Tuesday, January 12, 2010

Misi mempopularkan OTM


SANI (kanan) yang mewakili kaum Orang Asli juga diberikan ruang untuk membawa elemen kaum itu ke dalam OTM.


SEJARAH penubuhannya bermula apabila Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyedari tentang perlunya diwujudkan sebuah orkestra yang menggabungkan pelbagai alat muzik tradisional berbilang kaum.

Sebagai satu keperluan dan dianggap penting, ia juga bertujuan untuk meningkatkan mutu pentadbiran serta kualiti muzik tradisional setaraf dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan sedia ada.

Justeru, bagi merealisasikan idea tersebut, beberapa siri konsert, bengkel dan pertemuan bersama penggiat seni dianjurkan bagi membincangkan penubuhan orkestra ini.

Langkah pertama, sekitar 2007, seorang pegawai kebudayaan di kementerian iaitu Bahizal Abu Bakar telah dihantar ke Seoul, Korea untuk mempelajari secara mendalam sistem yang diamalkan oleh negara berkenaan dalam membangunkan muzik tradisional mereka.

Lanjutan daripada usaha ini, satu sesi perbincangan secara serius diadakan pada Januari tahun lalu bagi merealisasikan penubuhan sebuah orkestra penuh harmoni iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Bersesuaian dengan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini, ia mencerminkan betapa muzik mampu menjadi wadah penyatuan bangsa Malaysia.

Memiliki seramai 86 orang pemuzik yang diletakkan di bawah naungan Istana Budaya, OTM yang diketuai Mohd. Yazid Zakaria selaku Konduktor OTM bakal dilancarkan sekitar Februari ini.

Menurut Datuk Mohammed Mohd. Daud yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), OTM buat pertama kalinya telah mengadakan persembahan bersempena program Titian Budaya Malaysia-Singapura di Esplanade, Singapura pada Mei 2008.

Hasil daripada kemunculan sulung itu, jelasnya, OTM telah menerima sambutan menggalakkan sehingga sering kali diundang untuk mengadakan persembahan demi persembahan.

"Mengikut perancangan, penubuhan OTM secara rasminya akan dilancarkan pada 5 Februari ini.

"Sehubungan dengan penubuhannya, sebuah konsert akan diadakan bagi menguar-uarkan OTM sebagai orkestra kebanggaan negara,'' katanya ketika ditemui di majlis pratonton persembahan OTM bersama media di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

Pada majlis tersebut, OTM diserikan dengan persembahan vokal Norhasmidar Ahmad, Karen Tan Lee Suan, Muthu Kumaran atau MK dan Sani Babola.

OTM menggabungkan pemain muzik pelbagai kaum yang memainkan peralatan muzik antaranya kompang, gong, rebab, gambus, serunai, sitar, erhu dan sape.

Selain petikan sape oleh Leslie Eli untuk lagu Puteri Santubong, ia turut dimeriahkan dengan kemunculan persembahan daripada suku kaum Orang Asli.

Selain mengadakan konsert dan bengkel, enam daripada ahli muzik OTM turut terpilih untuk menyertai gabungan Orkestra Asean-Korea bagi memantapkan lagi perjalanan OTM.

Konduktor OTM, Mohd. Yazid adalah salah seorang yang terlibat dalam gabungan orkestra tersebut.

Identiti perjalanan OTM adalah berdasarkan kepada empat ciri utama iaitu ia harus berkeadaan versatil dan boleh dipersembahkan sama ada mengiringi muzik tradisional tempatan, moden atau Barat.

Ciri kedua pula, tekstur, bentuk serta stail yang diadaptasi dari Barat hanyalah untuk mengembangkan dan memantapkan lagi persembahan OTM dan OTM hendaklah beridentitikan Malaysia dalam segenap aspek.

Akhirnya, OTM perlu memperbanyak serta memperkayakan komposisi dan karya baru dengan memaparkan keunikan ciri-ciri tempatan.

Siri jelajah dan bakat baru

Mengulas lanjut, Mohammed berkata, dalam usaha mempopularkan OTM, pihak kementerian sedang merangka untuk membawa orkestra itu ke seluruh negara.

Siri jelajah itu, jelasnya, akan digerakkan sepanjang 2010 dengan harapan ia mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.

"OTM cukup unik. Ia menggabungkan pelbagai kaum di Malaysia.

"Kumpulan orkestra di negara luar hanya memaparkan orkestra bagi satu kaum sahaja.

"Atas dasar itu, kita menjangkakan OTM akan mendapat tempat yang baik bukan sahaja kalangan rakyat tempatan malah dunia,'' katanya penuh yakin.

Ujarnya, selain seluruh negara, pihak kementerian juga merancang untuk membawa OTM ke luar negara dengan Jepun dijangka menjadi destinasi pertama siri jelajah berkenaan.

"Kita sedang berusaha dengan kerjasama sebuah agensi di Jepun. OTM juga bakal dibawa ke beberapa negara di Eropah,'' jelasnya.

Bagi mencari pelapis pula, Mohammed menjelaskan bahawa pihak IB telah diminta untuk mengadakan bengkel khusus kepada generasi muda mempelajari peralatan muzik tradisional.

"Usaha ini memakan masa (mencari pelapis). Kita akan pilih bakat-bakat baru. Institusi pengajian tinggi juga diminta bekerjasama dengan IB untuk mencari barisan pelapis OTM,'' tambahnya.

Merealisasikan Jabatan Muzik

Dalam pada itu, Mohammed berkata, pihak kementerian kini sedang berusaha untuk mengembangkan Bahagian Muzik yang terletak di bawah kementerian tersebut ke arah pembentukan sebuah jabatan.

Pembentukan tersebut bertujuan untuk membangunkan lagi industri muzik tanah air.

"OTM juga nanti akan diletakkan di bawah Jabatan Muzik. Jabatan itu mungkin akan beroperasi di IB,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: