Tuesday, January 5, 2010

Menyelusuri penghujung selatan tanah besar Asia


Satu lagi arca batu di Tanjung Piai yang menjadi tumpuan pelancong


Satu lagi arca batu di Tanjung Piai yang menjadi tumpuan pelancong.SUDAH beberapa kali penulis menjejak kaki ke daerah Pontian namun masih belum berkesempatan untuk sampai ke Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Tanpa diduga ajakan Pegawai Pelancongan, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Norwati Abdul Wahab ke sana muncul secara tiba-tiba dan ia memang sukar untuk ditolak.

"Esok boleh kita pergi ke Taman Negara Johor Tanjung Piai? Kita jumpa di Gelang Patah dan lepas itu awak ikut kereta saya dari belakang," pelawanya dalam nada ceria di corong telefon.

Seperti yang dijanjikan, perjalanan dari Johor Bahru ke Taman Negara Johor Tanjung Piai di Pontian mengambil masa sekitar satu jam dalam keadaan pemanduan yang berhemah.

Sebaik sampai di sana, badan yang letih tiba-tiba menjadi segar menyaksikan keindahan alam semula jadinya yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Paling tidak, kita akan terlupa sebentar tentang hiruk-piruk yang berlaku di luar sana sambil rela membiarkan tubuh dibuai bayu lembut Selat Melaka.

Bunyi-bunyian penghuni hutan terutamanya monyet liar yang ingin bermanja dengan pengunjung seolah-olah membawa kita meneroka suasana yang agak melekakan.

Itulah antara keistimewaan yang terdapat di taman negara tersebut - satu daripada lima taman negara yang terdapat di Johor selain Taman Negara Johor Pulau Kukup, Taman Negara Johor Gunung Ledang, Taman Negara Johor Endau-Rompin Peta dan Taman Negara Johor Endau-Rompin Selai.

Apa pun paling penting, jangan terlupa dengan fakta penting iaitu Taman Negara Johor Tanjung Piai merupakan penghujung paling selatan tanah besar Asia.

Menyingkap sejarah, Tanjung Piai, ia mendapat nama sempena pokok bijirin tempatan dikenali sebagai paku piai yang merupakan sejenis tumbuhan bijirin yang boleh hidup di kawasan masin.

Pada 31 Januari 2003, Tanjung Piai telah disenaraikan sebagai tapak Ramsar iaitu Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang meliputi kawasan bakau seluas 325 hektar dan 400 hektar dataran berlumpur.

Ramsar bermaksud senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971. Terdapat sebanyak 147 ahli konvensyen dengan 1,524 tapak tanah lembap yang berjumlah 129.2 juta hektar dalam senarai Ramsar di seluruh dunia.

Menurut Wetlands International, Johor mempunyai hutan paya bakau seluas 27,733 hektar atau 4.7 peratus daripada keseluruhan jumlah hutan bakau di Malaysia.

Pantai bakau

Taman Negara Johor Tanjung Piai yang diuruskan PTNJ memiliki pantai bakau dan intertidal mudflats iaitu tanah lembut serta berlumpur yang mengandungi kandungan garam yang tinggi dan kadar oksigen yang rendah (anaerobic).

Ia membentuk satu-satunya koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dan tanah lembap Sungai Pulai selain terdapat lima buah sungai merentasi taman negara itu.

Paya bakau yang terdapat di situ adalah jenis Rhizophora apiculata-Bruguiera cylindrical dan kebanyakannya terdapat hutan pantai.

Dataran lumpurnya juga cukup luas terutama di bahagian selatan Tanjung Piai. Hasil kajian terdapat lima spesies burung air besar dan tujuh spesies burung pantai dilihat mencari makan di mudflats itu.

Paya bakau Tanjung Piai telah dipulihara sebelum ini untuk melindungi kawasan pantai kerana kawasan-kawasan pedalaman berhampiran adalah tanah-tanah ladang yang digunakan untuk bercucuk tanam.

Batasan dibina di sepanjang timur dan barat pantai Tanjung Piai untuk melindungi tanah kebun daripada dibanjiri air masin.

Namun, kehadiran ombak telah menghakis Tanjung Piai di mana tepian pantai bakau berkurangan kepada 50 meter di beberapa bahagian.

Realitinya, Taman Negara Johor Tanjung Piai adalah kediaman kepada kira-kira 26 spesies tumbuhan bakau sebenar dan juga sembilan spesies bakau berkaitan yang menunjukkan kadar kepelbagaian spesies yang tinggi.

Ia juga menjadi 'rumah' kepada 65 spesies burung, tujuh spesies mamalia dan reptilia, satu ampibia dan inveterbrata.

Ikan tembakul

Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997 manakala kaji selidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001.

Pada tahun 2002, taman itu telah dibuka kepada orang ramai dan akhirnya telah diwartakan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.

Kedatangan pengunjung ke taman negara itu bermula di Kompleks Pelawat iaitu bangunan ala tropika yang memiliki galeri infomasi, pejabat taman dan surau.

Galeri itu turut mengandungi model miniature (kecil) kawasan taman, galeri gambar flora dan fauna, deskripsi bergambar habitat-habitat dan ekosistem dan kitar hidup hutan bakau yang terdapat di sana.

Sementara itu, tiket masuk boleh diperoleh di bahagian depan pintu masuk dan pengunjung juga boleh membuat pertanyaan mengenai lawatan berpandu dan kemudahan yang disediakan.

Sekiranya berjalan kaki, terdapat banyak gazebo untuk berehat sepanjang perjalanan. Selain itu, perkhidmatan tram dan kereta buggy turut disediakan kepada pengunjung dengan bayaran RM3 untuk berjalan pergi dan balik dari Kompleks Pelawat.

Taman negara itu disambung oleh jaringan jejambat (boardwalk) yang membawa pengunjung ke tengah hutan bakau untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis tumbuhan berbeza yang membentuk hutan itu.

Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat beruk berekor panjang dan ikan tembakul melompat-lompat di sekitar dataran lumpur, mengkarung yang menggelongsor pada kayu hanyut dan famili organisma akuatik.

Masing-masing haiwan itu leka melakukan hal sendiri tanpa menyedari kehadiran pengunjung dan mereka adalah saling bergantung antara satu sama lain.

Bagaimanapun, hanya kesabaran pengunjung yang tinggi dan sentiasa peka dengan keadaan alam sekeliling membolehkan anda menyaksikan keajaiban tersendiri hutan itu.

Menara Pemerhati

Sementara itu, terdapat tiga menara pemerhati sepanjang jejambat bagi pengunjung mendapatkan pemandangan menarik burung-burung yang menetap dan berhijrah mencari makanan pada dataran lumpur atau bersarang dalam pokok-pokok.

Waktu terbaik untuk melihat burung-burung itu adalah ketika air surut dan kemuncaknya antara bulan Ogos dan September.

Bagi yang gemar dengan aktiviti perkhemahan, tapak yang terletak di sebelah timur Kompleks Pelawat disediakan kepada mereka.

Tapak perkhemahan itu menempatkan tiga bahagian platform dan boleh menempatkan 30 buah khemah atau sejumlah 120 orang pada satu masa.

Setiap bahagian dikelilingi oleh landasan keselamatan dan kawasan perkhemahan itu diterangi oleh lampu elektrik pada waktu malam. Tempat mandi berasingan juga disediakan berhampiran tapak perkhemahan.

Pengunjung juga diingatkan bahawa hanya khemah berbentuk kubah sahaja dibenarkan dipasang namun memasak adalah tidak dibenarkan di kawasan perkhemahan.

Ini kerana pengunjung boleh mendapatkan makanan di tempat makan berhampiran seperti restoran-restoran yang terdapat di Resort Tanjung Piai.

Apa pun paling penting, pengunjung dinasihatkan agar membawa ubat atau krim pencegah serangga atau unggas.

Sementara itu, Pengarah PTNJ, Abu Bakar Mohamed Salleh menyifatkan keunikan dan kepentingan Taman Negara Johor Tanjung Piai itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Katanya, Johor bertuah memiliki taman negara itu yang menjadi kediaman kepada pelbagai spesies tumbuhan bakau dan juga spesies binatang.

"Peranan bakau bukan sahaja melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan ribut serta menghindari banjir malah memberi perlindungan dan makanan kepada ikan, ketam, udang, dan binatang-binatang lain.

"Pada masa sama, bakau dan mudflats adalah kawasan perhentian penting kepada burung-burung yang berhijrah untuk makan, selain kawasan pembiakan ikan dan binatang lain seperti udang, ketam dan pelbagai jenis moluska," katanya penuh teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: