Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) akan mempersembahkan Imbauan 2 khusus untuk memberi penghormatan kepada seniwati Allahyarhamah Normadiah di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada hari Sabtu 13 Februari dan Ahad 14 Februari jam 8.30 malam.
Pemilihan Normadiah sebagai tokoh yang diketengahkan kali ini lantaran kehadiran beliau yang telah memberi impak besar di persada seni suara, lakonan dan tarian. Allahyarhamah merupakan seorang penyanyi runut bunyi untuk kebanyakan filem Melayu lama.
Selain itu, beliau merupakan penyanyi untuk kumpulan bangsawan dan penyanyi asal kumpulan Panca Sitara yang ditubuhkan P Ramlee. Selain seorang guru tari hebat, beliau juga dikenali sebagai seniwati tersohor kerana keberkesanannya membawa watak antagonis.
Untuk menyemarakkan persembahan ini, KSPP menampilkan legasi Normadiah iaitu Azlina dan Liza Aziz yang akan memberi sentuhan nostalgia untuk lagu-lagu ibu mereka.
KSPP juga akan turut berkolaborasi dengan Musly Ramlee yang menyerlah dalam teater P Ramlee The Musical baru-baru ini. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah Penggodaan, Dewa Dewi, Mengapa Riang Ria, Jangan Merajuk, Itulah Sayang, Bulan Dan Juga Angin dan Selendang Sayang dan Janji Diikat.
Semua lagu bakal digubah dalam bentuk orkestra. Pemuzik-pemuzik KSPP bakal dipimpin oleh pengarah muzik Ahmad Muriz Che Rose.
Bagi anda yang ingin menyaksikan konsert ini, tiket boleh didapati dengan harga RM15 hingga RM60. Untuk maklumat lanjut layari laman web, www.dfp.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: