|
|
Laptop keluaran Acer model Aspire 3810T-942G50 kali ini cuba menonjolkan sebuah peranti multimedia yang mempunyai jangka hayat bateri sehingga lapan jam. Ciri inilah yang menjadi fokus iklan-iklan model tersebut.
Pengguna sudah semestinya ingin mencari sebuah laptop yang ringan dan mahu mengelak daripada rasa rimas dengan adaptor yang memberatkan beg komputer anda.
Dari segi kemasan luarannya, model 3810T-942G50 sudah cukup menambat hati terutama dari segi ketebalan yang kurang daripada satu inci.
Kemasan luar LCD yang berwarna perak menyerlahkan lagi ciri-ciri terkini model tersebut.
Papan kekunci hitam berkilat menjadikan model tersebut lain daripada yang lain di samping saiznya kekuncinya yang besar memudahkan kerja-kerja menaip berbanding netbook keluaran Acer sebelum ini.
Butang pintasan untuk WiFi, backup manager dan mod bateri di sebelah atas papan kekunci sungguh menjimatkan masa tanpa perlu menggunakan tetikus atau pad sesentuh.
Saiz skrin 13.3 inci dengan sistem bunyi Dolby Sound Room dan imej kualiti HD, menjadikan kerja-kerja dan menonton video tidak lagi memenatkan deria mata dan telinga.
Walaupun menggunakan pemprosesosan Intel Core 2 Duo, 1.4 GHz, 800 MHz voltan rendah dengan memori 2 GB DDR3, kerja-kerja rutin dan melayari Internet menjadi cukup pantas dan efisien.
Pengeluar sememangnya mempunyai alasan tersendiri iaitu produk yang ringan dan nipis menjadikan model ini tidak dilengkapi dengan pemacu DVD.
Namun demikian, tahap pemacu tidak menjadi masalah lagi kerana model ini didatangkan dengan saiz cakera keras 500 GB, cukup besar untuk menyimpan lagu, video, gambar dan lain-lain fail peribadi kesayangan anda.
Fungsi-fungsi tambahan lain adalah pad sesentuh multigesture yang memudahkan kerja membesar dan mengecil serta memilih foto yang dikehendaki dengan mudah.
Anda mungkin terasa sikit kekok pada awalnya namun ia sungguh mudah bila beberapa kali anda telah menggunakannya.
Aspire Aspire 3810T-942G50n juga menggunakan teknologi penyejukan Laminar Wall Jet menjadikan model ini lebih ringan, efisien, tahan lama dan kurang membahayakan alam sekitar ketika dunia dibimbangi dengan kesan pemanasan global.
Sistem Pengoperasian Windows Vista Home Premium sedikit sebanyak mempengaruhi keberkesanan dan kecekapan laptop tersebut kerana model ini hanya menggunakan Core 2 Duo, 1.4 MHz ULV.
Bagi pengguna yang ingin sebuah sistem pengoperasian yang lebih cekap dan berkesan daripada ini anda boleh beralih kepada Windows 7 yang diperakui kecekapan dan kestabilannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: