|
|
SEKITAR tahun lepas, Mawi pernah muncul dengan album berunsur keagamaan berjudul Allah Habbebi.
Biarpun hanya terjual sebanyak 15,000 unit, ia bukanlah penghalang untuknya terus mewarnai industri seni tanah air.
Kelembapan penjualan album secara fizikal perlu diakui memandangkan peminat seni suara ketika ini sudah mula beralih kepada teknologi digital.
Sungguhpun begitu, bagi Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, dia meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa album terbarunya iaitu Idola bakal mendapat sambutan menggalakkan.
Ini kerana Idola yang dijangka dipasarkan Februari nanti menampilkan dia berduet bersama barisan artis tersohor negara.
Antara artis berkenaan ialah Hattan, M. Nasir, Ramli Sarip, Datuk Jeffrydin, Jay Jay, Ogy Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Zamani (Slam) serta Allahyarham Ustaz Asri Rabbani.
"Kesemua barisan artis berkenaan adalah idola saya. Saya sangat berbangga dapat bekerjasama dengan mereka. Ia bukanlah satu kerja yang mudah.
"Banyak pengalaman dapat saya kutip sepanjang bersama mereka seperti vokal serta cara penyampaian lagu. Mereka tidak lokek ilmu.
"Bukan sahaja personaliti malah lagu-lagu mereka juga amat saya minati,'' kata Mawi tatkala ditemui di studio rakaman Ada Exist Sdn. Bhd. di Bandar Seri Damansara, baru-baru ini.
Mawi berada di studio berkenaan bersama salah seorang idolanya iaitu Zamani untuk merakamkan lagu berjudul Tak Mungkin Berpaling.
Hadir sama, Produser Idola, Syeikh Kalam.
Lagu Tak Mungkin Berpaling membabitkan Saari Amri selaku komposer dan lirik oleh Azam Dungun pernah popular sekitar 1995 dan ia dimuatkan di dalam album kedua Slam, Kesan Terbukti yang terjual sehingga 200,000 unit.
Usaha menerbitkan Idola bermula sejak 2007 lagi dengan rakaman lagu dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Antara lagu yang dirakamkan adalah Siti Haida bersama Jeffrydin; duet bersama Jay Jay untuk lagu Menyesal Tak Guna; Hattan (Dari Kekasih Kepada Kekasih); M. Nasir (Lagu Jiwa Lagu Cinta); Aznil (Geram - nyanyian asal Black Dog Bone); Ogy (Rela Menanti) dan Allahyarham Asri (Saksi dan Inikah Petanda).
Bersama Ramli Sarip, Mawi cukup bertuah kerana Papa Rock itu menyediakan sebuah lagu baru untuk dirakamkan secara bersama manakala rakaman bagi lagu Saksi dan Inikah Petanda sempat dilakukan pada 2008 sebelum Allahyarham Asri menghembuskan nafas terakhir, tahun lalu.
Kata Mawi, Idola memberi makna yang besar buatnya kerana konsep album tersebut berbeza dengan album-albumnya terdahulu.
"Kesemua artis ternama itu ada pengikut mereka tersendiri. Oleh yang demikian, Idola akan mampu menarik minat pengikut-pengikut mereka juga,'' ujar juara Akademi Fantasia musim ke-3 ini penuh optimis.
Mengenai kesudian Zamani untuk tampil dalam album terbarunya, Mawi berkata, pada zaman remaja dia sangat mengagumi penyanyi tersebut.
"Sebenarnya kami pernah merakamkan lagu Tak Mungkin Berpaling pada 2006 bersama Khai. Ia tidak menjadi masalah untuk kami merekodkannya sekali lagi secara berduet,'' jelas Mawi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: