Konsep Baba Nyonya yang diterapkan pada Legend Crest suite mencerminkan budaya Malaysia.
MEJA kopi bulat menyambut tetamu sebaik daun pintu bilik dibuka. Meja yang diletakkan berhampiran pintu gelangsar dan sofa rona ungu lembut itu cukup menarik perhatian. Bukan kerana rekaan yang unik atau pelik tetapi hidangan yang diatur kemas di atasnya.
Kedudukan sebiji bakul siah yang berisi aneka buah dan teko Nyonya di dalam bakul anyaman rotan amat simbolik.
Pemilihan bakul siah dan teko teh Nyonya merupakan item signatur untuk menterjemah tema dan konsep suite Legend Crest.
"Elemen dekorasi yang diterapkan bukan kerana perayaan Tahun Baru Cina. Sebaliknya, mesej yang mahu disampaikan ialah tetamu sedang beristirehat dan menginap di dalam bilik berkonsepkan Baba Nyonya.
"Penerapan dekorasi ini secara tidak langsung memperkenalkan salah satu keunikan kelompok masyarakat Malaysia kepada tetamu khususnya pelancong asing," terang Pengurus Komunikasi Hotel Legend, Lee Meng Hong ketika ditemui Kosmo! di suite Legend Crest yang seluas 60 meter persegi.
Legend Crest bukanlah suite baru dalam kategori bilik yang ditawarkan di Legend. Pada asalnya suite yang terdapat di aras 12 hingga 16 itu merupakan bilik kategori eksekutif.
Namun enggan membiarkan pelanggan setia suite eksekutif bosan dengan dekorasi dan konsep yang sama, pihak pengurusan Legend mengambil keputusan melakukan transformasi. Pada Julai 2009 Legend Crest sudah sedia untuk dihuni.
Pengubahsuaian itu tidak terhad kepada elemen hiasan. Sebaliknya turut meliputi penukaran perabot dan dekorasi kamar mandian. Susun atur yang ringkas sama sekali tidak menjejaskan kerana sentuhan magis tata riasnya berjaya membuatkan atmosfera bilik tampak mewah.
Begitu juga dengan kehadiran elemen budaya Baba Nyonya yang digarap bersama perabot konsep moden kontemporari.
Biarpun katil bersaiz king hanya dibentangkan cadar linen polos putih krim namun ia masih memiliki daya tarikan tersendiri. Apatah lagi dinding di kepala katil dihiasi papan bermotifkan corak kerawang yang diinspirasikan daripada fabrik busana masyarakat Baba Nyonya.
Hamparan permaidani suite yang berasaskan coklat gelap dan bercorak kelabu juga tidak mengecewakan. Pemilihan corak sedemikian antara pilihan ideal bagi dekorasi suite yang tidak sarat dengan perhiasan. Hasilnya pengunjung dapat menenangkan fikiran setelah seharian penat menghadiri mesyuarat dan mengendalikan urusan perniagaan.
|
|
Moden kontemporari
Tambah Meng Hong, kebanyakan hotel bertaraf lima bintang lebih cenderung memilih tema Barat atau Asia Barat yang berkonsepkan moden kontemporari. Namun untuk memartabatkan keunikan Malaysia maka suite Legend Crest diterapkan dengan nilai-nilai estetika Baba Nyonya.
"Sebelum ini pengunjung antarabangsa hanya mengenali Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Diharapkan selepas menginap di suite Legend Crest mereka akan tahu bahawa kita juga mempunyai kelompok masyarakat Baba Nyonya atau Peranakan.
"Sebab itulah, selain bakul siah, dua buah lukisan yang menceritakan budaya Baba Nyonya digantung kemas di dinding. Lampu panjang dalam karung rotan yang mencerminkan budaya Peranakan digantung bersebelahan sofa hijau dari jenis kulit," kata Meng Hong yang turut menyatakan penghuni kamar berpeluang menghirup teh Cina dan Jepun.
|
Bersesuaian dengan sasaran pengunjung yang terdiri daripada golongan korporat dan ahli perniagaan penginapan di Legend Crest menawarkan keselesaan untuk urusan perniagaan.
Pelayar Internet juga tidak perlu bimbang kerana terdapat kemudahan Internet. Hasilnya pengunjung dapat menjalani pelbagai tugasan dalam kamar yang tenang selain hiasan bunga-bunga segar dalam balang kaca yang memenuhi segenap ruang.
Selesai dengan agenda perniagaan seharian segarkan tubuh badan yang keletihan dalam kamar mandian. Rendamkan diri seketika dalam tab mandi atau mandi di bawah curahan shower yang mempunyai sistem urutan badan.
Bilik bertaraf Legend Crest itu bukan sahaja boleh dinikmati sebaik sahaja melangkah ke dalam bilik. Sebaliknya pengunjung suit berkenaan sudah menerima layanan istimewa sejak melakukan urusan daftar masuk lagi.
Ini bermakna penginap di Legend Crest tidak perlu mendaftar seperti biasa di kaunter pendaftaran ruang lobi. Sebaliknya, hanya mengatur langkah ke Legend Crest Lounge yang dilengkapi pintu kaca dan berhawa dingin.
Ia bukan sekadar ruang untuk mendaftar masuk. Sebaliknya Legend Crest Lounge juga menyediakan ruang makan untuk penginap suit Legend Crest menikmati sarapan pagi. Bermula dari pukul 6 petang hingga 8 malam sajian koktel percuma dihidangkan kepada penginap yang bukan beragama Islam.
"Penginap suit Legend Crest boleh mendapat potongan diskaun sebanyak 30 peratus di semua rangkaian tempat makan di dalam hotel ini. Caranya pengunjung hanya perlu menunjukkan kad kekunci bilik Legend Crest," kata Meng Hong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: