BARANGKALI ramai yang terkejut apabila tiba-tiba keluar berita yang mengatakan bekas isteri pendakwah selebriti Malaysia, Maizawati Zainal akan mengakhiri zaman jandanya apabila memilih pemuda berusia 22 tahun sebagai bakal suaminya. Mana tidaknya, selepas bekas suaminya, Akhil Hayy mendirikan rumah tangga Ogos lalu nama Maizawati seakan dilupakan media berbanding sewaktu kes ‘perang’ antara dua suami-isteri ini meletus.
Biarpun tidak menghebahkan kisah cintanya kepada media, namun ketika dihubungi Hip kelmarin, Maizawati mengakui dirinya kini sedang diulit bunga-bunga cinta. Dalam diam, wanita ini sudah mempunyai buah hati yang boleh dijadikan calon suami. Ketika dihubungi Hip untuk menjelaskan khabar gembira itu, Maizawati mengakui dia dengan pemuda yang mahu dikenali dengan huruf pangkal M itu memang akan mendirikan rumah tangga menjelang Mei nanti.
Mengulas perkembangan terbarunya itu, Maizawati berkata, dia sendiri tidak menyangka yang jodohnya akan tiba secepat itu. Meskipun mungkin akan ada yang mempertikaikan keputusannya berkahwin dengan lelaki yang 12 tahun lebih muda daripadanya, dia menyifatkan segala yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi. Tegasnya, usia bukanlah penghalang, asalkan lelaki itu bertanggungjawab, matang serta mampu menjadi pelindung.
Kata wanita beranak enam ini, dia juga tidak terdesak untuk mendirikan rumah tangga kerana selama lebih dua tahun menderita, dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia mencari kebahagiaan untuk dirinya sendiri dan keluarga. Malah, dia juga tidak mahu memikirkan kata-kata orang yang sering memandang serong kerana baginya dia lebih tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan serta masa depannya.
Hip: Boleh Maizawati perjelaskan lagi mengenai berita yang mengatakan anda bakal mengakhiri zaman solo tidak lama lagi.
Maizawati: Memang benar saya akan berkahwin tidak lama lagi dan lelaki bertuah itu adalah seorang jejaka berusia 22 tahun. Dia berasal dari Likas, Sabah. Kami berkenalan lima bulan lalu. Setakat ini saya hanya boleh katakan namanya bermula dengan huruf pangkal M, sama dengan saya. Insya-allah, apabila tiba masanya nanti saya akan dedahkan siapa bakal suami saya itu. Saya menerimanya selepas melihat kesungguhannya untuk menjadikan saya isterinya yang sah. Dia seorang chef di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura. Mungkin selepas berkahwin nanti dia akan tinggal di Kuala Lumpur bersama saya.
Hip: Sejak Maizawati mengumumkan berita perkahwinan, ramai yang tertanya-tanya mengapa memilih lelaki muda sebagai suami. Apakah anda memang gemarkan lelaki muda?
Maizawati: Dalam hal memilih calon suami, saya tidak pernah meletakkan umur sebagai ukuran. Ini juga bukan soal cita rasa lelaki muda atau tidak. Mungkin secara kebetulan usianya lebih muda dari saya dan saya anggap semua yang datang itu adalah takdir Allah. Barangkali sudah tertulis jodoh saya dengan lelaki yang lebih muda. Bagi saya, tua atau muda bukanlah satu persoalan besar kerana apa yang lebih penting, dia lebih matang dari usianya serta mampu menjadi suami yang baik serta bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak saya. Pemikiran kami seiring, dia memahami situasi yang saya alami dan sebab itu kami boleh rapat. Sebelum ini pun memang ada lelaki yang sebaya dan lebih tua cuba mendekat saya tetapi entah mengapa, hati saya tidak terbuka untuk saya menerimanya sebagai calon suami. Kalau tua pun tetapi tak bertanggungjawab dan tidak mampu menjalankan tugas sebagai bapa dan suami tak guna juga. Lagipun saya lihat, anak-anak saya memang rapat dengannya. Begitu juga dengan keluarga kedua-dua belah pihak yang dapat menerima kami berdua seadanya.
Hip: Tapi ada yang melihat anda seperti terdesak untuk mencari suami. Lebih-lebih lagi apabila bekas suami anda sendiri sudah beristeri baru.
Maizawati: Tak timbul soal terdesak kerana saya bukannya mencari suami dalam masa yang singkat. Walaupun saya baru saja bercerai Ogos lalu namun tidak ramai yang tahu saya menderita ditinggalkan selama lebih dua tahun. Jadi salahkah kalau saya cuba mencari kebahagiaan saya sendiri? Andai benar saya terdesak, tentunya sejak awal lagi, ketika rumah tangga saya dilanda badai, saya sudah mencari pengganti untuk mengubat kesunyian. Orang tidak melalui apa yang saya lalui sebelum ini. Mereka hanya pandai menuduh saya yang bukan-bukan. Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak tanpa kasih sayang seorang bapa. Dalam hal ini saya amat kasihan dengan anak saya yang masih kecil, mereka tidak tahu apa-apa. Justeru, apabila saya bertemu dengan M dan mendapati dia mempunyai jiwa yang penyayang terutama pada kanak-kanak, lalu saya pun menerima kehadirannya dengan hati terbuka. Lagipun keputusan yang saya buat ini berpandukan kepada pandangan keluarga serta solat istikharah yang saya lakukan sebelum ini.
Hip: Apakah majlis ini akan dibuat sambutan besar-besaran?
Maizawati: Insya-Allah, majlis saya nanti akan dibuat pada bulan Mei. Walaupun pada awalnya kami bercadang untuk bernikah pada bulan Februari namun disebabkan ibu bakal mentua saya tidak sihat, jadi majlis itu terpaksa ditangguhkan pada bulan Mei nanti. Saya tak buat besar-besaran tetapi sekadar sederhana saja. Kepada peminat saya di luar sana, jika sudi untuk meraikan majlis saya nanti, dipersilakan. Mengenai apakah saya akan menjemput bekas suami ke majlis nanti, Insya-Allah, mungkin saya akan menghubunginya bagi memaklumkan niat saya untuk melangsungkan perkahwinan itu.
Hip: Sebelum ini ada cerita yang mengatakan Maizawati menjadi duta produk tudung serta mahu merakamkan album single. Apa sudah jadi dengan berita itu?
Maizawati: Memang sebelum ini ada pihak yang menawarkan saya menjadi duta tudung namun saya sudah menarik diri kerana saya merasakan diri ini dianiaya. Sudahlah mereka menggunakan nama dan gambar saya tetapi saya tidak dibayar royalti. Apabila ditanya soal kontrak, mereka memberikan pelbagai alasan. Disebabkan hal itu, saya menarik diri dari menjadi duta produk berkenaan. Mengenai rakaman single, projek itu juga dihasilkan oleh syarikat yang sama dengan produk tudung itu. Akibatnya, projek rakaman lagu itu juga terhenti begitu saja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: