru ini.

Berada di tangga tercorot, dua peserta yang berada di kedudukan tiga terbawah adalah Antu dengan undian sebanyak 5.7 peratus dan Caca (8.3 peratus).

Ini merupakan kali keempat Caca diumum berada di tiga tangga terbawah.

Minggu keempat juga menyaksikan Kecik berada di tangga teratas dengan memungut 22.9 peratus undian diikuti Idlan (18.8 peratus) dan Alex (16.4 peratus).

Mengulas lanjut, Afdlin berkata, berdasarkan pemerhatiannya, apa yang dipersembahkan oleh peserta untuk minggu lalu akan memberi kesan kepada mereka bagi minggu seterusnya.

"Komen juri juga boleh dikatakan membantu peserta. Kadang-kadang kami akan meminta penonton untuk mengundi peserta-peserta tertentu.

"Kepada Wili, berakhirnya mereka di pentas Raja Lawak 4 bukan bermaksud tiada peluang untuk masa depan.

"Mungkin selepas ini mereka boleh jadi pelakon atau pengacara di samping pelawak," jelasnya.

Ada undi masuk?

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Wili sememangnya telah berjaya membawakan persembahan yang cukup bagus.

Katanya, meski tersingkir, pihak Astro Prima telah pun meletakkan nama mereka dalam senarai pendek untuk dimasukkan ke dalam beberapa program televisyen.

"Tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Mereka ada bakat. Tidak semestinya juara sahaja yang akan dapat 'kerja' di Astro Prima,'' ujarnya.

Ditanya apakah akan ada undi masuk diwujudkan bagi membolehkan peserta tersingkir diberikan peluang untuk beraksi semula, Nizam menjelaskan bahawa perkara itu belum ada lagi dalam perbincangan Astro Prima.

"Kami belum berbuat apa-apa atau berbincang mengenainya kerana ia tiada di dalam format program.

"Kalau hendak diwujudkan, kami perlu berbincang dengan pemilik format program tersebut,'' kata Nizam.

Mengenai komen dan gelagat juri yang mendapat kritikan sesetengah pihak, Nizam berkata, komen juri dilihat cukup ikhlas.

"Saya ada juga mendapat emel daripada ramai pihak yang mengatakan juri kali ini sangat menarik dan kelakar. Mereka cukup spontan," tegasnya.

Bukan rezeki kami - Wili

Dalam pada itu, Wira yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak kecewa disingkirkan kerana telah membuat persembahan yang terbaik dan menghiburkan penonton pada malam tersebut.

"Ini bukan rezeki kami meski berada dalam Top 5 pilihan juri.

"Sememangnya bidang ini amat kami minati. Selepas ini, kami berdua akan berusaha untuk menempatkan diri dalam bidang seni," katanya.

Apa yang diperkata Wira turut disokong teman seperjuangannya iaitu Ali Black.

Ali Black yang berasal dari Perak menambah, perjuangan mereka tidak akan berakhir walaupun Wili disingkirkan sahaja.

"Saya berterima kasih kepada Afdlin dan juri kerana telah memberi kami banyak ilmu untuk kami gunakan pada masa akan datang,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: