Sunday, January 3, 2010

‘Bukan saya’


KERETAKAN hubungan cinta pelakon meningkat naik, Remy Ishak dan Ummi Nazeera diketahui ramai, apatah lagi selepas berlakunya insiden jejaka itu dipukul sejurus selesai pementasan Natrah di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, ada khabar angin mengatakan punca pergaduhan pasangan kekasih itu berpunca daripada orang ketiga yang mula ‘masuk jarum’, menyebabkan seorang daripada mereka naik angin dan mula mempersoalkan kesetiaan masing-masing.

Antara dikaitkan dengan cerita itu termasuk pelakon Pekin Ibrahim, yang sebelum ini kelihatan rapat dengan Ummi, terutama ketika menjalani penggambaran filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid di Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Menurut sumber, hubungan mereka akrab seolah-olah pasangan bercinta dan asyik ‘berkepit’ di sana, menyebabkan ramai menuding jari Pekin adalah punca sebenar hubungan Remy dan Ummi pecah berderai.

Bagaimanapun, anak muda kelahiran Kelantan itu tegas menafikan dia terbabit dalam cinta tiga segi, apatah lagi parut yang baru sembuh akibat putus cinta dengan Ayu Raudhah sebelum ini masih jelas.

“Saya faham situasi apabila muncul orang ketiga dalam sesebuah hubungan, jadi saya tak mahu ada yang terluka kerana perbuatan sama.

“Kesakitan yang saya terima masih dapat dirasai sehingga hari ini, jadi mengapa saya mesti melakukan perbuatan sama?” kata Pekin.

Menurutnya, dia tidak pernah berniat merampas kekasih orang, sebaliknya sekadar berkawan dengan sesiapa saja yang menghulurkan salam persahabatan memandangkan penggiat dunia seni sememangnya akrab sesama sendiri.

Pertemuan pelakon yang pernah muncul dalam filem Skrip 7707 ini dengan Ummi ketika di lokasi secara tidak langsung menyebabkan hubungannya dengan gadis itu akrab, malah kemesraan timbul kerana tidak ramai pelakon seangkatannya terbabit dalam filem sama.

“Jika ada yang memandang serong hubungan saya dengan Ummi, saya ingin beritahu yang kami hanya berkawan dan soal cinta tak timbul sama sekali.


“Saya harap tak ada pihak mengaitkan keretakan hubungan Ummi dan Remy dengan saya, malah saya sebenarnya turut berasa sedih dengan berita itu,” kata Pekin yang turut beraksi dalam filem kontroversi ... Dalam Botol arahan Khir Rahman.
Bercerita mengenai ... Dalam Botol yang turut membariskan Wan Raja, Arja Lee, Fauziah Ahmad Daud dan Normah Damanhuri, Pekin berkata, dia puas hati kerana dapat bekerjasama dengan pengarah seperti Khir yang juga idolanya.


Walaupun watak diterima bukan begitu besar, bekerja bersama sutradara yang memiliki ideologi berbeza dengan pengarah sedia ada membuatkannya begitu teruja, apatah lagi filem ini turut memberi kesan mendalam terhadapnya.

“Saya mengakui menitiskan air mata apabila melihat kembali babak dirakam kerana jalan ceritanya menyentuh hati, berbeza dengan tanggapan awal orang ramai yang menyangka filem ini sekadar menjual kontroversi.

“Khir mementingkan lakonan natural dan tak dibuat-buat. Ini membuatkan jalan cerita begitu hidup dan menyentuh hati penonton,” katanya yang bakal kembali ke Jogjakarta untuk meneruskan pembelajarannya dalam bidang lakonan untuk beberapa bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: