Wednesday, January 6, 2010

Rona bahagia...Mohd Zaquan dan Ayu Raudhah




Ayu Raudhah akui bertuah kerana berjaya dampingi pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak

TIBA-TIBA saja nama pelakon Ayu Raudhah menjadi sebutan. Bukanlah kerana lakonannya yang cemerlang, tetapi lebih kerana hubungan cintanya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

Biasalah itu apabila bergelar selebriti yang memiliki tubuh montok menjalin hubungan dengan wira sukan idaman Malaya, ia pasti mengundang tumpuan dan menjadi bualan khalayak apatah lagi jika ada cerita sensasi dan kontroversi yang melingkari hidup mereka.


Ketika hadir di Balai Berita untuk satu sesi fotografi bersama Hip, adik Rozita Che Wan ini bagaikan sudah mengetahui inti pati soalan yang akan diajukan kepadanya apatah lagi hubungannya dengan jejaka berusia 22 tahun dan adik ipar kepada Rita Rudaini itu bukan lagi rahsia.

Kebetulan pula saat sesi fotografi itu diatur, Sukan Sea di Laos baru saja melabuhkan tirainya dan teman rapat Ayu itu bersama pasukannya sudah menyumbangkan pingat emas untuk acara bola sepak selepas 20 tahun Malaysia menantinya.

Selepas enam bulan bersama melewati episod cinta yang indah, pelakon berambut lebat ini seboleh-bolehnya tidak mahu terlalu menyentuh sisi bahagianya kerana bimbang khalayak dan peminat akan jelak dan bosan dengan kisah sebegitu.



Sekalipun dia mengelak untuk berkongsi cerita, riak di wajahnya tidak dapat menyembunyikan rona bahagia yang mula melingkari hidupnya. Cuma dapat dirumuskan Ayu ada kalanya tersepit di antara soal hubungan yang terjalin di kalangan rakan media dan tugas mereka.

"Ayu tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi melangit sangat dalam hubungan ini. Dulu pun Ayu bercinta bagai nak rak bertahun-tahun tapi jodoh tak ada, lalu apa kuasa kita sebagai manusia biasa. Inikan pula hubungan yang belum sampai setahun," tutur Ayu di awal bicara sambil merujuk kepada kisah cinta lamanya dengan Pekin Ibrahim.

Sedia hadapi risiko

SEBAGAI wanita yang selayaknya dicintai, Ayu yakin andai jodoh ada, takkan lari gunung dikejar. Katanya, tidak semestinya apa yang dirasakan terbaik akan terus menjadi kepunyaan kita. Pada akhirnya, ia berbalik kepada soal jodoh dan takdir.

Katanya, dengan usianya kini, soal perkahwinan sering bermain di bibir. Biarpun selebriti sepertinya sering dikaitkan dengan isu perceraian, ia sikit pun tidak menghalang dirinya untuk merasai sedikit kemanisan terhadap kemungkinan bergelar ratu sehari.

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Bagi Ayu, kalau takut dengan badi perceraian, sampai bila pun golongan kami tidak akan berkahwin. Tanyalah kepada sesiapa pun, siapa yang mahu berkahwin dan kemudian bercerai.

"Tak Ayu nafikan ada yang melihat kahwin dan cerai di kalangan selebriti itu seperti sudah menjadi aliran. Sejujurnya, ia tidak menakutkan Ayu kerana hal perkahwinan itu harus dilalui sendiri. Ia ibarat mengambil risiko. Begitu juga halnya dengan bercinta," tegasnya.

Mengimbau kisah lalu, sebenarnya Ayu juga seperti kebanyakan gadis sebayanya yang meminati Zaquan. Sambil berseloroh Ayu sedar wajah kacak Zaquan pasti membuatkan ramai gadis yang mendambakan tumpuan jejaka itu.

"Sebelum kami rapat, Ayu hanya peminatnya saja. Ayu pernah melihat gambarnya di papan iklan di lebuh raya. Ada masa, Ayu akan menonton perlawanan bola sepak dan ini semua disebabkan pengaruh kakak Ayu (Jaja)," kata Ayu mengimbas kembali detik perkenalan mereka.

2009 tahun cemerlang

MELIHAT perkembangan kerjayanya, gadis manis ini mengakui ia semakin positif terutama sepanjang tahun lalu. Walaupun dia lebih dulu menerjah persada seni, kakaknya, Rozita lebih mula menarik perhatian. Dia tidak kisah kalau ada pandangan skeptikal mengatakan dirinya masih dibayangi kakaknya itu.

Hakikatnya, Ayu kini sudah 'terbang' bersendirian dan harapnya kecemerlangan itu akan terus berpanjangan pada masa mendatang. Sepanjang tahun, ada saja drama dan telefilem yang menampilkan wajahnya seperti KL Menjerit The Series, Dari Mata Arisa, Nur Kasih dan Wadi Rahmah.

"Ayu bersyukur tawaran berlakon itu tak putus. Rezeki bagaikan tak dirancang. Selain muncul di kaca TV, Ayu sedang menunggu dua buah filem, 4 Madu arahan Prof A Razak Mohaideen dan Durian VS Timun (AR Badul). Durian VS Timun pada mulanya dibikin dalam bentuk DVD tapi kini diformatkan ke dalam versi filem," katanya yang baru saja mendapat anak buah baru bernama Nurfa'iqa Faiza pada 8 Disember lalu sehari selepas hari lahirnya.

INFO: AYU RAUDAH

  • Nama asal: Raudhah Che Wan
  • Tarikh lahir: 7 Disember 1984
  • Tempat lahir: Alor Setar, Kedah
  • Drama: Dilema Wanita, Timur Mencinta Barat Merindu, Manjalara, KL Menjerit The Series, Dari Mata Arisa, Wadi Rahmah, Nur Kasih
  • Filem: 4 Madu dan Durian VS Timun
  • Duta: Giena Cosmetic
  • Emel: ayuchewan@yahoo.com.my
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: