Friday, January 15, 2010

Lantaklah kalau peminat kecil hati - Faizal


FAIZAL enggan memberi komen lanjut mengenai gosip perkahwinannya baru-baru ini.


BARU-BARU ini heboh bekas suami penyanyi Siti Nurdiana (Nana), Faizal Yusop dikatakan telah selamat bernikah dengan wanita yang dikenali sebagai Munirah pada 10 Januari lalu di Taman Ibu Kota Setapak, Kuala Lumpur.

Menurut sumber yang dipetik media, mereka sekadar mengadakan majlis nikah gantung dan akan membuat resepsi pada Mac depan.

Munirah yang merupakan seorang pelakon tambahan dan bekerja di sebuah syarikat produksi itu juga dikatakan menjadi orang ketiga dan punca penceraian antara Faizal dan Nana pada 14 September lalu.

Bagaimanapun, ketika menghubungi Faizal, dia enggan mengulas mengenai hal pernikahannya itu.

Malah, ketika ditanya beberapa soalan mengenai pernikahannya bagi mendapat pengesahan, Faizal memberikan jawapan dalam nada yang agak keras.

Menurutnya, dia tidak mahu urusan peribadinya diketahui umum walaupun hal perkahwinannya itu adalah perkara yang baik.

"Saya tak mahu komen apa-apa pun dan rasanya tidak perlu untuk saya beritahu mengenai kehidupan peribadi saya kepada orang luar, tak penting pun.

"Mengenai perkahwinan itu, saya tidak akan berkata ya ataupun tidak, tak payah nak tahu.

"Buat masa ini saya lebih suka jika orang tidak tahu sama ada saya sudah berkahwin ataupun tidak. Saya lebih suka menyendiri dan tak mahu nanti orang kata saya kecoh pula," katanya.

Cuba bertanyakan pula beberapa soalan lain seperti majlis resepsi yang bakal diadakannya nanti serta kad jemputan yang mungkin akan diberikan kepada media serta peminat, sekali lagi Faizal enggan mengulas panjang.

"Kan saya dah kata, saya tak mahu komen apa-apa pun. Lantaklah peminat nak kecil hati atau tidak. Hal ini tidak perlu dihebohkan.

"Saya memang tidak akan memberitahu sama ada, ada majlis resepsi atau tidak. Kalau ada sekalipun, saya tidak akan jemput sesiapa pun.

"Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini, saya tidak akan mengiakan atau menafikan apa-apa," katanya yang sibuk dengan penggambaran drama barunya, Ejen 008 yang akan disiarkan di TV3 nanti.

Selain itu, Faizal bakal menjalani penggambaran bagi telefilem Kudrat Kasih, di bawah syarikat produksi, Nafalia.


SAAT bahagia Faizal bersama Nana dan anak mereka, Rayyan.

"Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya makin lama makin bagus dan berkembang. Semua ini demi anak saya," katanya.

Nana berdoa mereka bahagia

Sementara itu, ketika menghubungi bekas isteri Faizal, Nana dia sememangnya terkejut ketika mendapat tahu mengenai pernikahan Faizal.

Bagaimanapun, sebagai seorang wanita yang pernah menjadi isteri Faizal, Nana mendoakan agar rumah tangga kedua Faizal itu kekal hingga akhir hayat.

"Saya gembira untuk Faizal kerana dia telah pun menemui cintanya. Saya harap wanita itu dapat membahagiakan dia. Jagalah rumah tangga itu sebaik mungkin.

"Memang saya agak terkejut mengenai berita pernikahannya. Tetapi sebelum ini, Faizal pernah memberitahu hasratnnya untuk berkahwin semula kepada keluarga saya di Seremban," katanya.

Ditanya adakah wanita yang dinikahi Faizal itu adalah punca keretakan rumah tangganya sebelum ini, beritahu Nana: "Walaupun wanita itu menjadi puncanya, saya tak kisah lagi kerana perkara ini sudah lepas, tak perlu ia diungkit semula."

Biarpun Faizal telah pun menemui teman hidup baru, Nana enggan memikirkan untuk mencari pengganti buat masa ini.

Bagi ibu beranak satu itu, dia lebih selesa hidup sebagai ibu tunggal dengan memberikan fokus kepada kerjaya.

"Saya tak mahu fikirkannya, lagipun belum ada calon. Buat masa ini saya mahu fokus kepada kerjaya saya sebagai kaunselor pendidikan di University College Of Science And Technology.

"Malah saya masih lagi aktif menyanyi dan telah pun mengeluarkan single terbaru, Cari Ketenangan berduet dengan Achik Spin," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: