PERJALANAN seni insan bergelar Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi mula dikenali sebagai penyanyi dengan lagu 'X-RAY' suatu masa dulu.
Namun anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search ini, mula beralih arah ke bidang lakonan sehinggakan kebanyakan drama di kaca televisyen tidak terlepas memaparkan lakonannya.
Nabila, 25, yang kini sedang sarat berbadan dua memberitahu dia sudah tidak mahu menyanyi lagi kerana mengakui dirinya tidak berbakat seperti ayahnya.
"Buat masa ini saya berlakon tapi untuk menyanyi saya rasa tidak kot," katanya selepas majlis 'Sesi Ramah Mesra Bersama Barisan Pelakon Drama Bersiri Ejen 008 dan Na O Mei' di Restoran Rebung, Bangsar.
Ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya dan bayi yang dikandung, Nabila memberitahu dia tidak mengalami apa-apa masalah dengan kandungan serta dirinya sendiri.
"Alhamdulillah, saya tidak mengalami gejala-gejala seperti muntah-muntah, loya dan penat," ujarnya.
Menurut Nabila, dia terkejut disahkan mengandung semasa berada di luar daerah untuk proses penggambaran drama bersiri Na O Mei.
"Saya dapat tahu saya mengandung masa shooting di luar daerah," kata isteri kepada Zaidy Zailani ini.
Menurut pengacara program Hits 1 ini lagi, dia beranggapan bayinya seperti memahami kariernya sebagai seorang anak seni kerana sepanjang tempoh lima bulan ini, dia tidak mengalami sebarang kompilasi atau masalah lain.
"Saya tidak mengalami apa-apa masalah, mungkin anak saya ni faham dengan kerja saya," ujarnya sambil ketawa.
Ditanya mengenai pengalaman mengandungkan anak pertama, Nabila memberitahu dia tidak risau kerana setiap kali menghadapi situasi seperti bayi bergerak, dia akan terus menelefon doktor untuk mendapat nasihat supaya dapat memastikan kandungannya tidak mempunyai masalah.
"Saya tidak terlalu berpantang, cuma jika saya hadapi masalah atau tidak selesa, saya terus telefon doktor," katanya.
Selain itu, aktres yang pernah membintangi drama Laila dan Majnun ini turut memberitahu semua orang disekelilingnya begitu teruja dengan anak yang bakal dilahirnya pada Mei depan.
"Papa gembira sangat kerana dia bakal bergelar datuk. Kedua-dua ibu saya juga tak sabar-sabar menunggu kelahiran anak saya ni," katanya sambil makan dengan berselera.
Dalam pada itu, Nabila memberitahu anak yang bakal dilahirnya nanti adalah perempuan dan dia masih belum fikirkan lagi nama untuk puterinya itu kerana dianggapnya terlalu awal.
"Baby saya ni perempuan, namanya pun tak difikir lagi, awal sangat rasanya," katanya.
Nabila turut memberitahu, dia tidak pernah membuat rujukan dengan membaca buku atau majalah khas sebagai panduan untuk bakal ibu bapa seperti orang lain.
"Saya lebih senang tanya mak saya sendiri, lagipun saya sudah bersedia untuk pegang tanggungjawab sebagai ibu," ujarnya.
Sementara itu, Nabila mengakui walaupun sedang sarat mengandung, dia tidak akan melepaskan peluang berlakon sekiranya diberi watak yang sesuai dengan keadaannya sekarang.
"Saya ni gila kerja (workaholic), tapi saya akan pastikan watak tersebut sesuai dengan saya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: