Friday, January 29, 2010

Barah bukan noktah


SEBAHAGIAN ahli Pride yang menyertai acara peragaan fesyen pada majlis Sepetang Bersama Dr. Yap Lok Huei.


KECERIAAN dan kegembiraan yang terpampang pada wajah dua sahabat ini langsung tidak menampakkan bahawa mereka sedang bergelut dengan masalah kesihatan yang cukup berbahaya dan mampu meragut nyawa.

Malah penglibatan dalam acara peragaan fesyen semasa majlis Sepetang Bersama Dr. Yap Lok Huei di pusat beli-belah The Curve, di Damansara, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini, mengukuhkan lagi tanggapan bahawa Yasogee Pechumuthu, 46, dan Muzaliza Musa, 38, sememangnya individu biasa yang sihat dan aktif.

Hakikatnya tiada siapa yang mengetahui bahawa mereka dan sebahagian besar wanita yang hadir pada petang itu merupakan pesakit barah payu dara yang kini di fasa ketiga dan kedua.

Tidak mahu memikirkan nasib serta penyakit yang 'menghuni' tubuh masing-masing, kumpulan wanita ini bertekad untuk tidak menoleh ke belakang malah terus memandang ke hadapan bagi meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang.

Berbekalkan kecekalan diri, Yasogee dan Muzaliza, yang masing-masing masih lagi menjalani rawatan pemulihan barah payu dara, tabah menghadapi hari-hari mendatang.

Merencana pelbagai aktiviti untuk masa-masa yang terluang, kedua-duanya turut melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kebajikan selain yang melibatkan pesakit-pesakit barah payu dara.

Ini kerana mereka perlu mengutamakan gaya hidup sihat agar risiko penyakit dapat dikurangkan.

Jika diimbas kembali, penyakit barah merupakan pembunuh utama di negara ini dan barah payu dara mencatatkan jumlah paling banyak selain daripada barah pangkal rahim.

Mengikut statistik, pada tahun 1995, seramai 2,367 atau 8.6 peratus daripada 27,404 penghidap penyakit barah di negara ini mati di hospital-hospital kerajaan.

''Saya tidak akan berada di sini, jika diri sendiri tidak kuat, apalagi tanpa semangat dan sokongan ahli keluarga, teman-teman serta masyarakat.

''Selepas bangkit daripada dibelenggu penyakit paling menakutkan ini, kini tiada siapa yang mampu menahan saya daripada meneruskan kehidupan harian seperti biasa,'' ujar Yasogee.

Majlis Sepetang Bersama Dr. Yap Lok Huei merupakan anjuran Theobroma Chocolate Lounge dan Pink Ribbon Deeds (Pride), sebuah pertubuhan bagi menyokong pesakit barah payu dara.

Majlis tersebut antara lain bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai mengenai pembedahan plastik dan membina semula tisu bagi pesakit-pesakit atau bekas pesakit barah payu dara.

Dalam pada itu, Yasogee disahkan menghidap penyakit berbahaya itu pada September 2006.

Sebaik sahaja mendapat khabar itu, dia berasakan dunianya gelap-gelita dan hanya mampu menangis sepanjang masa.

Setelah setahun menjalani pelbagai rawatan termasuk kimoterapi, akhirnya Yasogee bangkit meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi apabila memikirkan nasib anak-anaknya.

Ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak ini juga akhirnya kembali menjalankan tugasnya sebagai guru di Sekolah Menengah Desa Pandan, Kuala Lumpur, selepas memohon cuti tanpa gaji selama dua tahun untuk menjalani rawatan.

Sementara itu, bagi Muzaliza yang tidak mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit tersebut juga terkejut dan sedih apabila mengetahui bahawa ketulan yang dikesan pada payu daranya sebenarnya penemuan awal kepada penyakit berbahaya itu.

Walaupun telah menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut, wanita kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, masih perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan sekali di samping mengambil ubat hormon selama lima tahun.

''Walaupun barah saya baru di peringkat kedua ketika mula dikesan, saya masih belum bebas sepenuhnya daripada penyakit tersebut kerana doktor memberi tempoh selama lima tahun untuk mengesahkannya.

''Dalam tempoh itu, saya perlu menjalani rawatan susulan selain mengambil ubat hormon untuk mencegah sel-sel barah daripada kembali merebak.

''Sebagai hamba-Nya, saya menerima takdir ini sebagai ujian Tuhan dan bersyukur saya masih lagi diberi peluang untuk menjalani kehidupan bersama anak dan suami,'' ujarnya.

Mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli keluarga, kini Muzaliza berazam dan bersemangat tinggi untuk terus menjalani kehidupan seperti individu sihat yang lain.

Sekurang-kurangnya dia berkata, insan senasib dengannya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tabah selepas apa yang menimpa.

Lebih penting, pesakit mahupun bekas pesakit menanam kesedaran bahawa barah payu bukanlah titik noktah kepada kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: