Sunday, January 17, 2010

Heliza kacau suami orang?



TIDAK ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba nama Heliza, 24, peserta program realiti TV popular, Akademi Fantasia musim kelima (AF5), disebut-sebut. Kalau disebut kerana menang anugerah, dikurniakan darjah kebesaran atau bakal mengedarkan kad kahwin itu perkara lumrah bergelar artis.

Namun, apabila namanya menjadi sebutan kerana perkara yang juga sesuatu yang lumrah di kalangan artis - dikatakan mengacau suami orang, nampaknya ia kini menjadi isu sensasi dunia hiburan tempatan.

Semuanya berpunca rentetan seorang pemanggil membuat panggilan ke sebuah stesen radio terkemuka negara mendakwa kononnya gadis bertudung litup dan bermata galak itu mempunyai hubungan dengan suami orang!

Tidak melatah ketika dihubungi Sensasi Bintang untuk memberi komen lanjut tentang berita itu, Heliza sebaliknya tergelak kecil menyambut persoalan yang bertubi-tubi ditujukan kepadanya.

Heliza kenal lelaki yang disebut oleh pemanggil itu?

Kalau nak kata saya tidak kenal suami orang, tipulah kerana saya pun ada kawan yang sudah berkahwin. Tetapi saya memang tidak kenal lelaki yang dimaksudkan.

Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang?

Pemanggil itu hanya memberi gambaran dan tidak menyebut nama saya pun. Justeru, jangan buat anggapan mudah bahawa artis itu ialah saya.

Apa perasaan Heliza apabila dilanda gosip seperti itu?

Saya rasa kelakar apabila nama saya yang naik. Semasa saya baca berita itu di dalam Internet pun saya hanya mampu tersenyum.

Pelik, saya yang tidak ada kaitan tiba-tiba disebut. Saya sekarang sedang sambung belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Macam mana pula saya boleh keluar dengan sesiapa di tempat lain?

Lagipun UMS mempunyai had masa (curfew) yang ketat untuk keluar masuk dan saya sentiasa berjaga-jaga dengan had waktu itu.

Keluarga sudah tahu tentang gosip itu?

Keluarga tahu tentang gosip itu tetapi sehingga hari ini, abah dan mak masih tidak bertanya apa-apa kepada saya kerana mereka tahu semua yang saya buat dan tidak buat.

Selama ini pun mak dan abah mengetahui segala pergerakan saya, walau sekecil mana pun. Pesanan terakhir mereka sebelum gosip ini timbul ialah supaya saya belajar betul-betul.

Tidak mustahil Heliza bercinta jarak jauh, bukan?

Saya tidak ada ruang untuk bercinta pun sekarang. Macam mana pula saya boleh mempunyai hubungan dengan sesiapa?

Hendak menghubungi keluarga untuk bertanya keadaan mereka akibat gosip itu pun saya belum sempat. Sepatutnya saya tidak perlu membuat sebarang penafian kerana perkara ini tidak ada kaitan dengan saya.

Sekarang saya sibuk dengan tesis akhir. Kalau ada rezeki, saya akan tamat pengajian Mei ini. Jadi, doakanlah agar semuanya berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: