Tuesday, January 5, 2010

Catatan perjalanan Pico Iyer

Tempat juga menjadi pemangkin luar biasa yang akan merancakkan deria halus dan sensitiviti mereka sebagai seorang penulis


MENERUSI Sun After Dark, Pico berkongsi perjalanan beliau di pelbagai negara yang dikunjunginya.


KEHIDUPAN seorang penulis yang sering berselimutkan kata-kata dan prosa selalu mengundang kegusaran. Tidak ramai yang memahami apa yang bermain di fikiran mereka.

Apa yang ada pada perkataan dan kata-kata sehingga mereka bergelumang di dalam dunia sendiri juga selalu sukar difahami orang biasa.

Kita juga kerap mendengar cerita-cerita yang disampaikan oleh mereka terbit sebagai sesuatu yang amat menarik dan membuai. Ada waktunya rentang waktu dan lokasi yang sempit, misalnya cerita berlatarkan ruang bilik tidur, boleh membuatkan kita terpaku dan terpesona.

Tetapi jangan lupa. Penulis yang baik biasanya mampu mengungkapkan imaginasi yang lebih luas dan skop yang pelbagai. Jika direnungi, hal itu amat sukar dicapai sekiranya si penulis hanya bersarang di dalam otak fikiran sendiri sahaja.

Mereka biasanya akan mencampakkan diri ke suatu ruang lain untuk belajar mengamati dan meresapi latar yang lebih luas. Akhirnya ia akan membantu mereka meluaskan horizon imaginasi untuk mengkonstruk prosa dan pendapat secara kritis atau bersahaja.

Nama besar

Kebanyakan nama-nama besar bidang penulisan baik daripada lapangan dan format seringkali didukungi oleh mereka yang kerap menjelajah ke merata tempat.

Tentunya golongan terbabit bukan seperti pelancong biasa yang sekadar melewati sesebuah tempat dan mahu bergambar berlatar belakang pemandangan yang ikonik.

Berbeza dengan kelompok penulis mereka lebih banyak melibatkan banyak deria 'tambahan'. Ini membuatkan mereka menjadi lebih peka kepada sekecil-kecil perkara yang ada di depan mereka.

Kelompok terbabit akan membuka diri untuk diresapi oleh persekitaran yang tidak ramah itu, memerhati dengan tajam ataupun bertanyakan soalan yang kerap bermain di fikiran.

Selain waktu yang bertindak sebagai satu batas tempoh, tempat juga menjadi pemangkin luar biasa yang akan merancakkan deria halus dan sensitiviti mereka sebagai seorang penulis prolifik.

Pico Iyer merupakan seorang penulis kanan yang pernah berkerja antaranya untuk Time, New York Times dan pernah mengajar di Universiti Harvard. Beliau ada contoh yang lunak dan mesra tentang perkara ini iaitu perjalanan ke tempat-tempat yang tidak lazim dan bukan dengan latar belakang diri sendiri banyak membentuk kepelbagaian mengulas situasi berkenaan.

Ketika genre novel yang pernah diusahakannya tidak mendapat sambutan, Iyer diimbangi dengan kejayaan tulisan-tulisan lain dalam bentuk esei, bukan fiksyen dan juga traveloque. Sun After Dark mengumpulkan tulisan-tulisan perjalanan beliau ke serata dunia.

Iyer merupakan seorang penulis yang kerap mencatatkan pengalamannya di tanah asing. Gaya penulisannya jauh berbeza dengan apa yang kita bayangkan.

Beliau tidak mencatatkan perkara-perkara remeh yang biasa diperhatikan oleh pelancong. Sebaliknya, Iyer menyelam ke dalam norma-norma tempatan dengan memasuki sub-budaya setempat dan menyelongkar serba sedikit sejarah dan sentiasa mencari satu bentuk justifikasi untuk dirinya sendiri berdasarkan apa yang didepaninya pada satu-satu masa.




Setiap persinggahan baginya ada satu bentuk meditasi atau terapi diri yang cukup unik. Iyer menerusi buku Sun After Dark bercerita tentang pengalamannya bertemu dan mendiami tempat tinggal penyanyi dan penulis tersohor Amerika, Leonard Cohen.

Iyer menceritakan perkara itu secara terperinci seperti sebuah novel, disulam dengan dialog-dialog agama yang intens (Cohen merupakan seorang Buddha) dan bersahaja serta menyampaikannya dalam nada yang cukup menarik dan tenang. Prosa yang lahir daripada tulisan beliau akan terus melekat ke dalam ingatan pembaca.

Pengalaman

Iyer juga bercerita tentang perjalanannya yang merentas ke benua seberang dari tempat mastautinnya seperti Tanah Arab hinggalah ke Bali. Pengamatannya pada setiap lokasi setiap cukup jelas.

Terutamanya aspek budaya dan cara hidup kelompok-kelompok yang ada. Beliau menjadi sebahagian daripada masyarakat setempat hanya untuk merasai beberapa perkara yang bagi kebanyakan orang dianggap remeh.

Dia juga merakamkan pengalaman bertemu Dalai Lama. Artikel berkenaan menyoroti isu-isu pembebasan yang membelenggu warga Tibet yang berdepan dengan kekuasaan pemerintah China.

Secara tidak langsung, Iyer meletakkan penulisan traveloque ke satu tahap yang lain. Beliau melahirkan satu bentuk prosa yang cukup simplistik tetapi dengan gaya yang menarik dan tidak membosankan.

Dalam sesetengah keadaan, Iyer akan membuatkan kita seperti tidak merasakan yang kita sebenarnya sedang mengikuti sebuah tulisan bukan fiksyen yang berkisahkan sesebuah tempat. Ia seperti sebuah catatan perjalanan yang sebelum ini tidak ada dan hanya menjelma di dalam ruang imaginasi Iyer sahaja.

Iyer menulis catatan daripada genre travelogue dengan penuh rendah diri. Ia menjadi satu catatan yang akan membangkitkan deria setiap pembacanya untuk sampai ke tempat-tempat itu dalam bayangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: