Monday, January 18, 2010

Tareq Aziz diserang strok



BAGHDAD - Bekas Perdana Menteri Iraq, Tareq Aziz (gambar) yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein menghidap strok dan dipindahkan dari sebuah penjara ke sebuah hospital Amerika Syarikat (AS), kata seorang peguamnya semalam.

"Dia menghidap strok pada Jumaat lepas dan sudah dipindahkan ke sebuah hospital di sebuah pangkalan AS di Balad, 70 kilometer ke utara Baghdad," kata peguam Tareq, Badie Aref.

"Keadaan dirinya kini serius dan keputusan akan dibuat sama ada dia akan dirawat di hospital atau perlu dikembalikan ke Kem Cropper," tambahnya.

Kem Cropper merupakan sebuah penjara yang dikendalikan oleh AS di Baghdad.

Tareq menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1991 semasa pemerintahan Saddam.

Dia pernah menjadi Menteri Luar.

Tareq menyerah diri kepada tentera AS pada April 2003 selepas Saddam digulingkan oleh tentera penceroboh yang diketuai oleh AS.

Peguam bela itu tidak menyatakan dengan terperinci berhubung penyakit strok yang dihidapi oleh Tareq.

Tareq dihukum penjara selama 15 tahun pada Mac 2009 kerana disabitkan dengan kesalahan membunuh penduduk Kurdis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: