Friday, January 29, 2010

Semangat harimau warnai koleksi Tahun Baru Cina


KANAK-KANAK yang suka bergerak aktif dan pada masa yang sama perlu bersikap sopan terutama ketika berkunjung ke rumah rakan ibu bapa.


BAGI masyarakat Cina, tahun Harimau yang bakal disambut bersempena Tahun Baru Cina pada Februari ini bukan sekadar lambang keberanian malah lebih daripada itu.

Di sebalik kegawatan ekonomi yang melanda negara dalam tahun lalu, kaum Cina yakin semangat dan kebangkitan ekonomi akan pulih sehebat semangat harimau yang sering berjaya apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Bagi kaum Cina juga tahun baru yang akan disambut pada pertengahan Februari ini lebih daripada satu pengharapan dan optimis.

Pusat membeli belah terkenal, Metrojaya mengambil semangat Harimau dalam koleksi terbaru fesyen tahun barunya.

Penggunaan motif harimau dan diserikan dengan bunga-bungaan merah memberi suntikan baru dalam gaya serta penampilan setiap ahli keluarga.

Antara jenama yang mengambil tempat pada pertunjukkan fesyen yang berlangsung di ruang niaga pusat membeli belah Metrojaya, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini ialah Emanuelle untuk wanita, Passages untuk lelaki dan wanita, Cape Cod, East India Company, Somerset Bay dan pelbagai jenama untuk pakaian kanak-kanak.

Lebih 50 fesyen terbaru dipertontonkan kepada umum dan fesyennya pula bukan sahaja sesuai untuk sambutan Tahun Baru Cina malah sepanjang tahun.

Keutamaan penggunaan warna pula tidak lagi terhad kepada merah sahaja malah seri pemakai timbul apabila seseorang pandai menggayakan pakaian bersesuaian mengikut tema dan tempat.

Fokus utama dalam koleksi tahun baru Emanuelle ialah cetakan motif pelbagai kulit harimau pada fesyennya.

Tidak kira apa jua fesyen yang diketengahkan warna yang mendominasi koleksi Emanuelle kali ini tetap merah.

Gabungan warna merah dan fuchsia adalah warna asas yang melatari koleksi terbaru dari Passages.

Untuk tahun ini koleksi wanita mengetengahkan sulaman dan tidak melupakan unsur jahitan tradisional terutama pada penggunaan butang pada cheongsam dan blaus.

Fabrik satin yang dilukis motif bunga-bunga dalam kemasan kolar mandarin untuk pakaian lelaki memang mencuri tumpuan. Amat sesuai dipakai oleh lelaki dari semua kaum yang ada di Malaysia.

Sementara itu jenama yang memfokuskan kepada keselesaan dan gaya hidup aktif, Cape Cod membawakan tema Cruise yang lebih cenderung kepada gaya si pelayar yang lasak namun tetap bergaya.

Penggunaan warna terang dan ceria seperti kuning, merah jambu dan hijau pula menjadi asas kepada koleksi terbaru Cape Cod ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: