Thursday, January 28, 2010

Dayang terbayang wajah Marcell

SUARA mereka sering berpadu di pentas namun hasrat untuk berkolabosi merakamkan lagu duet sebelum ini sering saja terhalang.

pix_middle

Namun kini, segala yang dicita-citakan Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 29, dan Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 33, menjadi kenyataan dan Sayang, sebuah bingkisan indah nukilan Omar K dan lirik Nur Iman sebagai buktinya.


Selasa lalu bertempat di pejabat Alibi Music yang terletak di Mutiara Damansara, dua penghibur terkenal ini dipertemukan dalam sesi fotografi yang hanya dihadiri media arus perdana.


Nyata, sesi fotografi itu sempat membongkar kekaguman mereka terhadap diri masing-masing.


Akui Dayang, saat diperdengarkan lagu Sayang oleh Omar K tidak ada wajah lelaki lain dibayangkan melainkan Marcell.


"Saya pernah bertemu Omar untuk projek Olimpik Beijing 2008. Tidak lama selepas itu dia memaklumkan ada lagu hendak diberikan kepada saya, tetapi ia lagu duet.

Namun kini, segala yang dicita-citakan Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 29, dan Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan, 33, menjadi kenyataan dan Sayang, sebuah bingkisan indah nukilan Omar K dan lirik Nur Iman sebagai buktinya.


Selasa lalu bertempat di pejabat Alibi Music yang terletak di Mutiara Damansara, dua penghibur terkenal ini dipertemukan dalam sesi fotografi yang hanya dihadiri media arus perdana.


Nyata, sesi fotografi itu sempat membongkar kekaguman mereka terhadap diri masing-masing.


Akui Dayang, saat diperdengarkan lagu Sayang oleh Omar K tidak ada wajah lelaki lain dibayangkan melainkan Marcell.


"Saya pernah bertemu Omar untuk projek Olimpik Beijing 2008. Tidak lama selepas itu dia memaklumkan ada lagu hendak diberikan kepada saya, tetapi ia lagu duet.


"Pertama kali mendengarnya saya sudah jatuh cinta dan sempat membayangkan hanya Marcell adalah pasangan paling sesuai menyanyikan lagu itu.


"Kebetulan memang sudah lama mahu berduet dengan Marcell, justeru, pihak pengurusan mengusulkan hal ini kepadanya. "Akhirnya sampel lagu die-melkan kepadanya.


"Bimbang juga pada mulanya manalah tahu tidak menepati standard muzik yang diinginkan Marcell. "Bagaimanapun saya terkejut dan sama sekali tidak menyangka Marcell memberi maklum balas, malah mengatakan lagu ini cukup hebat lantas bersetuju dengan idea duet itu.


"Syukur semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Tentu saja kesudian Marcell ini ibarat mimpi jadi kenyataan. Memang sudah lama sangat nak berduet dengan Marcell, tetapi tak ada peluang sebelum ini," katanya.


Menyukai suara dan penghayatan sahabatnya itu, Dayang memuji perkataan 'tembok' pun kalau disebut Marcell kedengaran sedap. Itu belum lagi melihat persembahannya yang mampu membuatkan penonton khayal seketika.

Marcell, yang melonjak dengan lagu Semusim, ketika ditanya apa yang membuatkannya bersetuju menjalinkan kolaborasi itu mengakui sudah lama kepingin menghasilkan lagu berduet dengan Dayang. "Sisi saya sendiri, keinginan duet sama Dayang sudah tercetus sejak empat tahun lalu. Dulu saya bersama Warner, sekarang bersama Emotion baru beberapa bulan.


"Kerana banyak masalah birokrasi label sebelum ini jadi saya tidak bebas berkolaborasi dengan Dayang.


"Justeru, apabila ditawarkan pihak pengurusan Dayang untuk menghasilkan lagu duet, saya terus terima. Tambahan pula saya sendiri meminati Dayang. "Dulu saya pernah dikirim demo Dayang memuatkan beberapa belas lagu. Nyanyiannya begitu indah dan mendengar suaranya saya terbayangkan Brandy.


"Dia menyanyi dengan penuh keikhlasan yang datang dari ketulusan hatinya dan sejak dari itu saya berkata dalam hati suatu hari mahu berduet dengan gadis ini," katanya.


Marcell menambah proses rakaman lagu berkenaan dijalankan sekitar September lalu di sebuah studio sekitar Taman Tun Dr Ismail di ibu kota dan pengalaman itu menemukan banyak sekali hal yang menarik.


"Omar K juga adiknya, Nur Iman, komposer dan penulis lirik baru yang punya banyak idea segar dan saya juga banyak belajar dengan mereka.


"Rakaman lagu bersama Dayang mengambil masa dua jam. Tempoh itu membuatkan saya tambah mengenal Dayang sebagai seorang yang cukup besar semangat dan dedikasinya terhadap karier nyanyian sesuai sifat yang perlu ada pada penghibur. "Dia juga seorang yang merendah diri walaupun saya kira skil nyanyian tinggi melangit namun, dia banyak berkongsi idea dengan saya.


"Kami juga berkongsi falsafah hidup yang sama dan kerjasama ini berjalan dengan mudah kerana kita bekerja bagaikan sebuah keluarga," katanya.


Merancang untuk memuatkan lagu berkenaan ke dalam album keempatnya, Takkan Terganti, Marcell turut memaklumkan keinginannya untuk berduet dengan Ning Baizura, Adibah Nor dan tentu saja Datuk Sheila Majid.


"Walaupun sudah beberapa kali bertemu Shiela, saya tetap berpeluh berdiri di sebelahnya. Saya semacam tidak keruan kerana Sheila terlalu tenang," katanya. Dayang ketika diminta mengulas sama ada kolabrasi itu platform terbaik untuk memasuki pasaran Indonesia, mengakui jika diberi peluang sudah pasti peluang berkenaan tidak akan dipersiakan.


"Insya-Allah kalau ada peluang apatah lagi bukan muda untuk menembusi pasaran muzik di sana. Marcell ada memberitahu Dayang untuk memuatkan lagu ini ke dalam album terbarunya dan berharap itu akan menjadi titik permulaan.


"Pada saya kalau ada rezeki adalah," katanya.


Juga sedang merencanakan album baru, setakat ini tiga lagu siap dirakamkan selain Sayang, Ku Temu Cahaya dan sebuah lagu Inggeris, Life With You.


Pada temubual itu, Dayang turut mengumumkan pada 7 Mac nanti dia dan Marcell akan terbabit dalam sebuah 'showcase' di Hard Rock Cafe di ibu kota jam 11 malam.


"Persembahan itu akan diadakan lebih kurang satu jam setengah. Saya akan menyanyi secara solo lebih kurang dalam empat lagu begitu juga Marcell. Selebihnya persembahan secara duet termasuk Sayang.


"Tiket sudah pun mula dijual dan pada malam itu nanti persembahan kami akan diiringi pemuzik yang dipimpin Jenny Chin sebagai pengarah muziknya," katanya.


Menyorot perkembangan lain, Marcell ketika ini sibuk mempromosikan single dari album keempatnya Takkan Terganti di Indonesia.


Pada masa sama akan menghasilkan album bersama kumpulan Konspirasi yang bernuansakan muzik 'hard core.' "Dalam masa terdekat ini saya juga akan membintangi sebuah filem terbitan Kalyana Shira iaitu pengarah filem Berbagi Suami. Cerita ini berunsurkan aksi komedi di mana saya akan terbabit dengan adegan beraksi.


"Selesai penggambaran itu, saya akan menyambung pula penggambaran filem yang diilhamkan dari kejadian tsunami selain sedang dalam rencana memasuki pertandingan tai chi di Jakarta," katanya.


>Profil
NAMA: Dayang Nurfaizah Awang Dowty
NAMA PENTAS: Dayang
TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981
UMUR: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuching, Sarawak, Malaysia
BINTANG: Cancer
ALBUM: Dayang Nurfaizah (7 Mei 1999), Seandainya Masih Ada Cinta (8 Februari 2001), Di Sini Bermula (3 Februari 2002), Hembusan Asmara (28 November 2002), The Best Of Dayang Nurfaizah (24 September 2003), Need A Break (single), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2006), Dayang 2007
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi

>Profil
NAMA: Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan
NAMA PENTAS: Marcell, Marcell Siahaan
TARIKH LAHIR: 21 September 1977
UMUR: 33 tahun
TEMPAT LAHIR: Bandung, Indonesia
BINTANG: Virgo
ISTERI; Rima Melati Adams
ANAK: Keenan Avalokita Kirana (perkongsian hidup dengan bekas isteri Dewi Lestari)
ALBUM: Marcell (2003), Marcell Repack (2004), Denganmu (2006), Hidup (2008), Takkan Terganti (2010)
KERJAYA: Pekerjaan aktor, penyanyi

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: