Tuesday, January 26, 2010

Pelakon bukan Kelantan jiwai makyung


NURSIAH Md. Yatim yang melakonkan watak Raja Besar juga tampil dengan gaya lakonan makyung yang berkesan.


PEMENTASAN makyung yang berasal dari Kelantan biasanya lebih banyak dipelopori oleh para aktivisnya termasuklah pelakon, pemuzik dan penari yang terdiri daripada anak-anak jati negeri tersebut.

Bagaimanapun, makyung berjudul Anak Raja Dua Serupa yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 22 hingga 24 Januari lalu tidak kesemuanya menampilkan pelakon yang berasal dari Kelantan.

Sebaliknya, pengarah dan penulis skrip makyung itu, Fatimah Abdullah, berasa bangga kerana kebanyakkan pelakon utamanya berjaya melakonkan watak masing-masing dengan begitu berkesan sekali.

"Sebagai penulis skrip, pengarah dan penasihat makyung ini, saya dapati para pelakon utamanya seperti Rosnan Rahman dan Juhara Ayub telah berjaya melakonkan watak masing-masing dengan begitu baik sekali.

"Sungguhpun mereka bukan orang Kelantan, tetapi penghayatan dialog yang mereka tuturkan dalam persembahan ini boleh dibanggakan. Kalau orang Kelantan sendiri pun belum tentu boleh berlakon makyung dengan baik.

"Saya puas hati dengan penuturan dialog, penghayatan dan persembahan mereka pada malam ini," katanya kepada Hits selepas pratonton Anak Raja Dua Serupa di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rosnan yang berasal dari Pokok Sena, Kedah dan Juhara anak kelahiran Negeri Sembilan berjaya melakonkan watak masing-masing iaitu sebagai Iras Kesuma serta Alam Kesuma dengan berkesan biarpun bukan anak Kelantan.

Malah, dua pelakon versatil ini bukan setakat berjaya menuturkan dialog dalam loghat Kelantan, tetapi mereka turut mengiringi persembahan pada malam itu dengan tarian yang begitu lemah gemalai.

Pengarah bersama makyung itu, Lokman Ghani turut tidak menafikan peranan Rosnan dan Juhara dalam menghidupkan watak masing-masing sambil dibantu oleh para pelakon lain yang kebanyakannya berasal dari Kelantan.

Sabri Yunus yang melakonkan watak Peran Muda sememangnya tidak menghadapi masalah daripada segi penuturan dialog kerana beliau merupakan anak jati Kelantan dan berpengalaman dalam pementasan teater dan makyung.

Biarpun makyung berasal dari Kelantan, namun Lokman juga tidak beranggapan seni persembahan itu hanya untuk tontonan orang Kelantan semata-mata tetapi ia sesuai untuk semua golongan penonton.

"Kalau boleh biarlah makyung ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan ia tidak terhad untuk orang Kelantan sahaja. Makyung adalah seni warisan Malaysia di mana ia telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Kesenian Warisan Dunia.

"Rugi kalau kita tidak menonton atau menghargai seni persembahan ini yang telah pun diiktiraf hingga di peringkat antarabangsa. Kita juga rugi kalau tidak tahu tentang makyung," ujar pengarah teater Tragedi Bukit Kepong ini lagi.

Sementara itu, Rosnan yang mewakili rakan-rakan pelakon Anak Raja Dua Serupa yang bukan berasal dari Kelantan berasa bangga kerana diberi kepercayaan menjayakan pementasan yang diiringi oleh Pemuzik Istamuzika tersebut.

Katanya, pengalaman bercampur dan hasil tunjuk ajar Fatimah Abdullah yang juga pensyarah makyung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) banyak membantunya menjayakan watak lakonannya itu.

"Saya mempelajari seni persembahan makyung sejak 10 tahun lalu iaitu semasa belajar di USM (Universiti Sains Malaysia) dulu. Mula-mula saya sebut dialek Kelantan pelat juga tetapi lama-kelamaan saya semakin fasih.

"Selain bimbingan daripada Kak Asmah (Fatimah Abdullah), saya juga banyak bergaul dengan orang-orang Kelantan sejak dari dulu lain. Daripada situlah saya boleh bertutur dialek Kelantan dengan lebih yakin," katanya.

Meskipun Anak Raja Dua Serupa tidak mengekalkan konsep persembahan makyung 100 peratus tetapi banyak elemen penting seperti lagu pembuka panggung dengan lagu-lagu klasik seperti Mengadap Rebab masih dikekalkan.

Selain lagu itu, lagu Sedayung Makyung yang turut dipersembahkan pada persembahan itu selama hampir 15 minit turut menyelitkan sedikit elemen moden seperti beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris turut diselitkan.

Elemen itu paling ketara menerusi watak Peran Muda lakonan Sabri dan juga watak Peran Tua lakonan Romli Abdullah yang dilihat sebagai 'Pak Lawak' bagi mencetuskan adegan-adegan lucu dalam menghidupkan jalan cerita makyung itu.

Anak Raja Dua Serupa yang mengenakan tiket berharga RM20, RM50, RM70 dan RM100 anjuran Istana Budaya itu merupakan antara cerita klasik makyung yang telah diceritakan secara turun temurun.

Makyung itu antara lain berkisar tentang perpisahan dua beradik iaitu Iras Kesuma dan Alam Kesuma yang berpisah sejak kecil kerana salah seorang daripada mereka telah diculik oleh Raja Lanun.

Pada masa sama, Alam Kesuma telah meminta izin daripada Raja Lanun untuk mencari ayah kandungnya sebelum dia dikahwinkan dengan Puteri Hitam Sebelah iaitu anak kepada Raja Lanun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: