KUALA LUMPUR: “Saya sudah berkahwin,” kata usahawan produk kecantikan terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya, menyangkal dakwaan dia ditangkap khalwat pada malam tahun baru, kelmarin.
Sosilawati berkata, lelaki yang dilaporkan ditangkap berkhalwat bersamanya pada malam itu sebenarnya suaminya dan mereka sudah bernikah di luar negara.
“Kami pasangan suami isteri dan tidak timbul isu ditangkap khalwat. Namun, kami gagal menunjukkan surat nikah menyebabkan kami disyaki berkhalwat,” katanya ketika mengunjungi pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Sementara itu, peguamnya, Datuk Zaidi Zain, ketika dihubungi mengesahkan pasangan itu sudah melangsungkan pernikahan bagaimanapun enggan memberikan maklumat terperinci kerana kes berkenaan masih dalam siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Beliau berkata, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkahwinan Sosilawati dan pasangannya satu hari nanti, namun perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
“Kami tidak mahu membuat ulasan lebih panjang kerana ia hanya mengundang lebih banyak spekulasi. Yang penting mereka sudah berkahwin,” katanya.
Semalam, sebuah akhbar dalam talian melaporkan mengenai seorang usahawan produk kecantikan terkemuka dilaporkan ditangkap berkhalwat dengan seorang duda anak tiga berketurunan Indonesia pada malam tahun baru.
Usahawan berkenaan yang masih dalam proses menjalani majlis sulh (perbincangan) kes tuntutan RM1.38 juta ke atas bekas suaminya seorang penyanyi rock popular di Mahkamah Tinggi Syariah, ditangkap berkhalwat selepas mendapat aduan orang awam.
Serbuan itu dilakukan sekumpulan lapan individu dari sebuah institut pengajian tinggi awam yang diketuai seorang ustaz yang mendapat tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menurut laporan itu, serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengah malam di Astana Damansara Kondominium selepas mendapat maklumat daripada penduduk kawasan terbabit.
Hasil serbuan yang dilakukan di unit A2 kondominium berkenaan mendapati pasangan terbabit berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.
Wanita itu mendakwa dia singgah ke kondo sewaan teman lelakinya itu selepas keluar makan malam untuk untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan yang dijangka berlangsung pada minggu depan.
Usahawan kosmetik itu adalah bekas isteri kepada penyanyi kumpulan rock popular tanah air yang kemudian menjadi penyanyi solo.
Mereka berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai pada 26 Mei 2009 selepas penyanyi berkenaan tidak lagi duduk sebumbung dengan usahawan kosmetik itu.
Kini mereka sedang menjalani majlis sulh (perbincangan) kes tuntutan harta RM1.38 juta oleh usahawan tersebut ke atas suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: