Saturday, January 30, 2010

Kisah usahawan kavadi

Membawa kavadi dan susu segar antara ritual kepada penganut Hindu ketika menyambut Thaipusam. Pada masa yang sama, ia juga menjana pendapatan kepada mereka yang menjalankan bisnes Kavadi.




DUA bulan sebelum sambutan Thaipusam, Annapurani Veeran Reddy, 68, begitu sibuk dengan kerja-kerja membuat kavadi.

Usahawan yang menjual barang-barang untuk upacara keagamaan masyarakat Hindu sejak lebih tiga dekad itu memulakan kerja-kerja membuat kavadi dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

"Lazimnya saya mula sibuk menerima tempahan sekitar November kerana kerja-kerja untuk menyiapkan kavadi mengambil masa yang agak lama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Warga emas yang berasal dari Sunway, Batu Caves itu yang mendapat tempahan daripada penduduk di sekitar Lembah Klang mengehadkan tempahan yang diterimanya. "Saya hanya ambil 50 tempahan saya kerana mahu menjaga kualiti," jelas Annapurani yang tidak melayan tempahan pada saat-saat akhir.


MEMECAHKAN kelapa salah satu ritual penganut agama Hindu untuk membersihkan diri daripada dosa.


"Benar, perniagaan membuat kavadi lazimnya dimonopoli oleh golongan lelaki yang terdiri daripada tukang kayu tetapi saya mahu buktikan bahawa wanita juga mampu melakukannya. Bahkan ada pelanggan yang kurang percaya kavadi yang dijual adalah hasil kerja tangan saya," kata pemilik Kedai Annapurna Enterprise itu.

Sejak lebih dua abad yang lalu, perayaan Thaipusam disambut meriah di negara ini. Perayaan yang cukup sinonim dengan Dewa Murugan itu mula bertapak di Malaysia apabila seorang pedagang India, K.Thamboosamy Pillai mengutarakan idea mahu membina kuil untuk Dewa Murugan di Malaysia.

Pillai yang juga pengasas Kuil Sri Maha Mariamman di Kuala Lumpur telah memilih sebuah gua batu kapur yang terletak di Batu Caves untuk membina kuil tersebut.

Kerja-kerja pembinaan selesai dalam tempoh setahun. Pada 1892, Pillai mengadakan perayaan Thaipusam di Batu Caves. Ritual yang dipelopori oleh Pillai itu diteruskan sehingga hari ini oleh penganut Hindu.

Lebih membanggakan, Thaipusam juga merupakan salah satu perayaan yang tercatat dalam takwim kebangsaan termasuk Deepavali dan Ponggal.

Mengakui kerja-kerja membuat kavadi bukan satu tugas mudah, namun minat dan rekaannya yang unik mendorong wanita itu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.Perayaan Thaipusam yang jatuh pada bulan penuh iaitu hari bertuah kesepuluh kalendar Tamil dalam bulan Thai. Mereka percaya buruj Pusam iaitu bintang yang bersinar muncul di ufuk utara disambut oleh penganut Hindu di serata dunia.

Bayar nazar


ANNAPURANI sibuk dengan tempahan membuat kavadi dua bulan lebih awal daripada sambutan Thaipusam.


Selain Malaysia, penganut Hindu yang tinggal di India, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga menyambutnya.

Di negara ini penganut Hindu akan ke Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves untuk menunaikan nazar mereka kepada Dewa Murugan. Dipercayai cara membayar nazar juga berbeza mengikut hajat dan kemampuan masing-masing.

Ada yang memikul kavadi, manakala ada yang mengusung belanga yang diisi susu segar. Bagaimanapun, amalan membawa kavadi mempunyai signifikan tersendiri dalam perayaan Thaipusam.

"Kavadi dan Thaipusam merupakan dua elemen yang saling berkaitan antara satu sama lain. Tanpa perarakan kavadi maka sambutan Thaipusam dianggap tidak sempurna.

"Amalan memikul kavadi dilakukan untuk membayar nazar kepada Dewa Murugan dan menebus dosa-dosa lampau," jelas Annapurani.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, sebelum ini kebanyakan kuil terletak di dalam hutan. Dengan kedudukannya yang tersorok menyebabkan ramai penganut agama Hindu sukar membawa kavadi kepada Dewa Murugan.


R. KARUNAGARAN menyiapkan kasut paku yang ditempah oleh pelanggannya.


Dari situ Annapurani mendapat idea untuk menjual kavadi. Meskipun tanpa latihan asas, Annapurani banyak mempelajari cara-cara membuat kavadi hasil pemerhatian dan pengalamannya.

Rangka kavadi diperbuat daripada kayu tebal dan papan nipis khas. Rangka itu kemudian dihias dengan pembalut kertas yang berwarna kuning. Pembalut khas yang diimport dari Thailand itu bersifat kalis air.

Proses menampal pembalut pada permukaan atas kavadi yang melengkung itu disambung pada kayu pelapik menjunjung kavadi.

Sejenis kain perhiasan yang dikenali sebagai kavadi kunjam ditampal di tepi papan yang melengkok itu. Bagi menceriakan hiasan kavadi, bunga-bunga plastik dan bulu-bulu merak digunakan.

Kavadi tersebut dijual pada harga di antara RM30 sehingga RM150 mengikut saiz.

Sementara itu, pembuat kavadi yang bekerja di Kedai Ambal Store di Batu Caves, S.Murugesan, 38, berkata, dia mengamalkan makan sayur-sayuran sepanjang membuat kavadi.




Kasut paku

Murugesan mempelajari seni membuat kavadi daripada seorang rakannya di India ketika remaja. Katanya, di India terdapat pelbagai jenis kavadi yang jarang ditemui di Malaysia.

Antaranya ialah olai kavadi, pala kavadi dan valai kavadi. Di negara ini, kebanyakan penganut agama Hindu lebih gemar membeli paal kavadi, mayil kavadi dan vel kavadi.

Perbezaan nama ini jenis bahan membuat kavadi yang digunakan.

Di Ambal Store, setiap kavadi dijual pada harga di antara RM35 hingga RM180. Harga tersebut bergantung kepada saiz. Ada yang bersaiz 0.4 meter sehingga 2.7 meter. Pada tahun ini Murugesan menerima tempahan kavadi daripada seorang warga Myanmar yang dianggapnya sesuatu yang istimewa.

Sementara itu, selain kavadi dan belanga susu, ada juga penganut yang membayar nazar kepada Dewa Murugan dengan memakai kasut paku. Menurut seorang peniaga dari Pulau Pinang, R. Karunagaran kasut paku yang mengandungi lebih 300 batang paku itu dijual pada harga di antara RM350 hingga RM600 mengikut saiz dan corak.

Selain itu, dia turut membuat paal kavadi. Dia menjualnya pada harga di antara RM130 hingga RM200 mengikut saiz. Bagaimanapun, tempahan kavadi yang diterimanya hanya 100 berbanding 200 kavadi tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: