TAHAP kesihatan pemain-pemain industri hiburan terus menjadi pertikaian masyarakat luar yang terlalu rajin memerhati dengan mata, mulut, hidung, telinga dan lidah. Semua deria digunakan untuk lebih menghayati dalam pemerhatian itu supaya mudah mendirikan hujah untuk dipertikaikan.
Tidak dinafikan ramai yang sakit, cuma tahap kesakitan itu berbeza-beza bergantung kepada daya ketahanan badan masing-masing. Bagaimanapun jangan hanya memandang penyakit artis kerana sebagai manusia seperti peminat dan masyarakat pemerhati, mereka juga mempunyai virus dan bakteria di dalam badan yang kadang-kadang bisa memusnahkan orang lain.
Virus yang ada di dalam diri sendiri harus dijaga supaya tidak menular menjangkiti orang sekitar. Bagaikan virus H1N1 yang perlu dikekang, begitu juga dengan virus penyakit hati sesama manusia yang Aditya lihat semakin pesat penularannya di kalangan pemerhati industri seni.
Kemudahan Facebook atau apa saja yang sejenis dengannya, selalu digunakan dengan cara tidak betul mungkin kerana hati mereka juga tidak berada di tempat yang sepatutnya.
I Hate Fasha Sandha dan We Hate Memey, dua akaun (setakat ini yang diketahui) dibuka di dalam Facebook untuk menyatakan kebencian golongan manusia ini terhadap dua artis wanita yang sebelum ini sering menjadi bahan cemuhan masyarakat. Tidak cukup dengan paparan media yang cuba memberi keadilan terhadap mereka, pihak yang bukan media pula mencipta kumpulan untuk membenci mereka berdua.
Walau jahat atau silap mana sekalipun mereka, Fasha dan Memey juga manusia yang dicipta Allah. Membenci mereka bermakna membenci ciptaan Allah. Tidakkah pembenci itu tahu kaitan pautan tersebut?
Aditya bukan peminat dua artis yang dicop perampas suami orang itu tetapi sebagai manusia, Aditya tertanya-tanya ke mana hilangnya nilai kemanusiaan di kalangan kita hari ini. Usah biarkan nilai itu pudar dan pupus kerana kebencian itu.
Alangkah bahagianya para syaitan dengan perkembangan ini. Bergembira bertepuk tangan mereka menyambut kebencian manusia terhadap manusia lain sekali gus menandakan satu lagi kemenangan mereka ke atas porak peranda anak Adam.
Siapa lagi selepas Fasha dan Memey? Kebebasan yang diberikan seumpama disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing (dalam konteks yang dimaksudkan di sini ialah terhadap kedua-dua artis tersebut).
Ya, memang mereka mempunyai hak untuk bersuara tetapi di dalam cara apa dan bagaimana? Apakah ia sesuai dengan budaya Malaysia yang selama ini kononnya kita agungkan sebagai tebal dengan adat ketimuran yang penuh sopan santun dan berbudi bahasa?
Tidak dinafikan Fasha dan Memey melalui fasa kehidupan peribadi yang hitam (kononnya selalu dicop sebagai perosak rumah tangga wanita lain) tetapi harus diingat, kesilapan mereka itu seharusnya menjadi teladan dan sempadan buat kita yang memerhati agar tidak mencontohi yang apa yang telah mereka lakukan.
Pun begitu, kalaulah dakwaan selama ini itu benar belaka kerana kita juga ingat, bertepuk sebelah tangan biasanya tidak berbunyi. Tidak tahu pula kalau zaman sekarang, bermain tepuk amai-amai dengan angin kosong pun ia boleh menggegarkan dunia?
Kebebasan untuk kita meluahkan nuansa benci yang terdetik di dalam hati itu ada ketikanya silap lokasi malah kalau kita bercakap mengenai kebencian ini dalam konteks Islam atau dalam juga agama anutan, perkara itulah yang amat tidak disukai oleh Tuhan.
Usah membiarkan benci yang sekelumit berdetik di hati membiak membentuk habitat dalam diri kita sehingga ia akhirnya mampu mengawal diri kita dengan sifat amarah.
Benci bagaikan kuman yang akan membentuk koloni dan mencipta nanah seperti bisul. Lalu kita biarkan ia membesar sehingga menjadi penyakit merbahaya seperti kanser seumpamanya. Siapa yang susah kalau bukan diri kita sendiri.
Namun kerana kebencian itu juga, menyebabkan nyalaan api amarah yang akan menguasai diri. Silap-silap orang, tidak mampu untuk mengawalnya dan anda tahu apa akan terjadi dalam episod kehidupan manusia itu seterusnya.
Macam juga hak kebebasan untuk membenci seseorang yang cuba Aditya bentangkan kali ini. Kita perlukan kebebasan tetapi kiranya keterlaluan, ia boleh merosakkan dan dalam situasi ini, ia bisa memusnahkan hati kita. Tolonglah cuba belajar bersikap positif, memandang yang putih di sebalik kepekatan hitam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: