Tuesday, January 5, 2010

Riadah dan santai di puncak Awana Genting


SELEPAS penat bersukan, anda boleh berehat di kolam renang air panas.


INGIN bercuti sambil mencari ketenangan tanpa gangguan serta ‘lari’ daripada kesibukan kota? Anda pastinya memerlukan tempat yang damai untuk melepaskan tekanan setelah penat bekerja.

Mungkin ramai yang masih tercari-cari lokasi yang sesuai untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, anda boleh mencuba di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Ia bukan sahaja tempat percutian yang mendamaikan, malah juga menawarkan pelbagai aktiviti luar sama ada untuk orang perseorangan ataupun syarikat-syarikat yang berminat untuk mengadakan kursus jati diri.

Di Awana Genting Golf & Country Resort, aktiviti sukan eko sememangnya disediakan untuk para tetamu menikmati keindahan serta kedamaian alam sekitar.

Setiap pergerakan anda akan diawasi oleh jurulatih-jurulatih bertauliah dan segala kelengkapan yang dibekalkan juga telah dipastikan tahap keselamatannya sebelum anda memulakan sebarang aktiviti.

Suasana aman dan damai serta pemandangan alam semula jadi turut menawarkan pelbagai aktiviti yang mencabar dan sebagai contoh jungle trekking yang akan membawa anda melalui lembah-lembah serta sisi bukit yang terdapat air terjun.

Untuk aktiviti tersebut, anda boleh memilih sama ada untuk perjalanan siang atau malam dan ia bergantung kepada tahap, stamina dan kepayahan.

Tidak cukup dengan aktiviti tersebut, anda juga boleh menjelajah resort tersebut dengan pakej Eco Discovery Tour selama satu jam dengan menaiki buggy.

Lawatan tersebut akan membawa anda sekitar padang golf, tasik Eco dan tidak ketinggalan mengabdikan gambar anda dengan panorama yang menarik di sekitar lembah Genting Highlands dan juga di rumah panjang.

Pakej lawatan ini berharga RM75 untuk sebuah buggy yang boleh dinaiki dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak atau tiga orang dewasa.

Selain itu, anda juga boleh berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Genting Highlands bersama rakan-rakan sepanjang 1.8 kilometer (km), bermula dari rumah panjang Awana Genting hingga ke padang golf.

Perjalanan yang mengambil masa selama dua jam itu berharga RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak berumur antara 13 hingga 17 tahun dengan satu kumpulan minimum lima orang.

Bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah, ia adalah percuma tetapi mesti di dalam pengawasan serta tanggungjawab ibu bapa.

Jika anda dapati aktiviti tersebut terlalu ringan untuk anda, apa kata anda cuba trek Eco yang mengambil masa selama empat hingga lima jam perjalanan yang akan membawa anda jauh ke dalam hutan.

Alang-alang mencuba trek Eco, apa kata anda turut merasai perjalanan sejauh 3.8km yang menyajikan perjalanan yang lebih mencabar.

Pakej tersebut berharga RM75 untuk dewasa manakala RM50 untuk kanak-kanak yang berumur antara 13 hingga 17 tahun dan satu kumpulan minimum adalah lima orang.

Bagi mereka yang inginkan kelainan, apa kata anda menikmati pemandangan malam hari di Genting Highlands dengan suasana sejuk bersama Discovery Moonlight Tour selama 35 minit.

Lawatan tersebut berharga RM50 untuk tiga orang dewasa dan dua kanak-kanak atau tiga orang dewasa.

Jangan ketinggalan melihat kelip-kelip di tasik Awana dan juga burung hantu sepanjang lawatan anda.

Inginkan aktiviti ringan di bawah sinaran cahaya bulan? Jika ya, apa kata anda menikmati perjalanan selama dua jam bersama-sama pemandu pelancong untuk Nature Moonlight Trail. Aktiviti tersebut berharga RM40 untuk dewasa.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti sukan, apa kata cabar kawan-kawan anda dengan pelbagai sukan yang turut disediakan di resort ini.

Anda boleh mencuba permainan ping pong di kompleks sukan Eco ataupun bermain tenis di satu daripada lima gelanggang yang disediakan.

Untuk setiap penggunaan gelanggang tersebut, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM15 sejam manakala RM5 untuk ping pong.

Tidak ketinggalan bagi peminat-peminat sukan badminton dan skuasy.

Terdapat tiga gelanggang untuk skuasy dan dua gelanggang badminton yang disewa dari RM15 hingga RM30 sejam.

Untuk sukan bola pula, sewa sebanyak RM10 sejam dikenakan untuk gelanggang bola tampar dan bola keranjang.

Bagi mereka yang meminati aktiviti-aktiviti lasak seperti memanjat tembok tiruan, abseiling serta flying fox, jangan lepaskan peluang untuk mencuba setiap satu.

Untuk flying fox yang diadakan di dalam kompleks, ia dikenakan bayaran sebanyak RM25 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun, manakala untuk flying fox yang diadakan di luar pula berharga RM30 (dewasa) dan RM20 kanak-kanak (dari tujuh hingga 17 tahun).

Harga termasuk khidmat fasilitator, alat-alat kelengkapan serta air minuman.

Sepanjang percutian anda di resort ini, anda juga berpeluang mendapatkan sepasang kasut joging dan program matahari terbit dan matahari terbenam secara percuma apabila anda mendaftar menjadi ahli.

Untuk program matahari terbit, ia turut meliputi aktiviti regangan bermula seawal pukul 7 pagi kemudian diikuti dengan aktiviti joging dan berjalan sehingga pukul 8 pagi.

Jika anda bukan seorang yang bangun pagi, anda boleh mencuba program matahari terbenam yang bermula pukul 3 petang termasuk aktiviti seperti joging sehingga pukul 6 petang.

Para tetamu juga boleh berlatih memanah di lapang sasar memanah atau mengekalkan kesihatan dengan bersenam di gimnasium yang disediakan.

Bagi syarikat-syarikat yang berminat untuk mengadakan kursus jati diri, Awana Genting Highlands Golf & Country Resort dengan pasukannya dari Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) telah merencanakan kursus tersebut bagi mereka yang berminat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, resort ini merupakan sebuah tempat yang sememangnya sesuai untuk diadakan pelbagai aktiviti dengan keadaan alam semula jadinya yang mendamaikan serta kedamaian yang jauh dari kesibukan kota.

Untuk kumpulan yang terdiri daripada 40 orang, resort tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM1,400, sementara bagi kumpulan yang mempunyai 41 peserta dan ke atas, bayaran sebanyak RM40 seorang akan dikenakan.

Dalam banyak-banyak aktiviti yang ditawarkan, rasa-rasanya pakej Longhouse-Awana Cultural Stay merupakan satu pengalaman yang paling berharga kerana ia sememangnya satu pengalaman yang serupa dengan kehidupan rumah panjang di Sarawak.

Memilih

Selain itu, resort tersebut turut menawarkan program Go Green Team Building sejajar dengan kempen ‘Go Green Genting’.

Untuk itu anda boleh memilih sama ada untuk mencuba ‘Eco Exploration’, aktiviti rekreasi yang diadakan di dalam hutan atau ‘The Circuit Challenges’ dengan program ‘Air Rescue’ yang berasaskan penyelesaian masalah dan membuat keputusan dengan beberapa cabaran fizikal.

Satu sesi ‘Eco Exploration’ dikenakan bayaran sebanyak RM1,800 (40 orang dan ke bawah) atau RM45 seorang (41 orang dan ke atas), sementara program ‘The Circuit Challenges with Air Rescue’ berharga RM2,400 untuk satu sesi (40 orang dan ke bawah) atau RM75 seorang (41 orang dan ke atas).

Sebarang pertanyaan atau tempahan untuk kursus jati diri anda boleh hubungi talian 03-5513 3560.

Bagi peminat-peminat golf pula jangan khuatir kerana sudah pasti Awana Genting Highlands turut menawarkan kemudahan padang golf yang menarik.

Bermain golf dalam suasana dingin serta pemandangan alam semula jadi yang menawan pastinya menjadikan aktiviti golf anda satu aktiviti yang menarik.

Telah dibuka pada 1986, padang golf ini mampu menampung sehingga 120 pemain pada satu-satu masa.

Memiliki 18 lubang, apa kata anda mencabar diri anda untuk memasukkan bola golf pada lubang nombor empat. Ini kerana lubang tersebut merupakan lubang yang paling mencabar.

Ternyata segala kemudahan serta aktiviti yang disediakan, Awana Genting Highlands Golf & Country Resort pastinya memberikan satu pengalaman manis dan memenuhi citarasa anda.

Sebarang pertanyaan atau untuk tempahan, anda boleh hubungi talian 03-6101 3015 atau layari laman web www.awana.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: