SEORANG lelaki gagal sembunyikan diri ketika diserbu pegawai Jaip di Kuantan, semalam. |
Pasangan mengaku lakukan seks di hotel
KUANTAN: Seorang nenek lapan cucu berusia 54 tahun antara 58 orang ditahan kerana melakukan kesalahan syariah dalam Ops Insaf Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di sekitar ibu negeri, awal pagi semalam.
Nenek yang beralamat di Kampung Kurnia, Kuantan ditahan bersama pasangannya, seorang lelaki berusia 38 tahun kerana disyaki berkhalwat di hotel murah pada jam 7.20 pagi.
Bagaimanapun, ibu tunggal itu bekerja sebagai pembantu kedai merayu pihak berkuasa membebaskan dia dan pasangannya kerana malu perlakuan sumbangnya diketahui anak dan cucunya.
Pasangannya, seorang jurukimpal turut mengaku melakukan hubungan seks di bilik hotel berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Abdul Malek, berkata siasatan mendapati pasangan itu baru berkenalan tiga bulan lalu dan mengaku merancang untuk berkahwin.
"Operasi bermula dari jam 4 petang itu (pada 31 Disember) membabitkan pemeriksaan ke atas 20 hotel murah dan rumah tumpangan yang menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat," katanya di sini, semalam.
Ahmad Raffli berkata, semua pasangan ditahan dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut dan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).
Mereka yang sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, operasi itu diadakan di kawasan tumpuan seperti Teluk Cempedak, Pantai Gelora, Taman Teruntum dan Pantai Balok.
"Selain khalwat, 25 orang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan minum arak," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: