Sunday, January 3, 2010

Hadiah Amanda


TANGGAL 30 Disember lalu genaplah usia Amanda Imani 18 tahun. Meskipun dirai sederhana bersama ibu tercinta dan beberapa teman rapat, detik peralihan itu sungguh bermakna buat pendatang baru berbakat besar ini.

Bahkan dia menyifatkan hadiah diterima kali ini paling istimewa apabila impiannya untuk muncul dengan album sebelum usia 18 tahun tercapai. Bukan satu tetapi dua!

Selepas menghasilkan album sulung yang menggunakan namanya sebagai judul sebulan lalu, pelajar jurusan Komunikasi Psikologi Kolej Segi ini tampil pula dengan album digital berjudul Yeah, baru-baru ini.

Jika bingkisan pertamanya mempertaruhkan rangkaian lagu bahasa Malaysia, antaranya Selamilah Cinta, Cinta Seluas Angkasa dan Kisa Sama Saja, album kedua pula berbahasa Inggeris.

“Syukur Yeah dapat dipasarkan pada 24 Disember lalu. Hadirnya album ini bermakna impian paling besar dalam hidup saya tercapai, dan ia menjadi hari jadi paling indah pernah saya terima.

“Dua tahun saya bekerja keras bagi merealisasikan dua album ini. Selepas ini saya boleh fokuskan perhatian bagi mengumpul material untuk projek akan datang pula,” katanya yang tidak bersandarkan pada suara semata-mata tetapi turut berbakat mencipta lagu dan menulis skrip selain berkebolehan bermain gitar dan piano.

Mengulas sambutan album, Amanda berkata, sebagai artis baru dia tidak pernah meletak harapan tinggi, apatah lagi menyedari pasaran album fizikal agak perlahan sejak wujudnya teknologi muat turun.

Bagaimanapun, peminat setia Taylor Swift ini bertuah kerana dalam tempoh sebulan album sulungnya berjaya dijual lebih 500 unit, bahkan muat turun album digitalnya juga memberangsangkan.

“Mungkin melodi yang saya ketengahkan berbeza dengan penyanyi lain, membuatkan ia mudah diterima. Dari dulu lagi saya mahu hasilkan album yang malar hijau dan boleh diterima semua peringkat umur.

“Yeah memuatkan lima lagu yang dihasilkan oleh Ajai dan liriknya saya tulis sejak berusia 15 tahun. Lagu ini adalah luahan pengalaman cinta saya sebelum ini.

“Selain single I’m Free yang saya tulis selepas berpisah dengan bekas kekasih, album ini turut memuatkan lagu Sunshine, Why, I Won’t Be Missing You dan Thank You.
“Insya-Allah album ini akan masuk ke pasaran Singapura sedikit masa lagi,” katanya yang dicalonkan dalam Voice Independent Music Awards (VIMA) bagi kategori Lagu Pop Terbaik dan Penyanyi Wanita Popular serta Anugerah Bintang Popular 2009 (Artis Baru Popular dan Penyanyi Wanita Popular).


Biarpun pembabitannya dalam industri masih hijau, tawaran persembahan tidak pernah putus, malah Amanda sering mendapat kepercayaan sebagai pembuka tirai persembahan acara besar.

Namun, menyedari dirinya terikat dengan tanggungjawab pelajar, Amanda perlu lebih selektif supaya fokusnya terhadap pengajian tidak terjejas.

“Ibu tidak pernah menghalang saya menyanyi jika saya memenuhi syaratnya supaya menamatkan pengajian. Memandangkan jadual kolej ketat, saya hanya hadkan dua atau tiga persembahan sebulan, itupun pada hujung minggu.

“Setakat ini saya tiada masalah membahagikan masa antara pelajaran dan karier sebagai penyanyi. Lebih mudah bila ibu menguruskan kerjaya dan selalu menemani saya.

“Di luar, ibu adalah sahabat karib saya dan di rumah dia ibu saya. Dia sangat profesional dan berfikiran terbuka. Ketegasannya terhadap ketepatan masa membuatkan kerja saya lancar dan tersusun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: