|
|
POPULARITI buah tamar ketika bulan Ramadan mencetuskan idea kepada seorang pengusaha kek, Norrizan Alias, 49, untuk menghasilkan kek tamar sebagai juadah yang sesuai dimakan sepanjang tahun.
Sememangnya tamar boleh dipelbagaikan lagi resepinya seperti dibuat kek supaya ia lebih bersifat kontemporari bernilai komersial dan mampu menjadi kek istimewa untuk semua peringkat usia.
Penghasilannya menggunakan lebih 70 peratus isi kurma yang diadun dengan sedikit tepung, telur dan gula serta jintan hitam atau lebih dikenali sebagai habbatus sauda.
Menurut Norrizan, dengan menghasilkan kek tamar secara tidak langsung buah yang mempunyai banyak khasiat ini tidaklah hanya dinikmati pada bulan Ramadan saja, malah ia dapat diamalkan sepanjang masa dalam bentuk kek.
"Kita semua sedia maklum bahawa buah kurma memang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.
"Bagaimanapun kebanyakan kita tidak menjadikan memakan kurma sebagai amalan harian. Manakala habbatus sauda pula memang digalakkan pengambilannya setiap hari.
"Kini, dengan adanya kek sebegini, ia dapat dijadikan hidangan bukan sahaja ketika musim perayaan tetapi untuk amalan pemakanan seharian sama ada ketika sarapan pagi, minum petang atau sebagai hidangan pencuci mulut selepas makan," katanya ketika ditemui di kedainya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Berikutan permintaan tinggi terhadap kek kurma terutama di kalangan umat Islam sepanjang bulan Syawal, Norrizan berusaha mengkomersialkan produk tersebut dengan nama Tamar Cake with Habbatus Sauda.
Beliau, yang juga pemilik Norrizan Bakers di Taman Len Seng, Petaling Jaya, berkata, idea mencipta resipi berkenaan tercetus selepas melihat kebanjiran pelbagai jenis kek di pasaran pada setiap kali musim perayaan, tetapi tiada satu pun yang mempunyai imej dan identiti umat Islam khususnya bersempena perayaan.
"Sebagai contoh kita dapat lihat pada hari Krismas, masyarakat Kristian berbangga dengan kek Krismas. Pada Tahun Baru Cina pula ada kek bulan sedangkan pada Hari Raya Aidilfitri masyarakat Islam tiada kek khusus sebagai lambang keistimewaan juadah pada hari istimewa itu," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.
Norrizan yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pastri berkata kepada sesiapa yang berminat menjadi pengedar dan stokis diseluruh negeri boleh menghubungi di talian 1300 888 KEK (535), 03 78763336 atau layari laman web www.norrizanbakers.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: