Friday, January 29, 2010

Christian 'teman baru' Noryn



PEMILIK nama Christian Bautista mungkin kurang dikenali di negara ini. Namun di Filipina, namanya begitu popular, ibaratkan dia seperti penyanyi Anuar Zain di Malaysia.

Biar pun popular, bagaimanapun, penyanyi ini bersikap seperti 'budak baru' yang baru sahaja memulakan kariernya. Sikap rendah diri dan keramahannya yang sesekali suka mengusik membuatkan orang di sekelilingnya senang dengan penyanyi Filipina itu.


CHRISTIAN bukan sahaja terkenal sebagai penyanyi, tetapi juga pelakon dan model ternama.

Agenda Christian ke Malaysia untuk mencari tapak dalam memperdagangkan karier nyanyian ke Asia.

Oleh itu, Christian memulakan langkahnya dengan lagu duet bersama penyanyi Malaysia, Noryn Aziz berjudul Anugerah Cinta.


BERSAMA Noryn, Christian merakamkan lagu Anugerah Cinta.

Biarpun tidak tahu berbahasa Melayu, tidak bermakna Christian sukar untuk membawakan lagu itu dengan penuh penghayatan. Jejaka berusia 29 tahun ini dibantu seorang penterjemah untuk memberikan maksud lirik lagu Anugerah Cinta agar mudah difahami dan dihayati ketika merakamkan lagu berkenaan.

"Pada mulanya, agak sukar untuk saya faham erti lirik yang diberikan walaupun sudah diterjemahkan. Tetapi setelah menjalani beberapa latihan sebelum rakaman, ia lebih mudah dan tak sangka pula hasilnya begitu menakjubkan."

"Ditambah pula dengan gandingan saya dan Noryn yang mempunyai vokal yang begitu mantap, membuatkan lagu ini menjadi lebih kuat," ujarnya yang mengakui dia sendiri terkejut kerana mampu membawakan lagu Melayu tanpa sebarang masalah.


SEORANG yang rendah diri, tidak hairan dia masih terus bertahan dalam industri muzik Filipina.

Tambahnya, biarpun lagu tersebut adalah lagu duet, ia tidak dirakamkan serentak. Sebaliknya, dengan teknologi Internet, Noryn merakamkan suaranya dahulu dan kemudian lagu itu dihantar kepada Christian pula.

Pertemuannya dengan Noryn hanya berlaku ketika mereka merakamkan muzik video baru-baru ini.


SEJAK tahun 2004, Christian sudah memiliki enam buah album termasuk Captured.

Christian yang juga merupakan seorang pelakon dan model juga mengharapkan agar dia diterima oleh penggemar-penggemar muzik tempatan biarpun muzik indie menjadi pilihan utama di Malaysia.

"Saya harap bakat saya diterima di sini. Saya tahu, bukan mudah untuk saya menembusi pasaran di sini memandangkan saya perlu bersaing dengan penyanyi-penyanyi tempatan lain. Tetapi saya akan cuba juga untuk mempromosikan diri di sini.



"Lagipun saya percaya, tak mungkin masyarakat di sini mendengar muzik indie sahaja. Masih lagi ada orang yang mendengar pelbagai genre muzik dan bukannya dengar pada satu jenis muzik sahaja.," ujarnya.

Christian mahu melihat sejauh manakah keberkesanan lagu Anugerah Cinta di pasaran tempatan. Kemudian, jika berjaya, dia akan merancang untuk berkolaborasi dengan penyanyi tempatan yang lain pula.

Beritahu graduan Ijazah Seni Persembahan University of the Philipines-Diliman ini, dia dijangka akan berduet dengan penyanyi tempatan, Hannah Tan dan lagu duet mereka akan dirakamkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, Christian memulakan pembabitannya dalam bidang nyanyian bermula dengan penyertaannya dalam program realiti di Filipina, Star In A Million pada tahun 2003.

Penyanyi itu mencetuskan fenomena apabila menjadi peserta paling digemari dan Christian berjaya sehingga ke peringkat akhir. Walaupun tidak bergelar juara, popularitinya membuatkan Christian menyedari bahawa kerjaya nyanyian akan membawa tuah kepadanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: