Friday, January 29, 2010

F1: GP Malaysia awal satu jam


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (kanan) dan
penasihat Petronas, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat jentera Mercedes GP Petronas di Suria KLCC, Kuala Lumpur semalam.

MUNGKIN kerana tidak mahu insiden sama berulang lagi, perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia edisi ke-12 tahun ini akan bermula pada jam 4 petang berbanding 5 petang seperti musim lepas.

Perlumbaan GP Malaysia musim 2009 menyaksikan satu sejarah tercipta apabila perlumbaan di Litar Sepang itu terpaksa ditamatkan lebih awal selepas tertangguh lebih dua jam berikutan hujan lebat.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antrabangsa Sepang (SIC), Razlan Razali memberitahu, perubahan masa itu tiada kaitan dengan insiden tersebut.

Untuk rekod, ini adalah kali kedua SIC mengubah waktu perlumbaan di mana sebelum musim 2009, jadual perlumbaan telah pun diubah kepada 5 petang daripada waktu asal dalam sepuluh edisi lalu iaitu 3 petang.

"Bagi perlumbaan musim 2010 ini, kami telah mendapat persetujuan daripada Persekutuan Aotomobil Antarabangsa (FIA) untuk mengubah masa perlumbaan dari jam 5 petang tahun lepas kepada jam 4 petang.

"Perubahan ini dilakukan bagi menarik lebih ramai penonton dari benua Eropah dan benua lain, sekali gus menambah jumlah bilangan peminat F1 yang menyaksikannya di rumah," kata Razlan pada sidang akhbar pelancaran kempen I Love F1 di Suria KLCC semalam.

Sementara itu, pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir berkata, perubahan masa itu amat sesuai kerana ia memberi peluang kepada peminat F1 seluruh dunia terutamanya di Eropah menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen.

Namun ketika ditanya sama ada SIC akan menggunakan khidmat bomoh hujan bagi mengelak insiden tahun lepas berulang, Mokhzani menjawab: "Perkara ini susah untuk dijawab. Biarlah yang berkuasa (Tuhan) menentukannya."

Mokhzani turut menambah bahawa SIC akan menampilkan kelainan pada perlumbaan GP Malaysia 2010 dengan pelbagai program diatur kepada peminat F1 yang hadir menyaksikannya di Litar Sepang.

"Saya percaya dengan kehadiran semula juara tujuh kali, Michael Schumacher dari persaraan, ia akan menarik lebih ramai peminat F1 tempatan datang menyaksikan kehebatannya.

"Namun, selain Schumacher, SIC juga menyediakan pelbagai lagi aktiviti menarik bagi peminat yang datang ke SIC menerusi kempen I Love F1 ini.

"Antaranya ialah empat pas percuma kepada peminat bertuah menyaksikan perlumbaan di petak permulaan, 20 pas masuk melawat dan menyaksikan perlumbaan di pit pasukan terpilih, cabutan bertuah dan pelbagai lagi," tambah Mokhzani.

Perlumbaan GP Malaysia musim 2010 akan berlangsung pada 2 hingga 4 April depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: