SEJAK dua tahun lalu, guru besar Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10, Kuala Lumpur, Teh Zaiton Abdul Halim, 51, teruja setiap kali berkunjung ke jualan gudang buku dan majalah yang dikelolakan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D).
Tidak seperti kebanyakan pengunjung lain, Teh Zaiton sedia membelanjakan sehingga ribuan ringgit untuk jualan gudang itu. Seperti tahun-tahun sebelum ini, berkotak-kotak buku ilmiah dan novel serta bahan bacaan lain masuk dalam senarai pembeliannya.
"Sejak mengetahui adanya jualan gudang buku dan majalah di sini, saya tidak melepaskan peluang membeli buku- buku yang boleh dijadikan bahan bacaan untuk anak-anak murid saya.
"Harganya jauh lebih murah berbanding membeli secara pesanan atau membeli di kedai-kedai buku," katanya yang ditemani guru perpustakaan, Zanariah Zakaria, 37, dan pembantu tadbir Pusat Sumber, Aishah Yusuf, 30.
Sebagai pendidik yang menyandang jawatan nombor satu di sekolah, Teh Zaiton mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajarnya.
"Murid-murid sekolah rendah agak sukar ke perpustakaan untuk meminjam buku, jadi saya letakkan sebuah bakul yang penuh dengan buku di bilik-bilik darjah supaya timbul minat membaca.
"Kalau sekelas ada 40 orang, saya akan letak sebanyak 40 buah buku. Kemudian, selang beberapa minggu saya akan buat pusingan buku-buku itu di kelas-kelas lain," katanya.
Tambah Teh Zaiton, para pendidik perlu ada perancangan dalam memupuk minat membaca para pelajar. Salah satunya adalah dengan meninjau jualan gudang yang menawarkan bahan bacaan berguna.
"Di samping buku-buku ilmiah, saya akan membeli novel-novel menarik yang sesuai untuk murid-murid sekolah rendah. Saya mahu mereka sentiasa membawa buku ke mana-mana sahaja.
"Melalui usaha ini tidak mustahil budaya membaca dapat dikembangkan," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengurus UP&D, Khoo Gee Siang memberitahu, terdapat hampir 4,000 tajuk buku dan majalah boleh didapati pada jualan gudang buku dan majalah di Pejabat Urusan UP&D, Taman Shamelin, Cheras. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Ia berlangsung sehingga 7 Februari ini.
"Antara buku yang ditawarkan pada jualan gudang kali ini terdiri daripada genre motivasi, keluarga, wanita, makanan, fesyen, novel, kanak-kanak serta buku akademik untuk peringkat tadika hingga universiti.
"Majalah yang ditawarkan pula merangkumi semua majalah Kumpulan Utusan iaitu Al-Islam, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, Umph, URTV, Wanita dan Infiniti," terangnya.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Siti Rozaida Roslan memberitahu, jualan gudang kali ini memberikan nilai tambah kerana bagi setiap pembelian yang melebihi RM100, pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah.
"Bagi tempat pertama, pengunjung boleh memenangi hadiah buku bernilai RM500, tempat kedua RM300 dan tempat ketiga RM200 selain hadiah sagu hati dan hadiah cenderamata bagi pembelian dan langganan majalah.
"Bagi mereka yang melanggan majalah Wanita selama setahun, cenderamata berupa set eksklusif seperti rantai, loket dan pin kerongsang tajaan D'or Rue Sdn. Bhd. bernilai RM115," jelas Siti.
Khusus buat mereka yang meminati majalah Mastika, satu keluaran khas Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah setebal 189 muka surat dijual pada harga RM6 selepas diskaun 20 peratus.
"Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan Edisi Ekonomi setebal 2,196 muka surat dijual pada harga RM19.50. Selain itu, buku-buku terbitan 2002 dan tahun-tahun sebelumnya diberi diskaun 50 peratus manakala bagi buku yang diterbitkan antara 2003 hingga 2004, pelanggan boleh mendapat diskaun sebanyak 45 peratus," kata Siti. Potongan 20 peratus diberikan untuk koleksi buku terbaru.
Tambahnya, buku-buku tersebut boleh di dapati pada harga serendah RM1.50 sehingga RM1,300. Dalam pada itu, syarikat telekomunikasi Celcom dan Chemical Company of Malaysia (CCM) turut menjayakan jualan gudang itu dengan menawarkan produk mereka pada harga istimewa.
Sebarang pertanyaan atau untuk langganan buku dan majalah, sila hubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577 atau 03-9285 3860.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: