|
|
POPULARITI dan kejayaan yang dinikmati oleh Aizat dalam tempoh yang singkat sebetulnya menggusarkannya.
Manakan tidak, dia bimbang andai namanya pantas berada di puncak, tidak mustahil kalau dia tersungkur juga dengan mudah.
Bila difikirkan kebimbangan Aizat itu, ada benarnya dengan sejarah hiburan tanah air.
Perkara itu bukan saja menggusarkannya, bahkan perasaan yang sama dirasakan seluruh ahli keluarganya.
Untungnya menjadi Aizat apabila dia memiliki keluarga dan teman-teman yang menyokong serta menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini.
Bagi Aizat, mereka banyak menasihatinya andai dia tergelincir dan menjadi seorang yang lupa diri kelak.
Mereka yang dimaksudkan ialah bapanya, Datuk Amdan Mat Din, 53; ibunya, Fina Norhizah Baharu Zaman, 52 dan bapa tirinya, Syed Abdul Rahim Syed Jaafar, 53.
Tidak ketinggalan adik-beradiknya yang lain iaitu Muhammad Amir, 29; Muhammad Amar, 27; Nurilizuhair, 25; Muhammad Anas, 22; dan Muhammad Aliff, 18.
Jika ada yang tidak tahu, konsep persembahannya untuk lagu Pergi dan Kau Aku pada Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) baru-baru ini merupakan idea bersama Aizat dan ahli keluarganya yang lain.
"Mereka banyak membimbing saya dan sentiasa mengingatkan saya agar menjaga tingkah-laku dan yang paling penting, jangan tinggalkan solat.
"Bersama keluarga juga, ia membolehkan kami sama-sama duduk berbincang dan melahirkan idea-idea yang bernas demi memantapkan lagi kerjaya seni saya sebagai seorang penyanyi serta komposer," jelasnya bersungguh ketika ditemui pada majlis kesyukuran sempena kemenangannya pada AJL24 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
Turut hadir komposer dan penulis lirik lagu Pergi, Pete Teo dan Amran Omar serta maestro muzik terkenal, Ramli M. S selain pelajar-pelajar sekolah yang mengiringinya persembahannya di malam AJL24 untuk lagu Kau Aku sehingga berjaya menobatkannya sebagai Persembahan Terbaik.
Majlis yang diadakan dalam suasana ceria dan meriah itu turut diadakan bagi meraikan hari lahir Aizat yang ke-21 pada 21 Januari lalu.
Sudah menginjak usia 21 tahun, Aizat sudah dianggap seorang yang dewasa dan berhak untuk mendapat kunci kebebasannya.
Berkongsi perasaan di hari kemanisannya itu, pemilik nama sebenar Muhammad Aizat Amdan ini sekadar tersenyum dan menyifatkan umur hanyalah angka sahaja.
"Tidak bermakna apabila saya sudah berusia 21 tahun, saya boleh buat apa sahaja yang saya suka dan mengubah diri serta-merta.
"Saya akan tetap menjadi diri saya sendiri dan banyak perancangan yang mahu saya realisasikan untuk tahun ini seiring dengan azam saya apabila berusia 21 tahun," ujar anak kelima daripada enam beradik ini penuh optimis.
Sempat juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) diusik tentang soal cinta dan perhubungan.
Maklumlah, sudah berusia 21 tahun, mana tahu soal itu juga merupakan salah satu perkara yang tercatat dalam agendanya.
Sambil ketawa kecil, soal itu akan tiba bila tiba waktunya kerana dia mahu memfokuskan kepada kerjaya seninya yang semakin mengharum dan berkembang wangi ketika ini.
Mata melilau juga mencari kelibat teman rapat Aizat iaitu pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay pada majlis tersebut yang tidak pernah ketinggalan menghadiri majlis yang membabitkan Aizat.
Namun, Liyana tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu dan untuk itu, Aizat telah ditebak tentang hadiah hari jadi pemberian Liyana.
Jika tahun lalu, Liyana menghadiahkan sekotak kek cawan yang ditempah khas buat Aizat. Tahun ini apa pula pemberian gadis comel itu buat temannya itu?
"Inilah hadiah Liyana kepada saya," jawab Aizat ringkas tanpa berselindung sambil menunjukkan jam tangan berjenama ToyWatch berwarna kuning yang berada di pergelangan tangan kirinya.
Memang bertuah menjadi Aizat kerana dilahirkan dalam keluarga senang, semua keinginan dan kerja yang mahu dilakukan menjadi mudah.
Tetapi bagi Aizat, semuanya tidak akan menjadi tanpa kerja keras.
"Semua kejayaan yang saya peroleh hasil kerja keras. Tidak nafikan keluarga dan syarikat kami, Kasi Gegar Entertainment banyak menolong dan membantu tetapi, kalau tiada usaha, semuanya tidak akan berjalan dengan lancar.
"Saya sedar bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak," jelas pelantun Lagu Kita ini berkongsi pandangan.
Duduk bersembang dan mendengar cita-cita Aizat memang menyeronokkan yang sarat dengan semangat jiwa anak muda yang cukup kental.
Aizat juga enggan menunggu lama lagi untuk menyiapkan album keduanya.
Sementara menanti album sepenuhnya siap, Aizat terlebih dahulu akan melancarkan single terbarunya, Susun Silang Kata yang kini sudah mula berkumandang di corong radio.
Tidak cukup dengan itu dan sekiranya semua berjalan dengan lancar, Aizat bakal mengadakan persembahan jelajah seluruh negara dan di luar negara.
Namun, satu impiannya yang tidak pernah padam ialah untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dalam menggapai impiannya menjadi seorang anak seni yang dihormati.
"Saya mahu belajar lebih tentang ilmu muzik terutama sekali skor muzik kerana saya juga ada cita-cita mahu menjadi seorang komposer bagi muzik untuk filem.
"Bukan itu sahaja, adalah menjadi impian saya untuk memiliki sebuah studio sendiri seperti Abbey Road Studio yang terletak di London," katanya dalam nada bersungguh.
Diajak bercerita tentang Konsert Satu Suara yang akan dijayakan bersama Faizal Tahir bermula 12 Februari, Aizat bersyukur dan gembira apabila peluang sebesar itu diberikan kepadanya.
Mengucapkan terima kasih kepada Siti Nurhaliza Productions selaku penerbit konsert, apa yang diharapkan Aizat adalah konsert itu nanti mampu meninggalkan impak besar kepada semua pihak.
Pada konsert itu nanti, Aizat dijangka akan mempersembahkan dalam 10 hingga 13 buah lagu secara solo selama 45 minit.
Selain itu, Aizat juga akan berduet bersama Faizal serta mengadakan persembahan khas bertiga dengan Datuk Siti Nurhaliza dalam konsert yang berdurasi dua jam setengah itu.
"Bagi saya, Konsert Satu Suara adalah tentang perpaduan dan semangat saya, Faizal dan Siti dalam memperjuangkan muzik kami.
"Peluang sebegini memang susah untuk didapati dan saya tidak akan sesekali mempersia-siakannya kerana saya sendiri sudah tidak sabar lagi untuk beraksi di konsert ini," katanya yang akan menjalani latihan tidak lama lagi.
Konsert Satu Suara akan memperlihatkan kehebatan Aizat dan Faizal menyanyi dengan diiringi tujuh pemuzik profesional dan 20 orang pemain strings dari Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Tiket-tiket untuk menyaksikan Konsert Satu Suara kini sudah mula dijual dan peminat mempunyai dua opsyen sama ada mahu menontonnya pada malam gala atau hari biasa.
12 Februari telah dipilih sebagai Malam Gala Satu Suara, Sepenuh Hati yang merupakan kerjasama antara SNP dan Yayasan AEON Malaysia.
Untuk itu, bayaran tiket khusus pada malam gala itu nanti akan berbeza dengan harga tiket normal untuk persembahan pada 13 dan 14 Februari iaitu RM108, RM161, RM241, RM335 dan RM402.
Bagi mereka yang mahu menyaksikan Konsert Satu Suara pada 13 dan 14 Februari pula, tiket-tiket yang berharga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM350 sudah pun mula dijual.
Kesemua tiket-tiket boleh dibeli di kaunter box-office Istana Budaya, Jusco Bukit Tinggi, Jusco 1 Utama, Jusco Taman Maluri dan Jusco Alpha Angle.
Tempahan dan pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan melayari laman web, www.ticket2u.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: