Friday, January 29, 2010

Perlukah artis belajar berlakon?



Industri seni hiburan tanah air sentiasa ketandusan artis-artis yang berbakat. Malah ada antara mereka hanya bersandarkan rupa namun bakat tidak seberapa. Sebagai langkah membantu industri perfileman negara untuk terus maju, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menganjurkan satu kursus lakonan 'Master Class Acting'.

Kursus yang bertujuan menambah dan meningkatkan kreativiti lakonan artis di Malaysia ini dilihat sebagai sumbangan Karyawan dan Finas untuk lebih memperkasakan industri seni hiburan di tanah air.

Menurut Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez, melalui kursus yang dianjurkan ini, para penggiat seni akan dapat meningkatkan lagi kemahiran serta kesedaran mereka agar lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dalam industri seni hiburan tanah air.

“Kursus ini merupakan satu proses pembelajaran untuk semua. Ia tidak tertumpu kepada artis yang baru memulakan langkah, tetapi ia terbuka kepada semua yang bergelar pelakon. Dengan ini, mereka dapat meningkatkan lagi ilmu sedia ada.

“Jika dilihat banyak pembelajaran secara tidak formal. Mereka menuntut daripada pelakon senior sahaja. Jadi, inilah masanya mereka mengorak langkah untuk menimba pengetahuan tentang ilmu lakonan daripada tenaga pengajar yang dijemput khas daripada luar negara.

“Tenaga pengajar yang terpilih untuk memberi kursus lakonan kepada artis adalah mereka yang mempunyai ilmu tentang lakonan. Selain itu, ia juga akan dapat membawa pembaharuan kepada persada seni tanah air,” jelasnya lagi.

Kursus yang dianggap dapat membantu industri seni ini boleh dibanggakan kerana ia merupakan satu usaha untuk memartabatkan industri seni. Namun adakah usaha ini mendapat respons yang baik di kalangan penggiat seni tempatan?

Prof Madya Razak Mohaideen – Penerbit dan pengarah

“Setiap pengarah sudah pasti mahukan pelakon berkualiti. Kursus seperti ini merupakan tapak mula bagi artis baru. Ia merupakan pendedahan buat mereka dan memudahkan perjalanan mereka dalam industri seni ini."

Kamal Adli - Pelakon

“Saya menyokong sepenuhnya usaha yang dilakukan oleh pihak Karyawan dan Finas. Sebagai artis baru, perlu bagi saya untuk memantapkan lagi mutu lakonan saya. Saya juga berharap peluang ini akan dapat memberi input berguna kepada semua pelakon."

Fouziah Gous – Pelakon

“Sebagai pelakon generasi baru, saya memandang perkara ini sebagai langkah untuk lebih memberi ilmu kepada pelakon. Tapi ia tidak semestinya pelakon muda sahaja, tapi untuk semua pelakon kerana ilmu seperti ini bukan mudah untuk diperoleh. Dengan ini, segala kelemahan dapat diatasi."

Intan Ladyana - Pelakon

“Walaupun kursus ini belum meluas lagi di kalangan artis tempatan, saya melihat ada usaha untuk memantapkan industri lakonan negara. Apa yang saya harapkan usaha seperti ini akan dapat berterusan dan lebihkan promosi agar semua pelakon mengetahuinya.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: