Tuesday, January 12, 2010

Alise Ismail intai peluang


ALISE mempertaruhkan dua single, Adakah Sama dan Bila Ada Kamu.


RAUT wajah gadis kecil molek ini sudah seakan mesra di pandangan. Mana tidaknya, Alise Ismail atau nama sebenarnya Norlida Ismail, 30, sebelum ini cukup aktif di bidang peragaan.

Kerjaya seninya bercambah daripada seorang model kepada pelakon sejak wajahnya mula menjadi perhatian dan dikenali menerusi pertandingan Gadis Jelita pada tahun 2001.

Kini, Alise melangkah setapak lagi dalam bidang seni apabila mula menjinakkan diri di gelanggang nyanyian pula.

Dua singlenya, Adakah Sama dan Bila Ada Kamu telah pun diputarkan di corong-corong radio dan hari demi hari kedua-dua single tersebut semakin mendapat perhatian daripada pendengar.

Anak kedua daripada tiga beradik itu, sebelum ini pernah berlakon dalam beberapa buah drama arahan Erma Fatimah termasuk Sumaiyah sekitar tahun 2006.

Ketika ditemui baru-baru ini, Alise menganggap pembabitannya dalam bidang nyanyian sebagai satu usaha dalam mengembangkan bakat seni yang ada padanya.

Bukan kerana kecewa namanya kurang menyerlah di bidang peragaan mahupun lakonan, tetapi kata Alise, sebagai memenuhi amanat arwah ayahnya agar dia meneruskan hasrat bergelar penyanyi yang menjadi minatnya sedari kecil.

Sebelum memasuki pertandingan Gadis Jelita, Alise pernah ditawarkan sebagai penyanyi oleh syarikat rakaman Zanzibar Record dan sempat merakamkan beberapa buah lagu.

"Bagaimanapun, ketika itu usaha terhenti kerana saya belum nampak peluang yang cerah dalam nyanyian," kata Alise ringkas.

Meskipun mengakui seorang yang pemalu dan pendiam, kelemahan tersebut cuba dibuang jauh-jauh kerana baginya untuk bergelar artis dia perlu berfikiran positif dan berpandangan jauh.

"Sedikit demi sedikit keyakinan dalam diri saya mula timbul. Apabila mengikuti pelbagai persembahan pentas, saya berjumpa dengan ramai orang dan daripada situ saya belajar membina keyakinan serta merasai keseronokan bergaul.

"Ini saya anggap sebagai cabaran buat saya. Mujur saya mempunyai keluarga yang senantiasa memberikan dorongan buat saya.

"Saya seboleh mungkin ingin tonjolkan bakat nyanyian dan jika ada rezeki saya harap boleh pergi lebih jauh daripada ini," kata peminat setia Datuk Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad itu.

Cipta lagu untuk ayah

Dalam sibuk mencari tapak sebagai penyanyi, Alise juga merancang mencipta sebuah lagu yang didedikasikan kepada arwah ayahnya, Dari Anakmu.

Dari Anakmu mengisahkan tentang kerinduan seorang anak terhadap kasih sayang serta momen-momen manis ketika bersama bapanya.

"Saya ingat lagi sebelum ayah menghembuskan nafas terakhir, dia sempat berpesan kepada saya agar melakukan yang terbaik dan meneruskan cita-cita saya untuk menjadi penyanyi.

"Teringatkan pesanannya, saya meneruskan juga walaupun terpaksa menunggu sehingga 10 tahun.

"Bila fikir balik, memang terasa rugi tidak teruskan kerjaya nyanyian saya dulu tetapi mungkin ketika itu saya masih terlalu muda dan masih belum mampu berfikir untuk kebaikan akan datang.

"Apa yang saya harapkan peminat dapat menerima kedua-dua single saya," katanya yang mempunyai lebih 7,000 kenalan yang terdiri daripada peminatnya di laman sesawang sosial, Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: