Wednesday, January 6, 2010

2010 buat Erma pening


mengenainya. Itulah KANAK-KANAK dari Yayasan Nur Salam menyanyi bersama kumpulan nasyid yang diundang Erma.

Rai kemenangan ASK 2009 bersama anak malang di Lorong Haji Taib

TAHUN 2009 mencatat kejayaan indah buat sutradara Erma Fatima dan pastinya ia menjadi nadi penyambung buat dirinya untuk terus berkarya lagi pada tahun mendatang.

Antara pencapaian terbaiknya tahun ini adalah kejayaan drama Tersasar Di Jalanmu yang menggondol enam hadiah di Anugerah Skrin (ASK) 2009 yang berlangsung pada 4 Disember lalu,


Selain itu, Erma juga boleh berbangga dengan arahan teater muzikal Natrah yang dipentaskan di Istana Budaya sejak hujung November hingga pertengahan Disember lalu.

“Tapi kejayaan kejayaan yang diperoleh itu masih belum memberi impak yang cukup kuat kepada diri saya,” kata Erma ditanya mengenai pencapaiannya itu.

Namun, itu tidak bermakna isteri kepada Bade Azmi ini tidak berhak menikmati sisi indah yang dikecapinya itu sekali gus memacu laluannya yang lebih cemerlang pada 2010.

Erma Fatima

Menurutnya, ada tiga projek utama yang akan diberi perhatian khusus olehnya pada tahun ini iaitu menerbitkan drama Natrah, filem Murtad dan teater berjudul Antara Syurga dan Neraka.

Dalam nada berseloroh, Erma berkata, semua ketiga-tiga projek ini pasti akan membuat dirinya ‘pening selama setahun’.

“Drama Natrah ini, InsyaAllah akan memulakan penggambarannya pada pada April. Sekarang ini saya masih dalam peringkat menyiapkan skrip. Ia akan diterjemahkan tidak sama seperti di pentas teater. Saya mula membayangkan ia akan mengambil kronologi Natrah sejak muda. Bermula dari Bandung hingga ke Belanda.

“Seboleh-bolehnya mahu mengekalkan pelakon asal versi teater untuk ke drama ini. Oleh kerana kesibukan Remy Ishak dan Maya Karin, saya perlu menunggu. Kedua-duanya keutamaan saya. Drama ini juga akan menjadi eksklusif kerana buat pertama kalinya Maya ke skrin TV.

“Umie Aida juga berminat tapi apa yang saya boleh katakan semuanya bergantung kepada jurusolek yang betul-betul dapat menjadiklan dia kelihatan. Filem Murtad pula lahir daripada semangat Natrah, namun ia merujuk kepada zaman sekarang,” katanya yang ditemui Hip di majlis jamuan penghargaan kemenangan drama Tersasar Di Jalanmu diadakan di Lorong Haji Taib, Chow Kit di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Turut dihadiri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Seri Farid Ridzuan ini.

Erma sempat mengimbas kembali kenangan berada di lorong yang sering dianggap terlalu skeptikal penuh dengan sisi gelap, dibuai noda dan kekalutan masyarakat di situ.

Lorong itu ternyata memberi gambaran ketidakstabilan manusia yang terdorong melakukan perkara negatif hingga menjadi badi ketakutan kepada manusia lain yang tahu mengenainya. Itulah perasaan Erma apabila pertama kali menjejakkan kaki di Lorong Haji Taib.

“Saya sendiri gementar dan takut untuk masuk ke lorong ini. Selepas dua minggu dalam kelompok masyarakat di situ, saya mula mengenali pelbagai ragam manusia. Ada antara mereka sudah menjadi ‘abah’ dan ‘ibu’ kepada saya dan termasuk produksi drama Tersasar Di Jalanmu.

“Semuanya terdetik ketika saya mencari lokasi sesuai untuk penggambaran drama ini sejak tiga tahun dulu. Sekitar jam 2.30 pagi, pandangan saya terarah kepada seorang budak kecil di lorong ini. Tanya saya kepada diri sendiri, apa akan jadi kepada budak itu apabila besar nanti,” kata Erma mengenai drama arahannya yang menjalani penggambaran di Lorong Haji Taib sekitar dua tahun dulu.

Menurutnya, majlis yang diadakan di Lorong Haji Taib itu adalah sebagai tanda terima kasih terhadap sokongan tidak berbelah bagi pihak yang terbabit secara langsung mahu pun tidak diatas penghasilan drama itu.

Turut diraikan seramai hampir 100 orang anak yatim Yayasan Nur Salam.

“Saya mendapat kawan baru di sini di kalangan pelacur, penagih dadah dan ketua samseng. Malah, saya juga dapat tahu sebenarnya ada pecahan bangsa utama, Cina, Melayu dan India yang mendiami lorong ini. Malah di sini juga terbina Yayasan Nur Salam yang membela nasib si kecil yang malang,” kata Erma sambil memberitahu ada lokasi penggambaran yang dilakukan mengambil ruang sebenar di lorong ini dan bukannya set yang direka.

Drama yang judul asalnya, Lorong Neraka itu mengungguli enam kategori drama yang dipertandingkan iaitu Drama Terbaik, Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Videografi Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: