MEMIKUL tanggungjawab mengacarakan rancangan Nona bagi musim ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi Maya Karin atau nama sebenar Maya Karin Roelcke.
Pelakon berusia 30 tahun ini mengakui masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya untuk menjadikan rancangan tersebut menjadi santapan terbaik penonton di setiap hujung minggu.
Dia juga tidak menolak terdapat segelintir penonton yang masih belum menerima dirinya sebagai pengantara rancangan popular terbitan TV3 itu.
"Sudah hampir sebulan ke udara, saya semakin serasi dengan Nona. Saya tahu ada yang tidak suka saya mengacarakan rancangan ini, tapi ramai juga yang suka, it’s ok for me.
"Saya tidak boleh halang mereka untuk tidak suka saya. Tidak semua yang kita buat orang suka, jadi saya buat untuk mereka yang suka saya sahajalah.
"Namun begitu saya akan perbaiki kelemahan saya terutama dari segi bahasa. Saya akui saya tidak seperti pengacara-pengaca sebelum ini, saya masih lagi belajar untuk perbaiki berbahasa Malaysia tanpa dialek Indonesia.
"Tapi saya tak mahu terikut-ikut dengan pengacara Nona sebelum ini, biarlah saya dengan gaya saya sendiri. Saya lebih banyak buat kajian tentang pengacara luar negara," ujarnya yang menjadikan Wan Zaleha Radzi sebagai idola.
Dalam pada itu, Maya turut memberitahu dia dalam proses pembikinan album terbaru yang bakal keluar pada penghujung tahun ini.
"Insya-Allah tahun ini album saya siap dan keluar, sekarang masih lagi proses rakaman lagu, saya pun sibuk dengan berlakon dan mengacara jadi banyak sangat masalah dari segi masa.
"Single berjudul Terbang baru sahaja keluar di corong-corong radio dan sekarang tunggu album siap sepenuhnya," ujar isteri kepada Muhammad Ali.
Menyentuh tentang perkembangan lakonan, Maya memberitahu selepas selesai pengambaran filem Cun arahan Osman Ali, dia dilamar sebuah produksi untuk berlakon di pentas teater. Namun dia terpaksa menolak kerana kekangan masa.
"Saya baru sahaja habis pengambaran filem Cun, ada tawaran untuk berlakon teater tapi saya terpaksa tolak sebab sudah terlalu hampir dan jadual saya sekarang tidak mengizinkan," ujarnya yang selesa digandingkan dengan bintang Nur Kasih Remy Ishak dalam filem Cun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: