Tuesday, January 5, 2010

Meredah alam dengan KLX 150 S


KLX 150 S juga sesuai digunakan untuk tunggangan di jalan raya.


KEMUNCULAN Kawasaki KLX 150 S boleh dikatakan tepat pada masanya. Tanpa saingan yang cukup kuat daripada jenama-jenama lain di pasaran sekarang, masa depan yang cerah menanti jentera dua fungsi itu.

Itulah yang boleh disimpulkan penulis selepas dua hari melanyak jentera hijau putih itu sepanjang Tunggangan Media KLX 150S anjuran Kawasaki Malaysia Motors (Malaysia) Sdn. Bhd, baru-baru ini.

Seperti kata pepatah yang biasa kita dengar dalam dunia pemotoran, 'kenderaan kecil mempunyai perniagaan yang besar'. Itulah sandaran Kawasaki pada KLX 150 S.

Model yang dipasang secara tempatan (CKD) itu menggunakan enjin satu silinder empat lejang yang sesuai bagi mereka yang berhasrat untuk berjinak-jinak dalam dunia motocross.

Jika model KSR 110 (antara variasi Kawasaki sebelum ini) terlalu kerdil, pelancaran KLX 150 S pada November lalu menyediakan pilihan yang lebih bertepatan bagi mereka yang gemarkan tunggangan offroad.

Dari ibu pejabat Kawasaki di Glenmarie, Shah Alam, tunggang uji yang disertai oleh sembilan wakil media itu menuju ke Kem Ponak, Kuala Kelawang, Negeri Sembilan.

Rombongan penulis melalui Lebuh Raya Pantai sebelum memasuki Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dan seterusnya ke Pekan Batu 9. Selepas laluan sesak, perjalanan mula lengang sebaik memasuki laluan N32 tetapi dengan cabaran berbukit dan berliku.

Di jalan raya, KLX 150 S mencapai kelajuan maksimum lebih kurang 120 kilometer sejam. Kelajuan yang memadai bagi sebuah motosikal dua fungsi yang lebih bercirikan motocross.

Mengikut spesifikasinya, enjin 144cc mampu menghamburkan kuasa sehingga 8.6kW pada putaran enjin 8,000 rpm dengan kuasa tork maksimum mencapai 12Nm pada kelajuan 6,500 rpm.

Jentera yang dipacu kuasa kotak gear lima kelajuan ini turut dilengkapi teknologi KSAI (Kawasaki Secondary Air Injection System) yang menepati piawaian emisi Euro 2 dan lebih menjimatkan penggunaan bahan api.

Selepas jalan lurus dan lancar di lebuh raya, laluan N32 mula menguji aspek pengawalan motosikal ini. Dengan cengkaman brek dan kuasa enjin yang sentiasa mencukupi, penulis berani mengatakan motosikal ini antara yang paling mudah dikawal sepanjang menunggang uji motosikal.

Walaupun hanya baru beberapa kali menggunakan laluan N32 sepanjang 70 km itu, kawalan KLX 150 S langsung tidak tersasar ke laluan sebelah kanan. Kawalan hendal yang ringan dan berkesan disokong oleh sistem brek yang memperlahankan kelajuan pada kadar pantas tetapi masih cukup kemas.

Rombongan berehat sebentar untuk bergambar dan menyaksikan keindahan kawasan bersebelahan dengan empangan Semenyih.

Dengan isian penuh petrol, kumpulan meneruskan perjalanan melalui perkampungan orang asli dengan jalan tidak berturap.

Di laluan kampung dan kebun getah, jentera yang diilhamkan daripada model juara KX450F mula mempamerkan prestasi sebenar. Nisbah gear satu dengan gear dua yang panjang memberikan kuasa ketika mendaki.

Manakala nisbah gear ketiga dan ke atas yang singkat membolehkan gear diturunkan tanpa sentakan kuat. Satu lagi kelebihan semasa menunggang di kawasan berselekoh.

Tarikan antara gear satu hingga gear kedua agak panjang membolehkan penunggang memanfaatkan sepenuhnya kuasa tarikan dan tork. Dengan kelebihan itu, dominasi sewaktu mendaki sekali gus dipertingkat.

Tunggangan offroad sejauh 15 km itu dilancarkan lagi dengan penggunaan tayar berbunga tebal yang menyerap segala hentakan akibat rempuhan batu-batu di jalanan.

Tugasan penyerapan hentakan utama pula dilakukan oleh fork 33mm di depan dan monoshock dengan spring prabebanan yang mempunyai empat tahap penyelarasan di bahagian belakang.

Kawalan KLX 150 S dipermudahkan dengan set roda motocross bersaiz 19 inci di depan dan 16 inci di belakang yang memberikan sudut dongakan yang lebih stabil dan kelapangan dengan permukaan tanah.

Walaupun telah teruji di laluan berturap, sekali lagi saya ingin menegaskan sistem brek juga berfungsi dengan mantap di laluan offroad. Tugas itu dilakukan oleh cakera brek depan bersaiz 240mm manakala di belakang 190mm.

Tanpa keyakinan pada sistem brek, tidak mungkin saya berani untuk memulas minyak sewaktu menggelungsor turun dari kawasan kebun getah dengan kecuraman kira-kira 40 darjah.

Begitu juga ketika mendaki laluan trek pacuan empat roda yang mencanak tinggi. Seorang demi seorang berjaya melepasi cabaran jalan berselut yang licin itu dengan bantuan seorang penunggang motocross berpengalaman.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika beberapa buah motosikal 'menyelam' dan 'timbul semula' ketika kami menyahut cabaran menyeberangi sebatang sungai untuk ke tapak perkhemahan di Kem Ponak.

Bagaimanapun, beberapa buah KLX 150 S yang ditunggang penunggang berpengalaman berjaya melepasi cabaran itu dan membuatkan kami tersedar bahawa istilah tunggangan yang hebat bukan sahaja pada mesin tetapi juga penunggangnya.

Hanya didatangkan dalam satu warna KLX150S ditawarkan pada harga RM8,589 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: