Friday, January 15, 2010

Bukan mahu sakitkan hati Abby



PUCUK muda penuh sensasi, Memey Suhaiza semakin lali dengan tohmahan. Apa sahaja cerita nista yang mencerca perilakunya cuba ditelan tanpa perlu merasa tergumam.

Hampir tenggelam seketika daripada kisah panas sementara menanti tarikh baru perbicaraan kes khalwatnya bersama Norman Hakim Disember lalu, kisah Memey kembali menghangatkan atmosfera forum gosip di Internet.

Sampai ke hari ini, gambar-gambar percutiannya bersama Norman dan anak-anak meriah mendapat sambutan penggemar cerita panas. Memey sekali lagi dicerca dan dipandang serong banyak pihak.

Ada yang menuduh, itu propaganda daripada Memey untuk mengaburi pandangan masyarakat kononnya dia mempunyai hubungan baik dengan anak-anak Norman bersama bekas isteri, Abby Abadi. Paling tidak enak didengar, ada juga bisik-bisik nakal yang mendakwa Memey sengaja mahu menyakiti hati Abby secara halus.

"Saya tak berniat apa-apa atau nak sakiti hati sesiapa. Gambar itu diambil semasa kami sama-sama bercuti di rumah keluarga Norman di Kuantan, Pahang.

"Mula-mula saya simpan untuk koleksi peribadi, tapi abang Norman minta dimasukkan ke dalam Facebook sebab boleh dikongsi bersama ahli keluarga yang lain. Tak sangka pula saya akan dikritik sebegitu," getus Memey kepada Kosmo!.

Menebak situasi kalbunya tatkala berdepan tohmahan kali ini, Memey tertawa kecil. Menelan liur sambil sejenak memilih ungkapan yang paling sesuai, begini jawab Memey:

"Saya sudah tiada perasaan dengan segala kata-kata orang. Dulu (ketika ditangkap khalwat) pada penghujung 2008, saya pernah melalui saat yang sangat sukar lebih teruk berbanding yang ini.


MEMEY menafikan gambar-gambarnya bersama anak-anak Norman yang dimuat turun di Internet bertujuan menyakitkan hati Abby Abadi.

"Kali ini, emosi saya tak tertekan atau terganggu sangat. Saya sedar, saya tak mampu untuk disenangi oleh semua orang," katanya seperti berjauh hati.

Hakikatnya, Memey sedikit memendam rasa apabila setiap gerak-gerinya sering 'kelabu' di mata masyarakat. Di mata semua, Memey dilihat sebagai punca kehancuran sebuah rumah tangga yang bahagia dan menjadi virus memisahkan Norman, Abby serta tiga cahaya mata yang masih kecil.

Ada juga menggesa Memey dan Norman cepat-cepat berkahwin agar tidak lagi dipandang serong. Namun setiap kali diusulkan dengan persoalan kahwin, setiap kali itulah Memey sedikit tersentuh.

"Tipulah kalau saya kata saya dan Norman tiada sebarang perasaan. Tapi sebagai orang yang menggalas situasi ini, saya harus berpegang kuat dengan perancangan hidup saya. Saya ada hidup saya sendiri.

"Saya tidak mahu terburu-buru berkahwin semata-mata untuk menutup mulut masyarakat atau nak puas hati orang lain," katanya.

Tambahan pula bisik Memey, perkahwinan bukan jalan pintas untuk mencapai kebahagiaan sebaliknya ia memerlukan persediaan yang cukup rapi dari segi emosi, mental dan fikikal.

"Saya masih terlalu mentah dalam hal perkahwinan umur pun baru 21 tahun. Sebelum mempunyai komitmen tinggi kepada rumah tangga sendiri, saya mahu puas bermanja dan berbakti kepada keluarga sendiri. Biarlah apa orang kata," katanya tegas.

Ditawan cinta Norman

Mungkin juga, jalan hidupnya telah ditakdirkan begitu. Bukan sengaja dia mahu ditawan cinta suami orang atau duda beranak tiga, Memey percaya ada hikmah di sebalik ketentuan itu.


INILAH foto-foto kemesraan Memey bersama Norman dan anak-anak duda itu sewaktu bercuti ke Kuantan baru-baru ini.

Dari perspektif berbeza, sebagai wanita berusia 21 tahun, Memey sebenarnya lebih dewasa daripada wanita muda. Ketika wanita sebaya dengannya masih bebas dan punya kuasa untuk berseronok bersama teman-teman, Memey pula dihambat kritikan yang sukar diselesaikan.

Ditebak hatinya lagi, kesalkah dia atas segala apa yang terjadi, Memey sekali lagi berserah. Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal. Itu harapan yang berbaki dalam hatinya.

"Inilah jalan dan takdir hidup saya. Saya hanya boleh menerima seadanya situasi ini. Saya terima jika dia (Norman) adalah jodoh saya," kata Memey lagi.

Dari bisik kata yang tercetus di bibirya, Memey ternyata hanya miliki Norman Hakim sebagai lelaki yang akan memimpin hidupnya. Hatinya sudah ditakluk Norman dan selamat tinggal semua lelaki muda.

Bagaimanapun ujar pelakon Roda-Roda Kuala Lumpur itu, dia tidak pernah meletakkan tahap umur mana-mana lelaki yang ingin dekat dengannya.

"Saya jenis yang tidak banyak terdedah dengan ramai orang. Norman lelaki pertama yang datang dalam hidup saya. Sungguh, saya tak pernah merancang mencari suami orang. Dulu-dulu saya sendiri pernah berkata tidak akan jatuh cinta dengan suami orang tapi dunia itulah yang sedang saya lalui sekarang.

"Atas apa yang berlaku, saya semakin percaya kepada Norman. Dialah menjadi kekuatan kepada saya," kata Memey lagi.

Takut spekulasi

Sudah hampir dua tahun berulang-alik ke mahkamah namun entah bila perbicaraan kes khalwatnya dengan Norman akan menemui kesudahan. Berkunjung ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pula sudah menjadi rutin pelakon muda itu sejak dicekup pada 30 Oktober 2008.


MEMEY mengakui Norman kini lelaki yang bertakhta di hatinya.

Tidak gentar atau letih menunggu hari penentuan tetapi apa yang bermain di fikiran Memey, dia bimbang akan timbul spekulasi baru.

"Mula-mula dulu berdebar juga, tapi sekarang dah tak rasa apa-apa. Rasa biasa sahaja bila dipanggil untuk perbicaraan. Lagipun, ia sekadar melengkap prosedur.

"Saya datang, duduk, dengar dan tunggu, kemudian akan diberi tarikh baru untuk hadir pada hari perbicaraan seterusnya," katanya yang berharap kes itu selesai secepat mungkin.

Jika sebelum ini mahkamah hanya bersidang separuh hari bermula dari pukul 9 pagi hingga tengah hari tetapi selepas 15 Januari 2010, sesi perbicaraan akan berterusan hingga ke sebelah petang.

Jika berjalan lancar, harapan Memey untuk 'bebas' daripada panggilan mahkamah akan berakhir lebih cepat. Mungkin setelah hakim menjatuhkan keputusan, barulah Memey dan Norman berhasrat meraikannya dengan pernikahan. Semuanya berserah kepada keadaan. Nantikan.

1 comment:

  1. Ini la dikatakan senario dunia artis....
    apa leh kata...
    see n look...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: