SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini menangguhkan keputusan kes permohonan Suberi Abdullah untuk memfaraqkan perkahwinan anaknya (membubarkan perkahwinan), Siti Fatimah Suberi bersama pelakon dan penyanyi veteran Raisuddin Hamzah di Songkhla, Thailand dua tahun lalu.
Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad menunda kepada tarikh 30 Mac ini bagi membuat keputusan tersebut.
Pada 21 Disember lalu, pasangan itu telah diperintah oleh Mahkamah supaya tinggal berasingan sehingga pernikahan mereka disah dan didaftarkan.
Permohonan pengesahan pernikahan yang dibuat Raisuddin dan Siti Fatimah di Mahkamah Tinggi akan mula dibicarakan pada 10 Februari depan.
Sementara itu di luar mahkamah, Suberi yang berang dengan tindakan jurugambar merakam gambarnya telah bertindak ganas dengan menumbuk salah seorang jurugambar dan membaling kerusi ke arah media yang sedang mengejarnya.
Peguam Syarie, Roshdan Sujak Rafie memberitahu anak guamnya mungkin tertekan dengan kehadiran media.
"Dia tidak biasa dengan media, mungkin dia tertekan apabila berhadapan dengan publisiti. Saya dah minta dia supaya mengawal emosi apabila berhadapan dengan media," katanya.
Sementara itu, Siti Fatimah dan Raisuddin yang diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd Arif enggan memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas perkara itu.
Malah, mereka juga dilihat langsung tidak bertegur sapa dengan bapanya, Suberi, sepanjang berada di mahkamah.
Pernikahan Raisuddin dan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 menimbulkan kontroversi apabila bapa Siti Fatimah memfailkan permohonan untuk memfaraqkan di Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini.
Suberi membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir (orang yang paling bertanggungjawab terhadap anaknya) langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.
Sehubungan itu, Raisuddin dan isteri keduanya itu memfailkan permohonan untuk mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah sama.
Pada 4 September lalu, isteri pertama Raisuddin, Noor A'ini Mohamad, 52, menyatakan persetujuan terhadap perkahwinan poligami suaminya yang juga bapa kepada penyanyi popular, Siti Sarah dengan isteri kedua, Siti Fatimah pada prosiding sebutan kes pengesahan dan pendaftaran poligami di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: