Saturday, January 9, 2010

Harga barang dijamin kekal


ORANG ramai boleh terus menikmati teh tarik dan makanan lain tanpa bimbang kenaikan harga berikutan jaminan pengusaha restoran untuk kekalkan harga produk masing-masing.

PUTRAJAYA - Sebanyak 50 pemain utama dalam industri makanan dan minuman bergula serta persatuan pengusaha restoran di seluruh negara memberi jaminan tidak akan menaikkan harga produk masing-masing kerana peningkatan kos akibat harga baru gula adalah terlalu kecil.

KERATAN Kosmo! 1 Januari 2010.

Mereka memberi jaminan mampu menyerap kenaikan kos itu memandangkan harga gula yang naik sebanyak 20 sen sekilogram sejak 1 Januari cuma meningkatkan kos antara 0.5 sen hingga 0.8 sen bagi secawan teh tarik.


Jaminan itu diberi dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan sembilan persatuan yang diwakili 50 peserta dalam industri itu di sini semalam.

"Para pengusaha dan persatuan memberi jaminan tidak akan menaikkan harga barangan berkaitan gula. Ini bermakna roti manis, kek, minuman manis dan susu pekat tidak akan naik.

"Kenaikan harga gula tidak memberi kesan kepada mereka melainkan ada kenaikan harga barang lain yang berkaitan atau peningkatan kos pekerja,'' katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: