Tuesday, January 5, 2010

Filem Natrah format drama bersiri

SELEPAS meraih banyak kejayaan sepanjang 20 tahun menjadi anak seni, Erma Fatima mahu memaparkan lebih banyak mesej mengenai kemanusiaan dan realiti kehidupan menerusi drama serta filem arahannya.

pix_middle

Ternyata kejayaan drama Tersasar Di Jalanmu yang menang enam anugerah di Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) menyuntik semangat kepada Erma untuk lebih serius menghasilkan karya mendedahkan kepincangan masyarakat. Katanya, sebagai pengarah banyak sebenarnya yang mahu dilakukan dan fokus utamanya kini ialah menghasilkan filem Natrah yang juga akan dihasilkan dalam format drama bersiri 26 episod serta filem Murtad.


"Buat masa ini, fokus saya adalah filem Natrah yang dijangka menjalani penggambaran pada April ini selepas beberapa urusan mengenai pemilihan pelakon selesai. Ia juga akan dibuat dalam format drama 26 episod. Selepas itu saya akan menghasilkan filem baru bertajuk Murtad. "Topik Murtad menarik minat dan perhatian saya kerana gejala itu berlaku tanpa disedari atau dipandang lewa. Tidak banyak dokumentari, drama atau filem dibuat mendedahkannya dan saya risau jika ia jadi barah sukar dirawat. Selain itu, saya berhasrat mengarahkan teater muzikal mempunyai unsur drama dan teladan," katanya ketika ditemui di majlis meraikan Rumah Nur Salam sempena majlis kesyukuran Tersasar Di Jalanmu di Lorong Haji Taib Satu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Rumah Nur Salam adalah rumah perlindungan bagi kanak kanak terbiar di sekitar kawasan Chow Kit dan ia dijadikan lokasi penggambaran Tersasar Di Jalanmu yang menang Drama Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Norisz Ismail), Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik di ASK2009 yang berlangsung 4 Disember lalu.


Hadir sama di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan. Drama 60 minit yang disiarkan RTM itu menjalani 80 peratus penggambaran di Rumah Nur Salam.


Kata Erma, dia mendapat inspirasi bekerjasama dengan banyak pihak yang sukar atau jarang didekati sebelum ini kerana perasaan skeptikal yang wujud. Bagi Erma, golongan terdapat di lorong itu mempunyai mesej hendak disampaikan, tetapi tidak ramai mahu mengupas apa tersirat atau mengambil tahu apa berlaku di lorong mempunyai banyak sejarah tersendiri.


"Saya mengambil keputusan buat drama apabila melihat sendiri keadaan berlaku di sekitar kawasan ini dua tahun lalu. Bagi saya kawasan ini memaparkan kesengsaraan, noda, kotor, gelap, tidak terurus dan masalah sosial.


"Semuanya bermula sewaktu saya ke Chow Kit dua tahun lalu. Saya terpandang kanak-kanak terbiar dan berkeliaran di sana sini. Situasi itu membuat saya hairan siapa penjaga mereka dan apakah kehidupan itu berlaku setiap hari kepada mereka. "Jadi, saya rasa penderitaan dan kesukaran golongan itu jarang diberi perhatian dan mereka juga tidak mahu kehidupan seperti itu, tetapi terpaksa dilalui kerana kesempitan hidup.," katanya.


Akui Erma, selepas Tersasar Di Jalanmu selesai dan mencapai tahap membanggakan, dia mendapat sokongan baik daripada masyarakat sekeliling di lorong itu. Meskipun berdepan pelbagai ujian antaranya terpaksa berunding dengan beberapa ketua kumpulan mengawasi kawasan itu atau kumpulan tertentu, Erma akui ia memberi pengalaman baru kepadanya dan keseluruhan kru.


"Keadaan itu membuatkan kami bersemangat untuk terus bekerja keras menghasilkan karya lebih baik untuk tontonan masyarakat. Buat masa ini, saya harap stesen televisyen dan pengarah cuba memaparkan lebih kisah kemasyarakatan. "Jika ia memaparkan realiti yang berlaku, lebih baik kerana ia lebih mudah diterima penonton. Buat masa ini, perubahan jalan cerita dan kelainan adalah apa dimahukan masyarakat. Jika ia beri kesan, lebih baik kerana mereka dapat bersama- sama menghayati dan menyertainya," kata Erma.


Pengarah filem Perempuan Melayu Terakhir dan Embun ini berkata, harapannya ialah kanak-kanak yang ditemuinya berkeliaran di situ akan menjadi orang berjaya satu hari nanti seperti kehidupan di kawasan sekitar Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC). "Apapun, saya akan terus menulis mengenai kisah kehidupan manusia. Tema insan akan ditulis dan digarap sampai bila-bila," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: