Friday, January 29, 2010

Dedikasi Azlina, Liza buat arwah ibu


TENAGA kerja yang akan menjayakan Imbauan 2 (dari kiri) Liza Aziz, Azlina Aziz, Hartini Abdullah, Musly Ramlee dan Ahmad Muriz Che Rose selepas sidang akhbar persembahan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MESKIPUN seniwati Normadiah telah kembali ke rahmatullah 10 tahun lalu, tetapi bakat Allahyarham dalam bidang lakonan, nyanyian dan tarian tanah air tidak pernah dilupakan oleh para peminatnya.

Hakikat itu dapat dilihat apabila filem-filem lakonan dan lagu-lagu nyanyian Normadiah masih ditayangkan menerusi televisyen (TV) dan ia juga terus diminati sehingga kini.

Malah, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) juga tidak terkecuali melahirkan penghargaan mereka apabila bakal menganjurkan Konsert Imbauan 2 yang didedikasikan khusus untuk Allahyarham.

Lebih menarik apabila konsert yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Februari ini dijayakan oleh dua anak Allahyarham iaitu Azlina Aziz dan Liza Aziz.

Menurut Penerbit KSPP, Hartini Abdullah, persembahan yang akan turut disertai oleh penyanyi Musly Ramlee itu bertujuan menghidupkan semula lagu-lagu penyanyi lama termasuklah Normadiah.

"Sebelum ini pun kami telah menganjurkan konsert Imbauan 1 yang dijayakan oleh penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim pada tahun 2008. Konsep persembahannya adalah lagu-lagu berkonsepkan Down Memory Lane.

"Sama juga dengan konsert pertama itu, konsert Imbauan 2 juga bertujuan menghidupkan lagu-lagu di mana kali ini kami memilih lagu-lagu lama yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Normadiah.

"Kami akan gunakan pendekatan iringan persembahan muzik pada konsert itu bersama para pemuzik Orkestra di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Hartini, selain konsert KSPP juga akan mengadakan pameran berkaitan Allahyarham seperti gambar-gambar lama di ruang luar dewan sewaktu berlangsungnya konsert itu.

Pada majlis itu, Azlina Aziz yang menerima tawaran daripada KSPP berasa bangga kerana masih ada pihak yang berminat untuk mengimbau nostalgia lagu-lagu nyanyian arwah ibunya dalam suatu persembahan khas di DFP.

"Semasa menerima panggilan dan tawaran daripada KSPP yang mahu menganjurkan persembahan ini, saya dan Liza berasa amat berbesar hati. Kami berasa syukur, terharu dan gembira kerana masih ada penganjur yang mahu menganjurkan persembahan seperti ini.

"Kami anggap ini sebagai suatu penghargaan buat arwah emak kami. Apatah lagi, sebelum ini kami memang ada impian untuk mengadakan persembahan seperti ini tetapi baru sekarang ia dapat direalisasikan," ujarnya.

Jelas penyanyi berusia 48 tahun dan isteri kepada komposer Azman Abu Hassan ini, hasrat itu timbul kerana sebelum ini dia sering menyanyikan lagu-lagu arwah ibunya pada persembahan-persembahan pentas yang dijayakannya.

Kata Azlina, antara lagu popular nyanyian Allahyarham yang sering disampaikannya pada persembahan pentas berjudul Penggodaan yang juga merupakan salah satu lagu kegemarannya.

"Saya suka dengan lagu Penggodaan dan pernah berduet dengan arwah emak dalam persembahan pentas yang kami adakan. Liza pula suka dengan lagu nyanyian arwah emak berjudul Cahaya.

"Begitu juga dengan lagu duet berjudul Pantun Seloka yang asalnya dinyanyikan oleh arwah emak dan ayah kami. Kami sering menyanyikan lagu itu secara duet pada persembahan pentas kami.

"Malah, boleh dikatakan dalam setiap album saya, saya akan merakamkan semula sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh arwah emak. Ia sebagai suatu penghargaan dan tanda ingatan saya terhadap emak," katanya.

Liza yang merupakan adik kepada Azlina turut melahirkan rasa bangga kerana mempunyai ibu yang bukan sahaja pandai menyanyi dan berlakon tetapi juga terkenal sebagai koreografer sewaktu zaman kegemilangannya pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an.

Tidak menafikan bahawa sewaktu hayatnya, Allahyarham sangat suka menyanyi termasuklah mengambil peluang berduet bersama dia dan Azlina dalam persembahan-persembahan pentas.

"Arwah emak memang suka menyanyi sampaikan kalau dia sakit pun dia boleh melupakan sakitnya sementara disebabkan mahu menyanyi. Saya rasa, kalau arwah emak dan ayah ada mereka tentu berasa terharu dengan persembahan seperti ini," ungkapnya.

Pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM15, RM30, RM50 dan RM60 itu, Azlina akan menyanyikan lagu berjudul Penggodaan, Jangan Merajok dan Janji Diikat serta lagu duet bersama Musly berjudul Itulah Sayang.

Liza akan menyanyikan lagu berjudul Dewa Dewi, Mengapa Bergembira dan Cahaya selain berduet dengan Musly menerusi lagu Mengapa Riang Ria yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham yang meninggal dunia pada 8 Ogos 2000 pada usia 65 tahun.

Sementara itu, Pengarah Muzik konsert itu, Ahmad Muriz Che Rose berkata, kesemua lagu akan digubah semula dalam melodi lebih segar sambil diiringi kiri-kiri 53 pemuzik di bawah pimpinannya.

"Persembahan ini bukan sahaja menampilkan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Normadiah tetapi kami juga akan memperlihatkan segmen tarian kerana selama ini mungkin ada yang tidak tahu bahawa Allahyarham merupakan seorang koreografer.

"Selain segmen nyanyian, kami juga akan menyokong persembahan ini dengan bantuan alat-alat multimedia seperti projektor yang menayangkan filem-filem lakonan Allahyarham," jelasnya.

Selain itu, tiga penyanyi terbabit juga akan berduet menerusi lagu-lagu medley berjudul Cinta Sejati, Sejiwa dan Jangan Menjeling pada konsert yang akan berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam tersebut.

Sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung Konsert Imbauan 2 sila hubungi talian 03-20517007 layari laman sesawang www.dfp.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: