Thursday, January 28, 2010

Nasi Daun Pisang, Budaya Malaysia Dan Thaipusam

Makan nasi berlapik daun pisang bukan lagi satu budaya eksklusif bagi masyarakat India, tetapi semua kaum di Malaysia.

"TAK LAMA lagi perayaan Thaipusam. Mahu ikut saya makan nasi daun pisang?" kata seorang rakan, Dr P. Ragesh, sebelum memberhentikan kereta yang kami naiki di hadapan sebuah restoran popular dengan masakan Chetinaad di Petaling Jaya.

Ketika itu ramai yang sedang makan tengah hari kerana makan nasi berlapik daun pisang ini bukan lagi satu budaya eksklusif bagi masyarakat India, tetapi semua kaum di negara ini.

Bagi Dr Ragesh dan juga mereka yang meminati hidangan dari selatan India ini, makan nasi daun pisang merupakan satu konsep yang unik. Kini hidangan makanan beralaskan daun pisang menjadi antara makanan popular dalam kalangan masyarakat Malaysia semua lapisan kaum.

Sudah menjadi kebiasaan melihat penjawat awam serta mereka dari golongan korporat dan juga swasta melonggarkan tali leher serta menggulung lengan baju mereka bagi menikmati hidangan nasi berlapik daun pisang ini.

BUDAYA MALAYSIA

"Makan beralas daun pisang bukannya suatu budaya yang baru bagi masyarakat Malaysia," kata aktivis sosial Fatimah Mansur. Beliau tidak bersetuju dengan andaian yang makan beralaskan daun pisang merupakan satu budaya yang diimport.

Menurut Fatimah, pada zaman sebelum dan selepas Merdeka, orang Melayu di kampung biasa makan berlapik upeh dan daun pisang. Mereka juga membawa bekal yang dibungkus dengan daun pisang semasa bekerja di sawah.

Apa yang sangat istimewa tentang makan berlapik daun pisang?

Bagi hidangan ini, nasi panas dihidangkan di atas daun pisang bersama aneka sayur-sayuran, pelbagai kuah kari, jeruk serta keropok papadum. Secara tradisinya nasi daun pisang ini merupakan makanan vegetarian bgi masyarakat India.

"Daun pisang digunakan kerana dipercayai, apabila nasi yang panas dihidangkan di atas daun pisang, ia akan melepaskan satu tindakan dari lapisan atas daun pisang yang dapat membantu sistem penghadaman.

"Ia juga dapat memupuk semangat setiakawan dan kekeluargaan bila kita ramai-ramai dapat berkongsi apa sahaja yang dihidangkan. Dengan kata lain, tiada sempadan atas daun pisang.

"Konsep makan nasi atas daun pisang mencerminkan budaya kemasyarakatan di negara ini', kata Dr Ragesh.

THAIPUSAM

Sementara itu bagi Fatimah, perayaan Thaipusam 30 Januari ini, bukan sahaja disambut oleh masyarakat beragama Hindu sebaliknya ia antara lambang perpaduan dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

"Sambutan perayaan tersebut yang dilakukan secara terbuka juga menjadi lambang keutuhan persefahaman antara kaum dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada agama mereka," kata beliau.

Bagi pemimpin komuniti, K. Periasamy: "Perayaan Thaipusam mengingatkan kita tentang ketabahan serta semangat mengatasi kelemahan serta keburukan yang sedia ada. Ketabahan serta kecekalan ini perlu didukung dengan kebaikan yang digandingkan dengan fikiran yang bijaksana."

Guru sekolah swasta Wee Tek Seng berkata Thaipusam mengajar persefahaman yang dijalin erat dalam semua aktiviti dan perayaan kaum-kaum.

Kata beliau, istimewanya perayaan Thaipusam ialah ia turut diraikan bangsa lain termasuk pelancong tempatan dan luar negara.

Thaipusam disambut setiap tahun dengan beratus ribu penganut agama Hindu di Malaysia mengunjungi beberapa kuil termasuk kuil Sri Subramaniam di Batu Caves, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: