Tuesday, January 12, 2010

Mampukah AI9 beri impak besar?


KENANGAN... Paula Abdul (tengah) menduduki kerusi juri American Idol selama lapan musim bersama Randy Jackson (kiri) dan Simon Cowell.


MEMANG tidak dapat disangkal lagi, American Idol (AI) merupakan rancangan realiti yang paling berpengaruh di dunia.

Kali pertama ditayangkan pada tahun 2002, tiada siapa yang menyangka AI mampu mencetus fenomena yang cukup luar biasa melangkaui jagat raya.

Dan, populariti rancangan itu juga telah membawa revolusi baru dalam penerbitan rancangan televisyen di Hollywood dan individu yang bertanggungjawab kepada fenomena ini ialah Simon Fuller.

Hanya selepas AI, kita dapat melihat bagaimana semua stesen televisyen baik di Hollywood waima di negara ini sekali pun, berlumba-lumba mahu menghasilkan formula yang sama.

Apa yang membanggakan untuk lima musim berturut-turut, AI berjaya mengekalkan rating tertinggi sehingga meletakkan rancangan itu sebagai rancangan nombor satu dan jenama isi rumah yang paling diminati.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan AI setanding dengan siri televisyen All in the Family dan The Cosby Show yang berjaya mencipta rekod sedemikian.

Sesudah lapan musim bersiaran, AI kini kembali untuk musim kesembilan bagi mencari bakat baru yang mampu meletakkan diri mereka sebagai seorang bintang handalan.

Akan memulakan siarannya secara eksklusif di Star World (saluran 711, Astro) bermula esok (13 Januari) tepat pukul 6 petang secara langsung dari Amerika Syarikat, ramai yang mahu melihat sejauh manakah musim ini mampu meninggalkan impak.

Ramai yang mula berkata-kata adakah peserta kali ini mampu berdiri setanding dengan lapan juara lalu atau hanya mengecapi populariti seketika sebelum dibawa angin lalu?

Masakan tidak. Selepas lapan musim bersiaran, ramai yang mula melihat AI sebagai sebuah rancangan realiti yang saban tahun tidak mampu memberikan sengatan yang berbisa.

Apatah lagi, daripada lapan juaranya, hanya dua sahaja yang dilihat benar-benar menjadi dan berupaya mengikis imej AI sekali gus meletakkan diri mereka sebagai penyanyi yang cukup disegani.

Mereka yang dimaksudkan ialah Kelly Clarkson iaitu juara AI yang pertama dan Carrie Underwood (juara AI4) yang memiliki karier seni yang begitu cemerlang dan memiliki kekayaan berjuta-juta dolar.

Selebihnya seperti Ruben Studdard (juara AI2), Fantasia Barrino (juara AI3), Taylor Hicks (juara AI5), Jordin Sparks (juara AI6), David Cook (juara AI7 dan tahun lalu, Kris Allen tidak berupaya mencipta kejayaan gemilang.

Kerana itu, peminat dan pengikut setia rancangan popular ini mahu apakah kejutan dan kelainan yang dibawakan dalam AI9 untuk terus memancing mereka melekat di kaca televisyen setiap minggu.

Mahu atau tidak, stesen televisyen Fox sudah merangka strategi terbaik bagi memastikan musim kesembilan ini akan terus mendominasi carta penontonan yang paling tinggi di Amerika Syarikat.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang juri AI, Randy Jackson yang menjanjikan musim ini mampu memberikan sesuatu yang berbeza berbanding musim-musim terdahulu.

Jelasnya, peserta yang dipilih menerusi uji bakat seluruh Amerika Syarikat itu akan membuatkan penonton dan pengikut setia teruja untuk terus mengikuti AI9.

"Bukan mahu menabur janji tetapi itu adalah realitinya dan saringan kali ini memang benar-benar ketat sehingga membuatkan kami pening kepala untuk memilih mereka yang terbaik," ujarnya.

Malah, Randy juga sempat memberikan buah fikirannya terhadap rancangan itu yang dikatakan semakin hari semakin suram kerdipan sinar popularitinya.

"Memang benar rancangan ini mampu membawa seseorang itu ke puncak populariti hanya semalaman.

"Tetapi kita harus melihat apa yang rancangan ini mampu lakukan dan itu kelebihan AI yang saya anggap rancangan terbaik di muka bumi ini dan mampu untuk kekal dalam tempoh yang lama," katanya yang setia dengan rancangan tersebut dari musim pertama lagi.

Seperti mana yang semua sedia maklum, sebelum bermulanya musim kesembilan ini, pihak produksi berdepan dengan kesulitan untuk mencari salah seorang juri, Paula Abdul yang telah meninggalkan rancangan itu tahun lalu.

Ramai yang melihat pengunduran Paula dari rancangan itu akan menggugat serta menggoyahkan rating dan populariti rancangan itu.

Tetapi, tidak bagi Fox kerana mereka mahu meneruskan apa yang telah dimulakan dan sesekali tidak akan tunduk mengalah dengan situasi tersebut.

Maka dengan itu, mereka sepakat untuk memilih pengacara dan pelakon komedi popular, Ellen DeGeneres untuk menduduki kerusi juri menggantikan Paula di samping Randy, Kara DioGuardi dan Simon Cowell.

Populariti Ellen itu dilihat mampu menarik lebih ramai lagi penonton untuk terus setia bersama rancangan itu sementelah Ellen juga merupakan peminat setia AI.

Sungguh pun begitu, di sebalik pemilihan itu, ada juga yang mempersoalkan rasional dan kemampuan Ellen untuk menilai persembahan peserta setiap minggu.

Manakan tidak, melihat pada profil seni Ellen, penglibatannya di dalam bidang hiburan hanyalah tertumpu kepada bidang lakonan serta pengacaraan dan tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik.

Jadi, adakah percaturan Fox melantik Ellen sebagai pengganti Paula sebagai satu pelaburan yang mampu membawa keuntungan atau sebaliknya?

Dalam hal ini, Randy sekali lagi memberikan pandangannya terhadap rakan sekerjanya yang sebenarnya memiliki karisma tersendiri untuk membawa perubahan kepada rancangan tersebut.

"Pada hemat saya, Ellen layak untuk menjadi juri pada musim ini memandangkan dia seorang yang begitu meminati dan mencintai muzik.

"Dan, sebagai seorang penghibur yang bijak dan berbakat, jadi tidak salah dia menduduki kerusi juri dan menilai persembahan peserta setiap minggu.

"Saya yakin dan percaya Ellen mampu menggalas tanggungjawabnya dengan baik serta menarik perhatian penonton untuk terus bersama AI," katanya penuh optimis.

Bagi Ellen pula, dia tidak mahu ambil pusing kata-kata orang yang mempersoalkan kredibilitinya sebagai juri musim ini.

Apa yang penting baginya adalah penghormatan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab besar itu.

"Saya teruja dengan tugas ini dan saya memang mengikuti perkembangan AI sejak mula lagi.

"Biarpun ada yang kata tentang pemilihan saya, tugas saya adalah untuk mencari seorang penghibur dan bukannya penyanyi semata-mata.

"Jangan fikir saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang muzik, saya tidak tahu tentang dunia muzik secara keseluruhan," ujarnya yang menggemari semua genre muzik.

Untuk peminat AI dan Ellen sendiri, pemenang anugerah Emmy itu tidak akan muncul pada episod pertama musim kesembilan ini.

Sebaliknya, dia hanya akan memulakan tugasnya pada pusingan Hollywood untuk memilih bakat terbaik untuk di bawa ke pentas AI.

Untuk itu, penonton dan peminat akan dapat melihat beberapa nama popular yang menjadi juri jemputan pada setiap uji bakat yang telah diadakan.

Mereka termasuklah Victoria Beckham, Mary J. Blige, Kristin Chenoweth, Neil Patrick Harris, Joe Jonas, Avril Lavigne, Katy Perry dan Shania Twain.

Pastikan anda tidak melepas peluang bagi menyaksikan siaran secara langsung American Idol musim kesembilan bermula esok (13 Januari) pukul 6 petang.

Jika tidak dapat menontonnya pada waktu tersebut, usah bimbang kerana siaran ulangannya adalah pada pukul 8 malam pada hari yang sama secara eksklusif di Star World (saluran 711, Astro).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: