Thursday, January 28, 2010
Azza mungkin kahwin lima tahun lagi
Awal Januari lalu, kecoh isu Azza Elite diugut kekasihnya, Firhan Yusof, hingga melibatkan pihak polis. Bagaimanapun Azza yang ditemui ketika pelancaran drama ejen 008, di Restoran Rebung, Bangsar, kelmarin, telah pun tampil memberikan penjelasan yang sebenar meskipun ada ura-ura yang mengatakan dia sengaja mahu menutup cerita sebenar.
Menurut Azza, dia sebenarnya berdepan dengan dua kes yang berbeza dan khalayak telah silap mentafsirkan situasi yang sebenar. Meskipun dia sendiri kelihatan masih bingung untuk menerangkan isu yang melandanya itu, namun Azza tetap cuba merungkainya dengan sebaik mungkin.
“Memang saya ada terima sistem pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan dan telah pun melaporkannya kepada pihak polis demi keselamatan saya dan keluarga. Tapi Firhan tak ada kena mengena dengan kes ini dan dia juga tidak pernah memukul saya.
“Saya tak tahu siapa yang bagi SMS itu namun yang pastinya ia telah mengancam dan memperlekehkan maruah saya. SMS itu juga membuatkan saya rasa sangat tertekan dan menjadi salah satu punca mengapa saya dan Firhan bergaduh.
“Tapi itu pun gaduh biasa saja, setakat gaduh mulut saja dan bukannya sampai cedera atau berdarah. Memandangkan kami tak tahu macam mana nak selesaikannya, jadi kami pergi ke balai polis. Bukannya untuk buat ‘report’, tapi untuk minta nasihat saja,” jelas Azza yang kini kelihatan semakin susut.
Azza berkata, seminggu selepas membuat laporan polis, dia masih menerima SMS ugutan itu. Namun sekarang, dia berasa lega kerana tidak lagi diganggu dan bebas meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Menyentuh tentang hubungannya dengan Firhan, kata Azza, mereka masih meneruskan hubungan seperti biasa. Jelas Azza, Firhan seorang lelaki yang baik dan sangat mengambil berat tentang dirinya. Namun bila ditanya, bila lagi mereka akan bersatu, Azza memberitahu, belum tiba masanya.
“Saya pernah gagal dalam perkahwinan dan untuk berkahwin lagi saya belum sedia. Buat masa ini, biarlah kami berkawan dulu dan mungkin lima tahun lagi saya akan berkahwin,” kata Azza yang sudah dua tahun menjalinkan hubungan cinta dengan Firhan.
Umum sudah mengetahui, Azza pernah berkahwin dengan usahawan dari Sarawak, Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce (Ehsan) dan ada mengambil seorang anak angkat, Marissa Jannah, yang kini sudah berusia lima tahun. Meskipun hubungan mereka sudah berakhir, namun ia tidak menghalang Azza untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu tunggal dengan sebaik mungkin.
“Walaupun sepanjang dua tahun ini Ehsan tak ambil tahu tentang anak, tapi saya tak kisah dan tak pernah fikir negatif. Saya tahu, dia bukannya sengaja kerana dia memang sibuk dengan kerjanya. Saya anggap ini sebagai cabaran dan kehadiran Marissa adalah anugerah Tuhan yang bermakna untuk saya,” katanya yang semakin bekerja keras demi anak tersayang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: