![]() |
| APA jua persepsi negatif yang dilemparkan, ia tidak sedikitpun menggugat hidupnya. |
NAMANYA sering kali dikaitkan dengan pelbagai persepsi negatif. Malah, cerita-cerita mengenai keburukannya mudah dijaja sana sini berbanding perihal keupayaannya dalam bidang lakonan.
Terlalu seksi, dikatakan ditaja untuk hidup mewah dan terlalu memilih. Terbaru, dia dilanda gosip yang mengatakannya sebagai artis bermasalah ketika berada di lokasi penggambaran.
Namun, kesemua gosip atau persepsi itu tidak sedikitpun membuatkan pelakon wanita berusia 23 tahun ini duduk menangis atau memikirkan untuk melangkah keluar daripada garis sempadan dunia artis.
Tidak ambil kisah dan tidak merasa tekanan, pemilik diri bernama Rabecca Nur Al-Islam ini sememangnya seorang wanita yang tabah dan kental menghadapi apa jua dugaan mendatang.
Kata Rabecca atau mesra disapa Becca, dia tidak mampu untuk memaksa orang lain menyukainya agar segala kata-kata nista itu bisa didiamkan.
Atas dasar itu, jelasnya, dia enggan bergelar sang hipokrit untuk berlagak baik supaya sering memperoleh pujian melambung.
"Memang banyak cerita-cerita negatif dilemparkan kepada saya sepanjang enam tahun hidup sebagai anak seni.
"Saya tidak ambil kisah pun. Janji saya tahu asal usul dan menghormati orang lain. Sebagai pelakon, saya sedar, tidak semua orang sukakan saya.
"Dunia artis memang orang akan sentiasa perhatikan. Kita hidup sekejap sahaja dan untuk itu, berbuat baiklah kepada manusia lain. Itu yang saya pegang," katanya ketika ditemui di majlis pratonton filem Adnan Semp-It arahan Ahmad Idham di ibu negara, baru-baru ini.
Bicara Becca, walaupun sepanjang enam tahun bergelar artis dan orang di luar sana hanya ingin mengetahui kisah-kisah negatif tentangnya, dia tidak pernah merasa sia-sia berkecimpung dalam dunia artis.
Kata-kata negatif itu, jelasnya, sudah tentu hadir daripada mereka yang membenci dan tidak dapat menerima kehadirannya sebagai anak seni.
"Jika yang suka pula, mereka pasti akan bercerita tentang bakat saya.
"Manusia ada kelemahan. Dalam bidang seni, sebolehnya saya tidak mahu ada musuh. Tidak tahulah pula saya tentang orang lain.
"Tetapi, kalau orang sudah tidak suka, biarlah. Apa yang penting, saya hormat semua orang," katanya.
Tidak baca cerita artis
Ujar anak jati Johor ini, dalam meniti perjalanan sebagai seorang artis, dia seberapa boleh cuba untuk tidak 'menyibuk' tentang urusan orang lain termasuk artis.
Mengenai kisah sesama artis pula, Becca sendiri mengakui bahawa dia tidak membaca kisah-kisah mereka yang dipapar di mana-mana media.
"Kalau membaca surat khabar pun, saya akan baca berita yang menyentuh ehwal semasa, ekonomi dan sebagainya.
"Ruangan hiburan saya akan tolak ke tepi. Saya malas hendak ambil tahu tentang hidup artis lain. Sebab itu bukan urusan saya.
"Saya akan buka lembaran hiburan jika ada cerita tentang saya sahaja," jelas Becca yang melihat tahun 2009 sebagai tahun yang membahagiakannya.
Mengenai gosip terbaru yang mengatakan dirinya sebagai artis bermasalah ketika di lokasi penggambaran yang disiarkan di kebanyakan akhbar, Becca dengan wajah tenang menjelaskan bahawa ia isu remeh temeh.
"Saya tidak pernah dengar gosip sedemikian. Saya tidak boleh komen apa-apa. Tentu gosip itu hadir daripada mereka yang hipokrit dan tidak sukakan saya,'' ujarnya.
Bersikap memilih
Sementara itu, bercakap mengenai dunia lakonannya, Becca berkata, perjalanan kariernya berjalan dengan baik dengan beberapa produser kini sudah mula membuka mata akan keupayaannya berlakon.
Bagaimanapun, Becca memberitahu, dia perlu banyak lagi belajar untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Atas dasar itu, jelasnya, dia perlu bersikap memilih dalam menentukan nasib masa depan kariernya.
"Sebagai pelakon, saya mesti selektif dalam menerima tawaran kerana sebagai pelakon saya tidak mahu duduk di takuk yang sama.
"Lakonan adalah kerjaya saya dan saya perlu memilih yang terbaik. Kena lihat skrip terlebih dahulu dan produk karya itu kerana ia akan memberi kesan kepada pelakon,'' tegasnya.
Kata Becca, meski sikap memilihnya itu akan membataskan segala-galanya, ia tidak perlu dirisaukan.
"Bagi saya yang penting, hasilnya lumayan dan terbaik,'' katanya.
Ditanya mengenai kedatangan tahun baru 2010, Becca berkata, dia kini sudah mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip.
"Menulis adalah hobi saya. Saya mampu meluahkan apa yang terbuku di hati dengan cara menulis. "Alhamdulillah saya sudah ada tiga skrip iaitu dua untuk drama dan satu lagi skrip filem. Ia berkisar tentang kisah cinta dan aksi.
"Semuanya saya telah serah kepada pihak MIG Productions untuk dipertimbangkan,'' tambahnya yang baru sahaja pulang bercuti bersama keluarga di Beijing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: